OLEH DIYANA IBRAHIM
OCTOBER 06, 2013
Biarpun berkenalan dalam tempoh yang singkat namun ia bukan penghalang bagi Abby Abadi (gambar), 36 dan suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, membina ikatan perkahwinan.
Hanya mengenali dalam tempoh dua minggu pasangan tersebut nekad membuat keputusan untuk terus berkahwin dan menganggap ia ketentuan daripada Allah yang menetapkan jodoh mereka.
"Sesuatu yang tidak dirancang dan sukar bagi saya untuk percaya namun itulah kuasa Tuhan yang mengatasi segalanya. Kami berkahwin kerana Allah dan untuk mengelakkan daripada melakukan dosa," katanya kepada The Malaysian Insider.
"Saya hanya bertawakal, perkenalan yang singkat atau lama bukan faktor utama menjamin kebahagian. Apa yang penting tahu tanggungjawab dan faham ertinya melengkapi sesama sendiri.Malah Abby atau nama Arbaiyah Abdul Manan juga menolak persepsi yang kononnya perkenalan singkat akan mendatangkan keburukan jangka masa panjang kerana tidak begitu mengenali pasangan masing-masing.
"Hidup saya juga lebih bahagia dan tenang kini berbanding dulu, kelebihan bercinta selepas kahwin kami tetap seperti pasangan kekasih walaupun sudah berkahwin," kata Abby.
Berkahwin pada 9 Julai lalu pertemuan pertama mereka adalah di sebuah pasaraya di ibu kota.
"Selepas itu adalah dua tiga kali kami berhubung kerana saya sibuk menguruskan butik Muslimah di Taman Melawati dan ketika itu kami membahasakan diri adik dan kakak.
"Dalam masa dua minggu berkawan, dia menyuarakan hasrat hati mahu menjadikan saya teman wanitanya, tetapi saya kata dalam Islam mesti ada hubungan yang sah jika tidak, hubungan itu hukumnya haram. Terus dia melamar saya dan saya kata kepadanya, ‘beraninya awak melamar saya," kata Abby.
Kisah Abby bertemu jodohnya dalam tempoh perkenalan singkat boleh disamakan dengan istilah bercinta selepas berkahwin kerana pasangan tersebut melalui proses mengenali pasangan masing-masang dalam jarak masa kurang dari tiga bulan atau kurang daripada setahun untuk mengikat perkahwinan.
Biarpun timbul kritikan bahawa perkahwinan yang melalui proses tempoh perkenalan yang singkat dianggap terlalu terburu-buru kerana pasangan masih belum mengenal hati budi dan sikap secara mendalam namun trend tersebut dilihat semakin diterima.
Dalam beberapa temubual oleh The Malaysian Insider secara rambang ke atas beberapa pasangan suami isteri yang mengenali pasangan dalam jarak masa yang singkat mengaku tidak mahu membazir masa terlalu lama untuk mengenali pasangan.
Seperti Khairul Ishak, 32, hanya mengambil masa selama tiga bulan dan nekad untuk melamar pasangannya.
"Saya berasa tempoh tiga bulan itu sudah cukup bagi saya tidak perlu ambil masa terlalu lama seperti setahun malah ada yang sampai bertahun-tahun namun akhirnya tidak menjadi apa-apa.
"Agak-agak kita rasa serasi dengan pasangan bila kita rasa dialah orangnya yang kita ingin hidup bersama seumur hidup maka tidak perlu tunggu terus saja berkahwin," kata Khairul.
Khairul yang bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam di agensi kerajaan berkata perkahwinannya kini sudah masuk dua tahun dan biarpun dalam tempoh itu juga timbul juga percanggahan pendapat namun baginya itu adalah lumrah.
"Sehingga kini kami masih dalam proses tempoh mengenali diri masing-masing sebenarnya kerana setiap hari kita belajar untuk memahami pasangan kerana itu.
"Masa yang singkat atau tidak bukan perkara yang penting asalkan kita terbuka menerima kelemahan masing-masing," kata Khairul.
Menurut bekas Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin pula Islam sentiasa menggalakkan perkahwinan disegerakan sekiranya sudah bertemu pasangan adalah bagi mencegah maksiat.
Bagaimanapun syariat Islam juga menyarankan untuk mengenali pasangan terlebih dahulu agar ia tidak memudaratkan kepada diri.
"Dalam Islam memang disarankan kita mengenal pasangan kita sebelum berkahwin. Ini dilakukan bagi kita mengetahui latar belakang agar kita dapat memilih pasangan yang terbaik dalam hidup kita," katanya.
Selain itu, tidak timbul isu penceraian berlaku kerana wujudnya ketidaksefahaman akibat tempoh pengenalan yang singkat.
"Akhirnya ia berbalik kepada definasi bercinta itu, kalau kita nak kata keburukan atau kebaikan bercinta selepas kahwin kerana setiap perkara pasti wujudnya hal demikian.
"Sebab itu saya kata nilai balik apakah erti bercinta itu tidak salah ambil masa lama-lama untuk bercinta sebelum kahwin selagi ia tidak melakukan perkara maksiat atau berkahwin hanya untuk menghalalkan nafsu, jadi apakah pengertian bercinta itu yang perlu difahami," katanya. - 6 Oktober, 2013.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa