Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, December 25, 2016

MyKad palsu dari individu bergelar ‘Datuk’ di Sabah

*Kerana duit, jual negara pun sanggup!

Warga Indonesia dakwa dapat MyKad palsu dari individu bergelar ‘Datuk’ 
11:58am 23/12/2016 Pak Roshan 
Antara Gambar Suspek Yang Ditahan Viral Di Media Sosial Whatsapp 

TAWAU: Seorang suspek warga Indonesia yang ditahan dalam operasi khas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kampung Tanjung Batu malam kelmarin mendakwa mendapatkan kad pengenalan (MyKad) palsu daripada seorang individu bergelar ‘Datuk’. 

Asnahwati, 22, berkata perkara itu bermula selepas seorang wanita dikenali sebagai Hajah Jamilah yang baru berpindah di kampung itu pada Mac lalu menawarkan boleh mendapatkan MyKad dengan hanya membuat pembayaran sebanyak RM5, 000.

”Ketika itu ada kenduri di kampung, wanita itu mungkin mengetahui kami ingin pulang ke negara asal untuk membuat pasport, lalu dia memanggil saya dan menawarkan boleh mendapatkan MyKad palsu dengan bayaran RM5,000,” katanya ketika ditemui sewaktu operasi khas itu sedang berjalan. 

Menurutnya, tawaran yang dilakukan oleh Hajah Jamilah itu dianggap sebagai rezeki yang datang bergolek dan tidak terfikir itu sebagai satu sindiket penipuan. ”Wanita itu dan anaknya telah membawa saya dan keluarga berjumpa seorang lelaki dikenalkan sebagai ‘Datuk’ yang menurutnya dipercayai sebagai bekas pengarah sebuah agensi kerajaan.

”Kami ada berjumpa ‘Datuk’ itu dan dia menunjukkan satu sistem untuk memproses MyKad dan memberitahu supaya ‘jangan kamu risau, ini selamat’, saya yang melihat sistem itu percaya bulat-bulat dan memberitahu ahli keluarga yang lain,” katanya yang juga janda anak satu. 

Asnahwati berkata dia bersama ibu dan kakaknya kemudian mengambil keputusan untuk membelanjakan wang simpanan yang sepatutnya digunakan untuk pulang ke negara asal bagi membuat pasport telah melaburkan duit itu demi MyKad tersebut.

”Kami dijanjikan menerima MyKad itu dalam tempoh dua minggu selepas pembayaran dan selepas itu, tiga abang saya termasuk abang kembar dan ayah saya juga ikut membuat MyKad tersebut,” katanya lagi. 

Tambahnya, dia dan keluarga telah membelanjakan RM16,000 secara keseluruhan bagi mendapat MyKad palsu itu. ”Saya dan ibu membayar RM5,000 untuk setiap satu MyKad manakala yang lain hanya dikenakan bayaran RM3,000 tetapi ada yang belum membayar (hutang) lagi dan, malam ini baru saya tahu kami sekeluarga telah ditipu,” katanya lagi. 

Dalam pada itu, seorang wanita warga Filipina, Ziana Jalil, 30, yang turut ditahan dalam operasi berasingan di sebuah hotel di bandar Tawau kelmarin berkata dia membeli MyKad yang digunanya sejak dua minggu lalu itu dengan nilai RM1,000. 

Katanya, selepas menerima MyKad itu, dia turut ditawarkan menjadi ‘Runner’ oleh dua dalang utama sindiket yang membuat kad pengenalan palsu miliknya itu sebagai bayaran kepada MyKad yang dibelinya itu. ”Saya diminta oleh dua lelaki tempatan ini untuk mengambil gambar dan cap jari daripada pembeli MyKad lain,” katanya yang mendakwa bekerja di sebuah restoran dan berasal dari Kg Bakau di Semporna. 

Menurutnya, dia mengenali kedua-dua lelaki itu selepas dikenalkan oleh rakannya yang lain.

Terdahulu, dalam operasi itu seramai 10 individu termasuk dua lelaki tempatan iaitu dalang utama sindiket kad pengenalan palsu ditahan dalam operasi khas JPN yang dijalankan di sebuah hotel dan rumah di Kg Tanjung Batu. 

Operasi selama enam jam bermula pukul 9 malam dan berakhir jam 1.30 pagi itu berjaya membongkar kegiatan sindiket pemalsuan MyKad terbesar di Tawau dan daerah sekitar. Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN, Mohamad Yusri Hashim ketika ditanya mengenai dakwaan Asnahwati itu berkata, pihaknya sedang meningkatkan jaringan mengesan sindiket itu. ”Kami tidak menolak sebarang kemungkinan terhadap perkara itu,” katanya ketika dihubungi.
NewSabahTimes

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa