Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, September 10, 2017

Satu persoalan: Mampukah Parti Warisan Sabah menggugat?

Parti Warisan Sabah menggugat?
Awang Azman Awang Pawi
Diterbitkan pada 10 Sep 2017 7:00AM

“SAYA bukan wakil keluarga. Saya adalah wakil rakyat”.

Demikian antara kata-kata penting yang mengandungi banyak makna tersirat yang diungkapkan oleh Shafie Apdal dalam satu pertemuan baru-baru ini, setelah hampir setahun selepas Parti Warisan Sabah ditubuhkan.

Shafie keluar Umno kira-kira dua minggu selepas Majlis Tertinggi Umno menggantung keahliannya dalam parti. Penyokong Shafie percaya pemimpin mereka itu tidak diberikan peluang membela diri dengan surat tunjuk sebab sebelum MT Umno membuat keputusan. Mereka juga percaya penggantungan itu dicadang dan disokong oleh ahli politik kanan Umno Sabah.

Shafie digantung pada hari yang sama MT Umno mengambil keputusan memecat timbalan presiden parti, Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

Shafie sebelum ini ialah naib presiden Umno dan ketua Umno Bahagian Semporna.

Pada pemilihan Umno 2014 beliau berjaya memperoleh 174 undi, yang kedua tertinggi selepas Ahmad Zahid Hamidi yang mendapat 185 undi. Kerusi ketiga naib presiden Umno diduduki oleh Hishammuddin Hussein yang hanya dapat 100 undi.

Keputusan pemilihan itu membayangkan pengaruh, populariti dan sokongan Shafie dalam Umno. Namun sejauh manakah populariti Shafie selepas keluar Umno dan menubuhkan Parti Warisan Sabah?

Kias Shafie

Selepas Shafie digantung, Naib Ketua Umno Bahagian Semporna Jaujan Sambakong pula mengumumkan keluar parti bersama tiga ketua sayap Pemuda, Wanita dan Puteri serta penyokong-penyokong mereka.

Keputusan Shafie meletak jawatan parti amat mengejutkan. Walaupun katanya ada usaha dalam kalangan kepimpinan Umno untuk memujuk agar beliau membatalkan hasratnya meninggalkan Umno, Shafie tegas dan muktamad dengan keputusan dan pendiriannya.

Pendiriannya itu ada kaitan dengan kata-katanya secara berkias pada satu pertemuan baru-baru ini: “Sekiranya imam tidak betul, makmum berhak menegur, menasihat dan mengingatinya. Saya dalam barisan makmum di barisan hadapan. Sudah tentu saya lebih tahu dan lebih dekat akan kekhilafan imam berbanding makmum yang berdiri di saf belakang.”

Parti Warisan yang beliau tubuhkan mencatat sejarah, ada lima wakil rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum walaupun parti itu belum berdaftar.

Struktur partinya menyerupai struktur Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak yang melibatkan perwakilan pelbagai etnik dalam setiap peringkat.

Dalam konteks politik Sarawak, acuan ini sangat berjaya berbanding parti yang didominasi oleh satu etnik sahaja. Struktur parti yang kukuh seumpama ini mampu melonjakkan kemenangan kepada Parti Warisan dan ini sudah pasti suatu cabaran besar kepada BN di Sabah.

“Jangan lagi kita galakkan politik perkauman dan keagamaan. Tiada lagi Dusun, Kadazan, Murut, Cina atau Bajau tetapi semuanya rakyat Sabah,” kata Shafie dan kata-katanya itu kemudian tular di media sosial.

Politik etnik

Dengan menubuhkan Parti Warisan, Shafie mengasaskan parti politik pelbagai kaum. Kini beliau dilihat mengukuhkan kekuatan etnik Bajau dan Kadazan Dusun tanpa meminggirkan etnik-etnik lain. Namun politik etnik dominan di peringkat mikro di Sabah.

Etnik Kadazan-Dusun mewakili sekitar 18% penduduk diikuti oleh etnik Bajau sebanyak 15%, manakala Bumiputera lain seperti Bisaya, Orang Sungai, Kadayun, Suang Latut membentuk kira-kira 20% pengundi yang berpotensi mengundi Parti Warisan. Etnik Cina yang berjumlah sekitar 9% lebih cenderung berfokus kepada DAP.

Shafie sedar akan hal ini dan ini menyebabkan beliau berkata “tidak semua kerusi Parti Warisan akan bertanding.”

Kekuatan Shafie ialah politik personaliti, sesuai dengan wataknya yang mesra rakyat. Sentuhan politiknya ketika bersama Umno begitu ampuh sekali, sehinggakan ada penyokongnya yang ditemui di kawasan parlimennya baru-baru ini menganggap beliau seolah-olah ‘dewa dari langit’ yang membawa bantuan dan pertolongan kepada rakyat. Beliau sangat mengutamakan khidmat kepada rakyat dan ini diakui oleh ramai pengundi di kawasannya.

Politik personaliti atau faktor calon amat mempengaruhi pengundi dalam pilihan raya di Sabah. Calon yang mahu menentang Shafie di kerusi Parlimen Semporna mestilah orang yang mempunyai personaliti yang lebih baik berbanding beliau.

Kerajaan baru atau kerajaan pasir?

“Kalau dahulu Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Joseph Pairin Kitingan pernah menewaskan BN di Sabah pada tahun 1985, pada kali ini mengapa tidak Presiden Parti Warisan, Shafie Apdal?”  kata seorang penduduk yang ditemui di Penampang baru-baru ini.

Hal ini bermakna sudah ada kesedaran bahawa politik Kadazan-Dusun sedia menerima kepimpinan yang diterajui oleh etnik Bajau. Maknanya, Shafie dilihat sebagai ikon baharu yang dapat menyatukan bukan sahaja antara Bajau dengan Kadazan-Dusun, akan tetapi seluruh etnik di Sabah.

Tetapi mampukah Shafie melaksanakan tugas tersebut? Sejauh manakah Shafie dapat keluar dari bayang-bayang atau citra Umno yang diwakilinya selama puluhan tahun? Jangan kita lupa, Shafie adalah antara pemimpin yang membawa Umno ke Sabah.

Apakah Parti Warisan hanya ampuh dalam konteks politik di pantai timur Sabah sahaja? Sejauh manakah pengukuhan politik Parti Warisan di pantai barat? Strategi ampuh tentunya  diperlukan bagi memperluaskan pengaruh dan kuasa politik Parti Warisan ke seluruh negeri.

Apakah strategi terbaik kerjasama dua etnik besar, iaitu Bajau dan Kadazan-Dusun pada pilihan raya umum akan datang? Bagaimana pula strategi Warisan berdepan sesama parti tempatan pembangkang yang mesra BN seperti Gabungan Sabah (USA)?

Kesemua ini seakan-akan sebagai senarai semak yang perlu diberikan perhatian dan tindakan segera oleh Parti Warisan. Inilah yang menentukan sama ada Parti Warisan Sabah dan pembangkang akan berjaya menubuhkan kerajaan baru di Sabah, atau sekadar membina kerajaan pasir semata-mata. – 10 September, 2017.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa