Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, September 26, 2017

Rakhine: Kalau begini keadaannya konflik ini tidak akan berpenghujung

17 lagi mayat ditemui, didakwa dibunuh pemberontak Rohingya
TMI - Diterbitkan pada 25 Sep 2017 10:04PM
Krisis Rohingya disifatkan krisis kemanusiaan terburuk sedang berlaku dan menimbulkan ketegangan di rantau Asia Tenggara dan Selatan. – Gambar EPA, 25 September, 2017.

MISI mencari pada Isnin menemui 17 lagi mayat dalam kubur besar di Negeri Rakhine, Myanmar, kata kerajaan, sehari selepas mayat 28 penduduk Hindu digali yang disifatkan tentera sebagai bukti pembunuhan besar-besaran oleh militan Islam Rohingya.

Utara Rakhine terjebak dalam keganasan kaum sejak pemberontak Rohingya melakukan serangan kejam ke atas pusat kawalan polis pada 25 Ogos lalu sekaligus menyebabkan tentera Myanmar melancarkan operasi besar-besaran yang menyebabkan ratusan ribu orang awam menjadi pelarian.

Majoriti terbesar pelarian –lebih daripada 430,000- adalah penduduk Islam Rohingya yang melintasi sempadan Bangladesh untuk melarikan diri daripada operasi ketenteraan yang disifatkan PBB sebagai pembersihan etnik.

Tetapi puluhan ribu etnik Buddha Rakhine dan sejumlah kecil penduduk Hindu juga melarikan diri mendakwa yang mereka diserang militan Rohingya.

Pada Ahad, tentera mengatakan mereka menemui dua kubur besar dipenuhi dengan 28 mayat penganut Hindu-kebanyakan wanita dan kanak-kanak- di luar perkampungan Ye Baw Kyaw di utara Rakhine.

Pihak tentera mengatakan pembunuhan itu dilakukan “pengganas pelampau” Rohingya.

Tujuh belas mayat lagi ditemui pada Isnin, kata jurucakap kerajaan Zaw Htay.

Ni Maul, seorang pemimpin Hindu yang menyertai operasi itu bersama tentera dan polis berkata mayat baru itu adalah lelaki Hindu berusia antara 30 hingga 50 tahun dan dikebumikan dalam dua lubang besar.

“Kami masih mencari bersama-sama tentera dan polis kerana kami percaya lebih 100 orang dibunuh ketika itu,” katanya kepada AFP.

Pelarian Hindu dari kawasan itu, dikenali sebagai Kha Maung Seik memberitahu AFP yang pemberontak Rohingya menyerbu perkampungan mereka pada 25 Ogos dan membunuh serta membawa ramai penduduk kampung ke dalam hutan.

Mereka menunjukkan kepada AFP senarai 102 penduduk dua perkampungan itu yang dikhuatiri sudah mati dibunuh.

Beberapa wanita beragama Hindu turut diculik militan menurut pelarian itu.

Disebabkan kerajaan menutup akses ke dalam zon konflik itu, sukar untuk mengesahkan kebenaran dakwaan itu yang menyemarakkan lagi kebencian etnik di Rakhine.

Tentera juga menyalahkan keganasan tercetus kepada etnik Rohinya dengan mendedahkan penderitaan kumpulan etnik lain yang turut sama terjebak dalam konflik itu.

Kawasan tumpuan konflik, kawasan utara Rakhine dikenali sebagai Maungdaw adalah kawasan yang mempunyai hubungan etnik yang rapuh, didominasi oleh Rohingya.

Tetapi hampir 40% penduduk Rohingya sudah meninggalkan kediaman mereka sejak keganasan tercetus.

Di Bangladesh, agensi kemanusiaan bergelut untuk memenuhi keperluan pelarian yang berkumpul di Cox’s Bazaar. PBB menyifatkan kebanjiran pelarian itu sebagai “kecemasan pelarian terpantas dan paling terdesak dalam dunia”.

Tetapi masih tiada simpati kepada minoriti Islam di dalam Myanmar, apabila Islamfobia sudah lama membarah dalam negara majoriti Buddha itu.

Walaupun sebelum keganasan terbaru itu tercetus, 1.1 juta penduduk Rohingya hidup dalam kemiskinan dan ratusan ribu menduduki kem pelarian dalam negara.

Mereka yang hidup di luar kem pula tidak mempunyai kewarganegaraan dan dihadkan pergerakan mereka untuk mendapatkan pekerjaan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Penganalisis berkata penindasan itu membantu kebangkitan pemberontak Tentera Pembebasan Rohingya Arakan yang menarik negara itu ke dalam krisis kemanusiaan terburuk pernah berlaku kini. – AFP, 25 September, 2017.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa