Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, December 30, 2016

PAS dan Bersatu sepentas: Apakah maknanya?

Pas, Bersatu jalin kerjasama?
ROSLINDA HASHIM - 29 DISEMBER 2016
Pas, Bersatu jalin kerjasama? Ahmad Fakhruddin (tiga, kanan) bersama sebahagian pimpinan Pas Kedah

ALOR SETAR - Kehadiran Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berada sepentas bersama pimpinan Pas Kedah dalam program ceramah Himpunan Derita Rakyat 2, menimbulkan persoalan apakah ini perintis ke arah kerjasama politik.

Ini merupakan kali pertama pimpinan tertinggi Pas Kedah duduk sepentas dengan pimpinan Bersatu, di saat kedua-dua parti masih belum memuktamadkan bentuk kerjasama politik yang belum diputuskan di peringkat Majlis Syura Ulama Pas.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, Kedah bukan negeri pertama berbuat demikian, sebaliknya beberapa negeri lain seperti Selangor, sudah lama bergabung sepentas dengan pemimpin parti lain.

“Kedah mungkin negeri yang ke-empat jemput parti lain berceramah sekali berkaitan isu-isu semasa negara. Kemungkinan apabila pertama kali dilakukan, nampak kekok namun ia bukanlah sesuatu yang pelik,” katanya.

Menurutnya, selagi Pas Pusat membuka ruang perbincangan dengan Bersatu, selagi itu pihaknya bersedia bergabung menyuarakan permasalahan rakyat.

“Pas buat ketetapan, tiada kompromi hanya dengan DAP, Amanah dan Umno, bermakna rundingan bersama parti lain masih terbuka,” katanya.    

Ahmad Fakhruddin berkata, pihaknya menjemput Mukhriz berdasarkan kepada kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memperlihatkan kematangan beliau dalam memperjelaskan kekuatan yang ada pada Pas.

“Muhyiddin tidak gopoh berikan persepsi negatif terhadap Pas, sebaliknya melihat dari aspek positif. Dalam berpolitik, inilah perkara yang boleh membina, bukannya seperti pihak lain yang cuba menaikkan imej parti melalui provokasi atau fitnah,” katanya.

Menurutnya, kehadiran Bersatu lebih dialu-alukan berbanding Umno yang menjadi musuh tradisi Pas.

“Di mana ada kerusi Umno, di situlah Pas letakkan calon, apa yang kita praktik ini sejak Pas wujud lagi. Dengan Bersatu, kita tiada masalah mahu jumpa atau taa’ruf, saya pun belum mengenali secara peribadi pimpinan Bersatu Kedah, mungkin selepas berjumpa lebih mesra,” katanya.

Katanya, memandangkan jangka masa PRU14 semakin hampir, Pas Kedah perlu bersedia lebih awal termasuk mengadakan persiapan jenteranya, termasuk rundingan politik.

“Kita perlu tunggu keputusan Pas Pusat kerana pas negeri akur sebarang ketetapan politik yang diputuskan. Kita sudah jemput (Bersatu) sepentas, itu petanda tidak rasmi kita buka pintu untuk rundingan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa