Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mustapa Mohamed
$entry.content.caption.value
KOTA BHARU- Umno Kelantan akan berusaha menyelesaikan isu berbangkit termasuk tuntutan royalti minyak yang kini menjadi modal kempen pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata sebarang isu-isu yang dibangkitkan itu tidak boleh diselesaikan dengan  mudah kerana negara mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi.

Menurutnya, Kerajaan Pusat tidak berdiam diri dalam soal hak rakyat kerana kita sebuah negara demokrasi malah isu terbabit sudah dibincangkan pada peringkat dalaman.

“Menyentuh soal tuntutan royalti minyak, apa jua tindakan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya sebab negara kita ada peraturan. Memang akan ada orang tidak berpuas hati tetapi kita berusaha menyelesaikan isu ini secara berhemah,” katanya kepada pemberita ketika majlis ‘Makan Colek Bersama Media’ bersama pengamal media di sini, malam tadi.

Mustapa berkata demikian bagi mengulas kenyataan Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mengulangi pendiriannya supaya Barisan Nasional perlu menyelesaikan segera isu royalti minyak yang dituntut Kelantan sebelum PRU13.

Dalam kenyataan itu, Tengku Razaleigh mengakui beliau ada didatangi beberapa pemimpin Umno Kelantan yang meminta pandangan kaedah untuk menguatkan semula Umno di negeri.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut mengakui terdapat pemimpin Umno menemui Tengku Razaleigh dan berbincang isu tuntutan royalti tersebut.

“Memang kami ada berjumpa dengan beliau (Tengku Razaleigh) satu ketika dulu bincang dari hati ke hati mengenai isu berbangkit termasuk tuntutan royalti untuk mengukuhkan Umno sekarang,” katanya.

Kerajaan Pas Kelantan mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Ogos 2010 terhadap Petronas berhubung royalti minyak yang didakwa dikeluarkan di pengairan negeri.

Dalam kes saman itu, Kerajaan Negeri tidak menetapkan tuntutan dibuat sebaliknya menyerahkan kepada mahkamah menentukannya. - SH