Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, September 8, 2017

APMM tahan lanun cuba rompak kapal dan didakwa hari ini

Oleh Fitri Nizam
bhkt@bh.com.my

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 10 daripada 13 lanun warga negara Indonesia yang cuba merompak sebuah kapal tangki di perairan berhampiran Pulau Redang, awal pagi tadi.

Tiga lagi lanun meloloskan diri dalam gerakan dilancarkan Pasukan Tindakan Khas (PTK) APMM di kawasan perairan kira-kira tiga batu nautika dari Pulau Yu Besar itu.

Bagaimanapun, tindakan susulan APMM berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia lingkungan 50-an, juga warga negara sama yang dipercayai dalang utama jenayah itu di sebuah hotel di Johor Bahru, tengah hari tadi.

Terdahulu, kira-kira jam 3 petang semalam, APMM Wilayah Timur menerima maklumat nelayan tempatan mengenai sebuah kapal tangki MT MGT1 dari Thailand bersama 14 kru dinaiki beberapa orang individu dari bot pancung.
Kapal tangki MT MGT1

APMM kemudian mengesan kedudukan kapal terbabit menggunakan Sistem Identifikasi Automatik (AIS) sebelum ia hilang daripada radar pada jam 9 malam semalam.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Zulkifli Abu Bakar, berkata berdasarkan maklumat, tujuh anggota PTK digerakkan ke lokasi terakhir kapal itu dikesan menggunakan helikopter Agusta Westland 139 (AW139).

"Pada jam 2.05 pagi tadi, kapal itu dikesan di 37 batu nautika timur laut Pulau Tenggol, Dungun. Sebuah bot pancung dinaiki tiga individu dan sebuah lagi kapal tanpa identiti turut dikesan berhampirannya.

"PTK juga mengesan 10 suspek di atas kapal tangki terbabit sebelum beberapa das tembakan amaran dilepaskan yang menyebabkan tiga suspek dalam bot pancung melarikan diri," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, pihaknya mengarahkan Kapal Maritim (KM) Segantang untuk menjalankan operasi mengesan bot pancung dinaiki tiga lanun terbabit, namun gagal dikesan sehingga kini.

"Hasil operasi, 10 lanun warga negara Indonesia berjaya ditahan di atas kapal tangki terbabit dan semua kru warga negara Thailand serta anggota PTK selamat tanpa sebarang kecederaan," katanya.

"Kapal tangki itu bersama sebuah lagi kapal tanpa identiti kemudian diiringi KM Langkawi ke Jeti Daerah Maritim 9 (DM9) sebelum diserahkan kepada Unit Siasatan dan Forensik APMM untuk siasatan lanjut," katanya.
Kaitan hari ini:

Lanun direman seminggu
helmy_rahman@hmetro.com.my
LANUN yang ditahan ketika sedang merompak kapal tangki MT MGT1 di perairan Terengganu, semalam, direman tujuh hari bermula hari ini hingga 14 September.

Seramai 11 suspek termasuk lelaki berusia 59 tahun yang disyaki dalang aktiviti jenayah berkenaan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu dengan dikawal ketat pasukan bersenjata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira 11 pagi hari ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret, Noradila Abdul Latiff bagi membolehkan semua suspek disiasat mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan secara berkumpulan.

Semalam, Harian Metro melaporkan kejayaan APMM menumpaskan kegiatan 13 lanun warga Indonesia yang melakukan rompakan ke atas sebuah kapal tangki di 37 batu nautika dari timur laut Pulau Tenggol, Dungun, Terengganu.

Seramai 10 daripada suspek ditahan, bagaimanapun, tiga lagi meloloskan diri selepas Pasukan Tindakan Khas (PTK) APMM yang diterbangkan menggunakan AgustaWestland 139 (AW139) melepaskan beberapa das tembakan amaran dari udara selepas berjaya mengesan kedudukan kapal itu.

Susulan penahanan itu, PTK APMM menyerbu sebuah hotel di Johor Bahru semalam dan menahan warga Indonesia berusia 59 tahun dipercayai dalang utama rompakan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 4:52 PM

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa