Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, December 26, 2016

Yang mana kasih, yang mana tidak?

pada 25-12-2016 09:12 
Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN] Dua veteran Umno membuat penilaian mengenai citra Umno hari ini. Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin merumuskan bahawa kerajaan Umno-BN dilanda krisis defisit kepercayaan yang parah.

Sementara mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menyimpulkan bahawa Umno cuma perlu fokus kedudukannya hari ini dan tumpu perhatian menambah-baik perkhidmatannya, khususnya pada pengundi Melayu-Islam.

Berbeza Musa, Daim melontarkan tiga unsur yang menyokong hujahnya bahawa defisit kepercayaan adalah sesuatu yang nyata menghantui kerajaan Umno-BN dan mengajukan dua langkah mengatasinya. 

Musa pula, bersikap seorang veteran yang mengambil sikap memberi motivasi kepada Umno supaya berikhtiar keluar daripada sebarang kemelut (jika ada) tanpa menjatuhkan hukuman terhadap “kebersalahan” Umno.

Menurut Daim masalah Umno ada tiga. Pertama, kurang integriti, kejujuran dan keberanian moral. Kedua, kurang empati dan penggunaan akal logik di kalangan pemimpin. Ini yang melebarkan lagi  defisit kepercayaan rakyat. 

Unsur ketiga, katanya, adalah kecetekan kemahiran mengawal dan mengawasi ekonomi negara. Penawar pada pemasalahan ini, kata Daim, ada dua. 

Pertama, tubuh pasukan pengurusan ekonomi baru bagi memperbetulkan ekonomi yang lesu. Kedua, buang mentaliti feudal di kalangan pemegang amanah negara. 

Bagaimanapun Musa tidak membuang masa memberi penilaian berhubung kerajaan hari ini. Inti komen beliau ialah Umno perlu gilap strategi memikat pengundi Melayu luar bandar pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-14.

Katanya, kerajaan perlu meningkatkan lagi momentum kempen dengan bekerja lebih kuat demi meraih sokongan pengundi Melayu luar bandar. 

“Misalnya, faktor utama kemenangan (bekas Perdana Menteri Thaksin) Shinawatra pada PRU negara itu adalah kerana beliau meraih hampir 100 peratus pengundi di kampung dan pedalaman,” kata Musa. 

“Parti (Umno) betul atau salah, biar sahaja ditentukan dalam PRU nanti,” kata Musa dalam forum “Frankly Speaking” anjuran Universiti Islam Antarabangsa yang membincangkan buku tulisannya dengan judul yang sama.

Musa beri motivasi. Namun Daim dalam tulisan yang disiarkan akhbar The Edge 17 Disember lalu, membentangkan apa yang dianggapnya kelemahan kerajaan. Ini agak berbahaya dalam iklim politik hari ini. 

Musa bersikap negarawan yang memberi nasihat dan semangat. Daim mengemukakan hujah untuk ‘menghukum’ dan mungkin membenihkan persepsi bahawa Umno kini lemah, kurang jujur dan lesu integritinya.

Namun perlu diakui bahawa tulisan Daim dalam akhbar The Edge itu pun menyumbang pada proses Umno memperbaiki prestasi keseluruhannya. 

Dengan mengungkapkan bahawa masalah utama Umno menggalas tugas mentadbir negara hari ini ialah isu ‘defisit kepercayaan’ sebenarnya sudah cukup membantu mencerahkan laluan Umno mendepani cabaran ini. 

Justeru Umno perlu meneliti mengapa ia boleh terjebak dalam masalah kepercayaan ini? Adakah ia berlaku lantaran kelemahan kepimpinan? Atau, adakah defisit ini terkumpul dek prestasi jentera/kakitangan kerajaan?

Ini juga harus mendorong Umno untuk bekerja tekun dan saksama dalam mencari penawarnya. Bagaimana dan apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan Umno untuk menampung defisit kerajaan ini?

Daim nungkin sudah berjaya mengungkap atau memberi diagnosis masalah Umno hari ini. Musa pula bersandarkan pengalaman dan pengamatannya mengesyorkan supaya Umno mendahulukan usaha melayani keperluan pengundi Melayu-Islam luar bandar. 

Memang banyak program dan strategi dilakar dan dilaksanakan oleh kerajaan hari ini bagi melegakan rakyat daripada himpitan ekonomi. Daim pernah menakhodai bahtera ekonomi negara ketika dibadai kemelesetan ekonomi 1987 dan 1997. 

Musa juga pernah melalui cabaran politik yang mengekori musim himpitan ekonomi pada tahun 1987 sehingga membelah perpaduan dan kesetiaan dalam Umno. 

Bagaimanapun memang lumrah cabaran politik yang bertunjangkan keserabutan ekonomi menonjolkan cabaran terhadap perpaduan dalam parti, kerajaan dan negara.

Bagi setiap badaian berangkai ini, ada ciri, pelaku dan isunya. Begitu juga dalam keadaan sekarang. Selain mengutip dan mengambil iktibar cara penyelesaian krisis sosio-ekonomi dan politik silam, realiti cabaran hari ini mesti diteliti.

Tidak seperti kecamuk krisis 1987, 1997 porak peranda 2016 ini juga ada isunya yang tersendiri. Paling nyata, kemelut kini digalakkan oleh masalah persepsi. Hal ini dipacu oleh fitnah, berita-berita palsu yang disemarakkan oleh internet. 

Ketika kerajaan bergelut dengan realiti kelemahan sistem ekonomi dunia, tiang seri kepercayaan rakyat digoncang oleh berita-berita palsu kenaikan tol, minyak masak, menteri letak jawatan yang boleh menghakis keyakinan rakyat. 

Sebagai negarawan, Musa dan Daim sudahpun menghulurkan sumbangan untuk memperbaiki keadaan. Setakat ini kedua-duanya belum mahu melangkah masuk ke gelanggang politik semata-mata untuk mencari jalan penyelesaian. 

Kini terpulang kepada pemimpin Umno, BN, dan parti-parti pembangkang menterjemahkan ‘idea-idea penyelesaian’ ini menjadi strategi politik yang sopan dan mudah difahami rakyat.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa