Saya cuba bercuti daripada menulis dan memberi tumpuan kepada rawatan bagi memulihkan serangan strok awal Julai lalu. Ramai teman turut menasihatkan agar dimanfaatkan kesempatan itu untuk mengimarahkan sepenuhnya Ramadan, yang menghampiri 10 malam terakhir -- tempoh paling berharga, yang menjanjikan seribu satu anugerah langsung dari Ilahi.
Berdepan situasi politik tanahair yang tidak pernah reda, termasuk semasa berpuasa (seorang rakan mengingatkan, Rasulullah berdepan perang besar juga di bulan Ramadan), sukar sekali "beruzlah" daripada kebingitan sekeliling yang menggemakan tuntutan melakukan perubahan. Terasa resah dan semacam perasaan bersalah menyelubungi diri. Partisipasi politik, biarkan sekadar melafazkan satu slogan atau mengungkapkan satu kalimah perlu diteruskan.
Ya, biarlah jasad dilihat lemah tidak bermaya, namun pemikiran harus terus menerawang atau sekurang-kurangnya impian dan angan-angan tidak mati terpenjara. Lama dahulu, kira-kira 20 tahun lepas, saya pernah mencadangkan agar cuti panjang hari raya ditukar kepada cuti akhir Ramadan. Walaupun tidak ramai menyahutnya, tetapi saya kira tidak sedikit yang mula memilih untuk melapangkan masa, termasuk dengan beriktikaf di masjid pada 10 Ramadan terakhir.
Seperti saya tekankan minggu lalu, peluang menonton program televisyen semasa bercuti sakit ini juga menyerlahkan propaganda berterusan Umno-BN, yang dipakejkan secara tergesa-gesa dan "kasar sekali". Menunggu siaran Buletin Utama TV3, kita dipaksa menatap "iklan tidak berbayar", yang terus memomokkan Bersih 3.0 sedangkan himpunan itu telah berlangsung lebih 100 hari lalu, tanpa sebarang implikasi negatif buat rakyat.
Semasa strategis media dan perancang kempen Perdana Menteri Najib Razak bertungkus-lumus memerah otak berusaha menarik keyakinan rakyat kepada BN, bagi memastikan bos mereka tidak mengesahkan kebenaran teori RAHMAN, melalui pelbagai taktik dengan menggunakan pelbagai kemudahan dan dana awam, satu demi satu umpan BN itu "kantoi".
Bermula dengan tema Hari Kebangsaan yang kontang nilai patriotisme -- "55 Tahun Janji Ditepati" -- disusuli dengan lagu dan lirik tema hari merdeka yang "sarat dengan propaganda murahan BN". Lebih memalukan liriknya dicipta Menteri Kebudayaan, Kesenian, Penerangan dan Komunikasi, Dr Rais Yatim, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kemerdekaan.
Setakat petang Selasa lalu, berdasarkan laman YouTube yang memuat naik lagu tema tersebut, yang meraih lebih 170,000 kunjungan, seramai 20,546 penonton klik "tidak suka" manakala hanya 297 klik "suka". Media baru, terutama laman-laman sosial menyaksikan lagu itu diperlekeh serta dijadikan bahan jenaka, khususnya oleh anak-anak muda.
Penulis lirik yang memenangi Anugerah Juara Lagu, Buddhi Hekayat menyifatkan lagu itu sebagai satu "propaganda yang kasar". Katanya, lirik "Janji sudah ditepati, kini masa balas budi" adalah seperti "meletak pisau ke leher rakyat".
Bob Lokman, yang menulis lirik lagu Isabella, dan kini kerap muncul di pentas PAS, berkata lagu tema itu "murah dari segi tulisan, tiada nilai puitis, kata-kata yang digunakan sangat murah, tiada nilai patriotik."
"Lagu patriotik perlu sesuatu yang menimbulkan semangat rakyat, bukan mengajar mereka membodek. Lagu ini membodek dan memberitahu orang yang mereka tiada pilihan. Ia kempen politik dan bukannya lagu Hari Kebangsaan," tambahnya.
Sementara Najwan Halimi, Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KeADILan mengungkapkan dengan baik sekali: "Pendengar yang bijak pasti dapat memahami bahawa lirik lagu itu secara tersirat bertujuan memerangkap minda khalayak seolah-olah Umno-BN berjaya menepati janji dan kini telah sampai masanya rakyat mengundi Umno-BN dalam PRU13 sebagai membalas budi atas janji-janji tersebut."
Beliau turut menyinggung: "Alangkah jeleknya bila mana lirik rap pada rangkap terakhir lagu itu diselit dengan istilah (Bantuan Rakyat 1Malaysia) BR1M, klinik dan kedai yang berorientasikan retorik 1Malaysia. Apa kaitan BR1M, klinik dan kedai dalam proses penyampaian mesej kemerdekaan dan semangat patriotisme kepada rakyat?"
Usaha Umno menafikan peranan pejuang kemerdekaan, terutama daripada golongan kiri dan kalangan ulamak sudah diketahui umum. Begitu juga dengan sambutan perayaan Hari Kebangsaan, terutama semasa ulangtahun ke-50, yang mendedahkan sikap rakus Umno untuk mempolitikkannya secara keterlaluan.
Rupanya ia semakin menjolok mata ketika elit parti itu rasa tambah terancam; sepertimana orang kelemasan, apa saja mahu digapai untuk menyelamatkan diri. Soalnya, belum cukupkah dengan segala insentif dan pemberian one-off, bagi membeli sokongan rakyat?
Saya pernah mengingatkan tentang "strategi makan tuan" oleh elit pemerintah di saat-saat akhir kejatuhan regim. Mereka tidak dapat membaca petanda jelas rasa kebencian massa sehingga melakukan tindakan atau pendekatan yang sebenarnya menaikkan lagi amarah orang ramai. Lihatlah apa yang dilakukan, misalnya oleh Suharto dan Hosni Mubarak, sebelum rakyat bangkit menyeret kedua-duanya turun. Segala yang dibuat serba tidak menjadi.
Penganalisis politik terkemuka, Dr Mohammad Agus Yusoff, dilihat seperti mengulas isu ini dalam akaun facebook: "Tema Merdeka tahun ini pun sama (tidak menarik). Tak ada jiwa (soul) dan kosong mesejnya. Tidak ada semangat patriotik, tidak meniupkan rasa tanggungjawab warga pada negara, dan mempunyai agenda tersembunyi yang tidak jelas. Dekat pilihan raya, sepatutnya semua kerja mesti bermula dengan langkah pertama yang betul."
Ya, Umno nampaknya banyak melakukan kesilapan, tetapi bagaimana dengan strategi Pakatan Rakyat pula?
II.
Perkembangan golongan artis mahupun personaliti dunia seni yang semakin ramai menyokong Pakatan, khususnya PAS -- malah turut sama memeriahkan pentas ceramahnya -- menarik perhatian ramai.
Saya sudah dua kali mengulas fenomena ini. Dalam beberapa hal, komen kartunis Zunar seakan-akan tidak jauh berbeda. Beliau mahu artis berkenaan bukan hanya berceramah tetapi harus terus berkarya sebagai seniman dan budayawan.
Zunar, dan sebelum itu, beberapa penggiat seni yang "condong kepada oposisi" juga menekankan agar kerajaan negeri Pakatan Rakyat dapat memberi sokongan dana dan ruang untuk berkarya. Saya kira, mereka belum berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan kerajaan Pakatan terhadap usaha memartabatkan seni budaya.
Apa pun, reaksi Abby Abadi wajar diteliti. Katanya, dunia seni yang Islamik hanya akan wujud selepas PAS mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
“Dalam situasi artis yang berhijrah (menyertai PAS) seperti saya, Zunar kena faham keadaan artis-artis yang menyertai PAS khususnya wanita. Jadi bila berhijrah ruang untuk berkarya agak terbatas, yang berlakon dan menyanyi, memerlukan filem, drama dan rancangan yang bercorak Islamik. Artis-artis seperti kami hanya akan berkarya semula dalam bidang seni apabila sudah disediakan 'padang' yang bersesuaian dengan Syariah Islam," kata Abby.
Nah, harapan cukup tinggi disandarkan oleh artis-artis yang "berhijrah" itu kepada PAS. Pastinya PAS sudah bersedia untuk menyediakan 'padang' itu, dan bagi sesetengah pihak, ia tidak semestinya perlu menunggu sehingga kerajaan persekutuan yang baru dibentuk. Justeru, pemimpin dan aktivis Parti Islam itu harus melihat dunia hiburan dan seni budaya dalam dimensi lebih menyeluruh dan tidak dikongkong oleh "perspektif lama yang kontroversi".
"Kita mesti galakkan mereka dalam dunia seni budaya, mungkin pengalaman di Iran boleh dirujuk. Walaupun dipandu dengan adab-adab Islami, seperti menutup aurat dan tidak menyentuh pasangan yang bukan muhrim, filem-filem Iran misalnya mendapat pengiktirafan dunia, termasuk daripada Barat," pandangan seorang pemimpin kanan PAS.
"Saya bimbang mereka tidak dapat bertahan di pentas ceramah, khususnya selepas PRU13 nanti," kata seorang pensyarah sains politik. "Sekarang, dengan mood politik yang ada, memang ramai audien. Benar, Pakatan mesti fikirkan ruang, sokongan dan dana untuk mengembangkan kreativiti mereka," tambahnya.
Dalam pada itu, penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 31 Julai lalu, berkaitan rampasan buku Zunar dan tangkapan yang dibuat terhadap kartunis genius itu, bagi saya, satu kemenangan moral buat karyawan di negara ini. Kerajaan diminta memulangkan balik buku-buku kartun Zunar, Cartoon-O-Phobia, yang dirampas dan membayar ganti rugi kepadanya.
Semasa menziarahi saya di Wad HUKM baru-baru ini, Zunar memaklumkan beliau tidak menuntut jumlah ganti rugi dan menyerahkannya kepada budi bicara mahkamah. Ternyata segala cabaran yang menimpanya selama ini langsung tidak membekas terhadap kreativitinya, malah makin merangsang beliau.
Buku-buku politik saya, termasuk akhbar tidak berkala yang tiada (sebenarnya, tidak perlu) permit, juga pernah dirampas, dengan jumlah naskhah yang begitu banyak, membabitkan kerugian ratusan tibu ringgit. Kesalahannya cukup kecil, sekadar tidak meletakkan alamat pencetak dalam penerbitan berkenaan.
Karya Zunar juga begitu. Buku-bukunya dirampas tanpa alasan kukuh, dia sendiri ditahan dan pengilang serta pengedarnya diugut. Isu kebebasan berkarya di Malaysia masih belum berakhir.
III.
Tentunya tidak ramai yang mengambil berat soal perbincangan Meja Bulat "PRU13: Malaysia Pilih Siapa?" anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hak Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, baru-baru ini.
MPN, jika dilihat sosok tertentu yang selalu mengeluarkan kenyataan akhbar, dilihat tidak lebih daripada "pembodek" Umno-BN dan ini tentunya perkembangan yang menyedihkan dunia intelektual kita. Malah, dalam suasana amat mencabar buat pemerintah, apa saja akan dimanipulasi oleh Umno, 'kan?
Namun begitu, saya cuba melihat sedikit sisi positif yang boleh dimanfaatkan, terutama oleh aktivis Pakatan, khususnya PAS yang banyak disentuh dalam kajian itu. Saya tidak berminat dengan hasil tinjauan berkaitan sokongan meningkat kepada Najib atau keupayaan BN merampas Kedah ataupun Selangor.
Saya sekadar mengingatkan tentang kemungkinan kemerosotan sokongan pengundi Melayu terhadap PAS, di kala DAP dilihat berjaya meningkatkan sokongan Melayu terhadapnya. Sedangkan jika sokongan itu bertahan seperti 2008 pun, PAS masih sukar membantu Pakatan menguasai Putrajaya.
Undi Melayu sememangnya cukup kritikal dalam PRU13, baik kepada PAS mahupun Umno. Kerajaan seperti telah berputus asa atau patah hati untuk meraih kembali sokongan masyarakat Tionghua tetapi tidak putus-putus berusaha mendekati kelompok pengundi Melayu, dengan pelbagai tawaran dan "durian runtuh".
Masa masih ada, semboyan belum dibunyikan, tarikh PRU13 tetap jadi teka-taki, dan ramai pemerhati merasakan ruang dan peluang tetap terserlah buat PAS menjinakkan hati dan jiwa orang Melayu terhadapnya ...
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa