Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, September 7, 2017

Tragedi 1999 hantui Umno Terengganu

Menjelang PRU14, tragedi 1999 hantui Umno di Terengganu

SELAMA bertahun-tahun dalam beberapa pilihanraya umum (PRU), Salmah Mahmud, 56, menyokong Umno di Terengganu kerana kata orang, kalau dikelar lengannya, darah keluar biru. Tetapi dalam PRU10 pada 1999, beliau tidak keluar mengundi; marahkan Umno kerana insiden mata lebam Anwar Ibrahim.

Menjelang PRU14, Salmah dan suaminya sekali lagi berazam untuk tidak juga keluar mengundi. Kali ini beliau marah kerana partinya yang memerintah negara dan negeri Terengganu gagal mengawal kenaikan harga barangan.

Bagi Salmah, salah kerajaanlah harga barang dan kos sara hidup meningkat kerana memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan sistem baru harga petrol yang turun naik setiap minggu.

"Malas saya nak keluar mengundi kali ini. Biar dia kalah sekali lagi. Baru mereka sedar apa yang kami alami di bawah ni," katanya semasa ditemui ketika sama-sama menyertai majlis sembelihan korban sempena Hari Raya Aidil Adha di Marang, Terengganu, tempat terletaknya kawasan parlimen Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Kerana tindakan Salmah dan rakan-rakannya dalam Umno pada tahun 1999, PAS menguasai Terengganu apabila mendapat 28 daripada 32 kerusi negeri. Hadi pada masa itu dilantik jadi menteri besar tetapi PAS hanya jadi kerajaan negeri untuk sepenggal.

"Masa itu kami marah kerana kes Anwar. Lagi pun masa itu Wan Mokhtar sudah lama jadi menteri besar (MB). Kami nak berubah juga kerana bosan MB yang sama saja," katanya merujuk kepada MB Terengganu sebelum Hadi, Wan Mokhtar Ahmad.

Apa yang dirasai Salmah turut dirasai oleh jentera Umno di kampungnya dan juga di kebanyakan tempat di Terengganu.

Selalunya menjelang pilihan raya macam sekarang, mereka sangat sibuk menguruskan pelbagai program parti. Setiap hujung minggu bas biasanya keluar masuk ke kampung untuk membawa pengundi "makan angin" ke pelbagai destinasi, misalnya ke Langkawi atau Kuala Lumpur.

Namun tahun ini, walaupun angin pilihan raya bertiup kencang, aktiviti Umno tidak menampakkan mereka bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

Cakap-cakap kononnya Umno hendak menyerahkan Terengganu kepada PAS juga mula sampai ke telinga mereka. BN kini hanya mempunyai majoriti tipis dalam Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 32 kerusi itu. BN hanya ada 17 manakala pembangkang 15, yang 14 daripadanya dimiliki PAS manakala PKR satu kerusi.

Suami Salmah, Mokhtarudin Ahmad, 60, juga tertanya-tanya betulkah cerita yang mula tersebar di Terengganu itu.

"Takkan kerana nak kerjasama dengan PAS kita serah Terengganu kepada mereka," katanya yang jelas tidak puas hati kalau benar berita yang sampai ke telinganya itu.

Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Annuar Musa baru-baru ini bahawa Umno menyerahkan kepada budi bicara presiden parti, Najib Razak untuk menentukan urusan kerjasama dengan PAS menghangatkan lagi desas desus itu: kononnya ada kata sepakat Terengganu dan Kelantan akan diserah kepada PAS kalau dua parti itu bekerjasama.

Bagi Naib Ketua Umno Kuala Nerus, Apli Yusof, agak payah juga untuk penyokong kuat Umno dan PAS menerima kerjasama itu kerana bukan sedikit luka dan parut kesan pertelagahan dua parti Melayu itu sejak sekian lama.

Namun, beliau mengaku hubungan antara Umno dan PAS di Terengganu memang semakin rapat sejak kebelakangan ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairudin Aman Razali dari PAS baru-baru ini dilihat naik kereta bersama Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman, yang juga Adun Seberang Takir, kerusi yang terletak dalam kawasan Parlimen itu.

Gambar itu menjadi tular di laman sosial dan hangat jadi buah mulut antara penyokong kedua-dua parti yang selama ini tidak berlaga angin itu.

Perangkap Umno

PAS sebelum ini mengumumkan akan membentuk pakatan pembangkang kedua yang dikenali dengan nama Gagasan Sejahtera Rakyat dan akan ikut bertanding dalam pilihan raya menentang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Tetapi ada dalam kalangan pencatur strategi PAS yang percaya kalau parti Islam itu bertembung tiga penjuru, ia sebenarnya sedang masuk ke dalam perangkap yang disediakan oleh Umno. Dalam keadaan Umno yang tidak kuat di negeri itu, perangkap ini diyakini cara untuk mengekalkan Umno di Terengganu.

Walaupun menguasai negeri, Umno Terengganu terdera dengan konflik dalaman setelah berlaku perebutan kerusi menteri besar selepas PRU12 pada 2008. Kerusi MB bertukar tangan kepada Ahmad Said apabila Sultan Terengganu tidak berkenan dengan Idris Jusoh yang jadi pilihan Umno di Kuala Lumpur.

Selepas PRU13, Ahmad Said pula tidak berpuas hati apabila cuba diberhentikan sebagai MB kerana kononnya tempoh beliau hanya untuk sepenggal saja. Beliau kemudian meletak jawatan, membuka jalan kepada Ahmad Razif Abdul Rahman menjadi menteri besar.

Ahmad kemudian memukul canang mengatakan beliau “diturunkan kerusi” kerana enggan bersetuju mencagarkan hasil gas dan minyak Terengganu untuk 1Malaysia Development Berhad yang asalnya dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA).

Ahmad Said tahun lalu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif dengan sokongan lapan Adun Umno dan wakil tunggal Adun PKR.

Namun 14 Adun PAS diketuai Hadi enggan memberikan sokongan. Kerajaan negeri kekal di bawah Umno, Ahmad Razif kekal jadi MB tetapi pergeseran dalaman parti itu tidak dapat disembunyikan lagi.

Sekarang ini pula, timbul lagi desas desus ada nama lain yang sudah disebut-sebut akan jadi pengganti Ahmad Razif selepas PRU14 nanti.

Tetapi pada masa sama, baik bekerjasama atau tidak, kedua-dua parti itu harus juga berdepan dengan parti serpihan PAS, Amanah yang kini mengepalai usaha PH menawan negeri itu. Ketua Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah baru-baru ini diumumkan sebagai pengerusi PH negeri.

"Sekurang-kurangnya 35-40% penyokong PAS kini sudah menyokong Amanah walaupun mereka kekal dalam parti itu," kata sukarelawan Invoke untuk Kelantan dan Terengganu yang berpejabat di Gong Badak, Kuala Nerus.

"Jika jelas PAS dan Umno bekerjasama, peratusan sokongan kepada Amanah akan meningkat lagi," kata beliau ketika ditemui selepas majlis lawatan Biro Pilihan Raya (BPR) Amanah Kelantan ke pejabatnya.

Invoke kini memberikan tumpuan kepada 45 hingga 50 kerusi Parlimen di seluruh negara yang mencatatkan majoriti tipis semasa PRU13 dulu, termasuk di Kelantan dan Terengganu.

"Penyokong Amanah kekal dalam PAS kerana sikap penyokong PAS di Terengganu yang terlalu taksub.

"Jika mereka tahu ada ahlinya yang sertai Amanah, orang itu akan diboikot, dilabel dengan pelbagai label yang buruk dan sebagainya," katanya menjelaskan kenapa agak sukar menemui penyokong Amanah secara terang-terangan di Terengganu.

Salmah mengakui cerita itu. Menantunya sendiri yang dulunya penyokong kuat PAS kini sudah berpindah menyokong Amanah.

"Orang Amanah ini sokong dalam diam-diam sahaja tetapi kalau kita cakap dengan mereka, kita tahulah mereka sudah lari daripada PAS," katanya.

Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad mengaku bukan mudah untuk Amanah dan PH menawan Terengganu kerana sejarah Umno dan PAS yang lama bertapak di negeri itu.

“Ia tugas yang sukar tetapi bukan mustahil dan Amanah boleh menjadi kejutan untuk PAS," katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa