Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, April 19, 2013

RoS Akhirnya Jadi Senjata Makan Tuan Kepada BN

Hanya dua hari sebelum penamaan calon, ROS atau Pendaftar Pertubuhan tiba-tiba menghantar surat kepada DAP memberitahu bahawa ahli jawatankuasa pusatnya yang dipilih dalam pemilihan lalu tidak diiktiraf dan mahu diadakan pemilihan semula. Tindakan ROS itu jelas berniat politik dan untuk mengelakkan DAP bertanding menggunakan logo roketnya dalam pilihanraya ini.

Walaupun ROS dan SPR kemudiannya ada juga memaklumkan bahawa DAP masih boleh bertanding menggunakan logonya, isu yang timbul ialah kemungkinan pencalonan calon-calon DAP akan ditolak oleh SPR kerana pemegang jawatan DAP yang menandatangani watikah calon tetap juga tidak diiktiraf oleh ROS. Isu teknikal ini, jika DAP tetap juga menggunakan logonya, akan dijadikan senjata untuk membatalkan semua calon-calon DAP dan menjadikan mereka tidak layak bertanding. Akhirnya buta-buta calon BN yang berlawan dengan DAP akan menang tanpa bertanding.

Itulah sebenarnya muslihat ROS menghantar surat kepada DAP di saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon ini.

Muslihat lain yang diharapkan oleh Najib dengan menggunakan ROS menghantar surat itu ialah ia akan menyebabkan calon-calon DAP yang bertanding akan menyertai pilihanraya atas tiket Bebas dan masing-masing menggunakan logo yang berbeza-beza. Ini diharapkan akan mengelirukan pengundi serta memudahkan BN memutarbelitkan pelbagai fakta.

Siapa pun yang melihat tindakan ROS tergadap DAP di saat-saat akhir ini dapat merasakan ia bermotifkan politik dan untuk kepentingan Najib dan BN. Isu bantahan terhadap pemilihan DAP ini sebenarnya sudah lama berlalu dan surat penjelasan kepada ROS juga sudah dihantar beberapa bulan lalu, kenapa baru sekarang hendak memaklumkan ROS tidak mengiktirafnya?

Budak-budak sekolah pun dapat memahami maksud politik ROS itu?

Setelah mendapati kedudukan pengundi Cina masih tidak berubah dan tetap mahukan perubahan, Najib seolah-olah hilang punca untuk memikirkan apakah tindakan selanjutnya untuk menjadikan mereka berpecah. Sudah berbagai usaha dilakukannya, dari bantuan BR1M bernilai RM500 hinggalah bantuan berjuta kepada sekolah Cina, menghadiri pelbagai majlis keramaian masyarakat Cina, memakai pakaian kebudayaan Cina dan sebegainya, hakikatnya pengundi Cina tetap menolak BN.

Sementara DAP dan PKR makin menggelembung dengan sokongan pengundi Cina, MCA dan Gerakan pula makin lama makin ditolak dan diketepikan.

Najib sedar jika undi Cina tidak dipecahkan, masa depan BN akan terus kelam. Tindakan terbaru ROS terhadap DAP adalah dipercayai ke arah itu dan bagi memastikan BN terus berkuasa. Sudahlah pendaftaran Pakatan Rakyat yang menaungi PAS, DAP dan PKR untuk menyaingi BN bagi menjadikan sistem pilihanraya negara ini bergerak ke arah sistem dua parti, sehingga sekarang masih tidak ketahuan dan terperap di pejabat ROS, nawaitu ROS sebenarnya makin terserlah dengan tindakannya yang terbaru terhadap DAP ini.

Meskipun semalam DAP memberi tempoh sehingga jam 3 petang ini untuk ROS membatalkan suratnya yang terdahulu yang tidak mengiktiraf pemegang-pemegang jawatan dalam parti itu, sehingga ke malam ini, ROS masih tiada jawapan.

DAP akhirnya memutuskan calon-calonnya akan bertanding menggunakan logo Pas di Semenanjung manakala di Sabah dan Sarawak pula akan menggunakan logo PKR. Dalam hal mendesak seperti ini, ROS seharusnya bertindak pantas mengikut kepentingan semasa, sebaliknya telah gagal berbuat demikian dan seolah-olah tidak berani bertindak tanpa mendapat kelulusan daripada orang atasannya. 

Tidak syak lagi, dalam beberapa tindakan ROS kebelakangan ini, termasuk melengah-lengahkan kelulusan pendaftaran Pakatan Rakyat dan yang terbaru menghantar surat tidak mengiktiraf pemegang jawatan DAP hanya dua hari sebelum hari penamaan calon, mengesahkan ROS merupakan alat politik Najib dan umpama anggota terbaru komponen BN.

Niat dan gerak kerjanya lebih ke arah memastikan BN menang pilihanraya dan Najib kekal sebagai Perdana Menteri.

Dalam berharapan dengan PR dalam pilihanraya ini, Najib nampaknya tidak sedia untuk berhadapan dengan lawannya di padang yang sama luas dan sama rata. Sampai ke saat akhir, beliau masih cuba menekan parti-parti dalam PR dengan harapan kemenangan akan berpihak kepadanya.

Tetapi dengan tindakan DAP menggunakan logo Pas, banyak rahmat dan kelebihan akhirnya memihak kepada PR. Selain BN dan Najib tiada isu lagi untuk mengadu-domba serta melaga-lagakan antara Pas dan DAP, ia juga akan menjadikan penyatuan hati dan jiwa yang lebih erat antara penyokong kedua-dua parti itu. Jika selama ini mereka mudah dipecahkan, kini sudah tiada isu lagi.

Penyokong Pas dan pengundi atas pagar yang beragama Islam tidak akan ragu-ragu lagi mengundi Pas kerana berpendapat orang bukan Islam pun sudah boleh menerima Pas, manakala pengundi bukan Melayu pula tidak melihat ianya sebagai masalah kerana yang bertanding tetap sebangsa dengan mereka walaupun logo Pas yang digunakan. DAP tidak memilih menggunakan logo PKR kerana antara kedua parti itu tidak ada masalah dan tidak menjadi sasaran adu-domba oleh BN.

Dalam hal ini, harus diakui tindakan DAP menggunakan logo Pas adalah langkah bijak disaat-saat mereka ditekan oleh Najib melalui ROS. Tindakan Najib mahu menggunakan ROS bagi menekan DAP dan menjadikannya senjata untuk meraih keuntungan politik, nampaknya gagal lagi, malah menikam dirinya sendiri.

Dengan hanya logo Pas dan PKR yang menyertai pilihanraya kali ini untuk menentang BN manakala DAP berada di alam halimunan buat sementara tetapi calon-calonnya yang bertanding atas tiket Pas yang akan lebih bersemangat untuk melakukan perubahan, gelombang kebangkitan rakyat pasti lebih menyerlah dan membuak-buak bagi mengakhiri era BN dan Najib pada 5 Mei nanti. (SH 19/04/2013)

4 comments:

  1. Ini lah politik M'sia masa kini. Guna kuasa demi kepentingan sndiri. Kalau berani, lawan mcm anak jantan. Ini tak. Lebih teruk drpd pondan! Dgn lambang roket pun takut. Buat fitnah, buat dosa, buat video lucah, zalim pd rakyat tak takut pulak! Ya Allah, berikan kekuatan pada PR utk menentang pemimpin yg zalim. Tumbang lah hendaknya BN dlm pilihanraya nnti.

    ReplyDelete
  2. Apa yg zalimnya yd report ros ahli dap sendiri

    ReplyDelete
  3. anon 9.44
    kenapalah kau ni bodoh sangat.
    tak sedarkah kau yg ros beri surat 2 hari sebelum penamaan calon.

    kau nampak tak bendera bn berselerak di seluruh negara.

    mcm mana dap nak susun secara teratur. tentu banyak yg terganggu.

    pada saya, bn wajib ditumbangkan kerana habis semua badan bebas dalam negera diperkudakan dgn cara yg tidak demokratik.

    marilah sama2 kita bertekad membentuk malaysia baru yg lebih adil, telus dan berintegriti.

    ReplyDelete
  4. Lepas nie, kita perhatikan kertas2 undi yang akan dikeluarkan oleh SPR. cth, kat gelang patah, patut ada 2 saja, lambang PAS dan BN saja. kalu ada lambang roket jugak, sure ashoo2 dan apek2 akan konpius, so akan ada byk undi rosak, memang CELAKA lah SPR...

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa