Pembangkang hanya mahu undi, bukan nyawa, kata Dr Mahathir
Ucapannya sempena ulangtahun pertama PPBM turut menolak dakwaan orang Melayu akan hilang dominasi politik di bawah Pakatan Harapan.
Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada sambutan ulang tahun pertama PPBM di Muar, Johor.
Pengerusi PPBM dan PH itu berkata sekiranya rakyat memberikan mandat kepada mereka, pembangkang berupaya memulihkan negara daripada “kerosakan” yang dilakukan BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Kami dalam PPBM dan PH tidak menuntut apa-apa untuk diri kami dari rakyat.
“Di negara lain, rakyat sanggup mati untuk negara, yang kami pohon hanyalah undi bagi kami pada pilihan raya umum (PRU) ke-14,” katanya berucap di majlis sambutan ulangtahun pertama PPBM di Bakri, malam tadi.
Bekas perdana menteri itu berkata negara akan dijajah semula dan Malaysia akan hilang dari muka bumi jika Najib menang PRU ke-14 dan kekal sebagai perdana menteri.
“Mungkin perdana menteri boneka yang bergerak dan bertutur kata mengikut kehendak dalangnya,” katanya, di hadapan 5,000 penyokong dan ahli PPBM seluruh negara yang berkumpul di Dewan Y Square Connexion di sini.
Dr Mahathir mengakui PPBM ada kelemahan tetapi yakin ia dapat diatasi.
“Ya. Memang PPBM menghadapi masalah. Tetapi hampir semua masalah ini telah dan akan diselesaikan.
“PPBM yakin akan kekuatannya dan keupayaannya memainkan peranan penting dalam gabungan parti lawan, Pakatan Harapan,” katanya.
Dr Mahathir juga menolak dakwaan DAP akan mendominasi gabungan PH, dan berkata wakil rakyat DAP lebih sedikit berbanding wakil rakyat Melayu.
“Demikian juga kawasan dan wakil rakyat bukan Melayu tidak melebihi Melayu.
“Tiga buah parti Melayu dalam PH jauh lebih ramai tetapi PH tidak akan mengabaikan tanggungjawab dan keadilan terhadap bukan Melayu, layanan terhadap mereka akan menjadi sebahagian dari dasar kami,” katanya, di sebalik kenyataan beberapa pemimpin Umno termasuk setiausaha akhbar perdana menteri yang berkata PH dikuasai oleh DAP walaupun tidak ditonjolkan pada barisan kepimpinan gabungan itu.
Dr Mahathir membuat perbandingan dengan kerjasama dalam BN yang pernah dipimpinnya.
“Seperti mana Umno tidak didominasi MCA dan MIC, demikian jugalah parti Melayu dalam gabungan PH tidak akan didominasi oleh DAP,” katanya.
Tambahnya, PPBM tidak akan bersaing dengan rakan komponen dalam PH dan ia yakin sikap sama diamalkan rakannya.
“Tetapi kita perlu perkukuh dan perbesarkan PPBM supaya sokongan kita kepada PH akan menghasilkan kejayaan.
“Inilah tujuan kita, kepentingan peribadi tidak ada tempat dalam perjuangan kita, hanya kepentingan negara, bangsa dan agama yang menjadi matlamat perjuangan rakyat dan kita,” kata Dr Mahathir.
* Doktrin begini kan Tun dan Pemimpin-Pemimpin UMNO yang tanamkan dulu!
Undi apa lagi? Org tua kutuk nyanyuk! Tak puaskah lagi 22 tahun memerintah? Tak puaskah lagi menjahanamkan berbillion2 ringgit duit rakyat? Tak puaskah lagi membunuh nyawa2 tak berdosa di memali? Tak puaskah lagi menjahanamkan ekonomi umat Melayu termasuk Al arqam ? Tak puaskah lagi mendera rakyat Kelantan dgn menyekat royalti ? Setelah hilang kuasa baru Kau nak berlaku adil konon ? Kenapa tidak semasa Kau berkuasa 22 tahun dulu? Benarlah firman Allah : manusia semasa hidupnya suka berbuat dosa dan ingkar perintah Tuhan tetapi setelah mati mereka pohon utk hidup kembali serta berani utk beramal solih yg amalnya tidak pernah dibuat oleh orang lain! Melayu Mmg mudah lupa! Itulah janji2 munafik org politik yg tdk berpegang dgn agama Islam !
ReplyDelete