'Ya, gaji menteri kita bukan besar sangat'
AHMAD LUTFI OTHMAN
Walaupun ada kiraan kasar bahawa kerajaan terpaksa tanggung kos RM10 juta setahun untuk Kabinet selepas anggotanya ditambah kepada 35 orang (timbalan menteri, 27), bagi saya, itu bukanlah isu besar. Ada persoalan lain yang lebih mendesak, yang perlu didebatkan secara rinci, jika kita bicara soal menguruskan dana negara.
Secara relatifnya gaji menteri di Malaysia, termasuk perdana menteri bukanlah besar sangat. Rasanya jika dirujuk rakan-rakan sejawat negara jiran pun -- apatah lagi Singapura yang menawarkan gaji hampir setara dengan kemudahan pihak swasta -- kita tidaklah setinggi mana. Mungkin lebih kecil berbanding menteri besar dan anggota kabinetnya di Selangor, 'kan? Malah, elaun ahli-ahli Parlimen dan Adun jauh daripada mencukupi.
Tetapi, isu yang tidak perlu dipolemikkan lagi adalah saiz Kabinet kita. Ia memang terlalu besar, XXXXL, satu pembaziran paling ketara, tepat seperti perumpamaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, "begitu membusung". Katanya, tidak munasabah jika dibandingkan negara berpenduduk lebih besar tetapi mempunyai 23 menteri, seperti United Kingdom (63 juta rakyat), Amerika Syarikat (313 juta), dan India (1.1 bilion).
"Orang ramai berharap supaya Perdana Menteri akan sekurang-kurangnya menggantikan beberapa menteri kabinet Umno untuk mengembalikan portfolio tradisional MCA kepada MCA, bagaimanapun ini tidak berlaku, malah berbanding mengurangkan anggota Kabinet Umno, Najib memilih untuk menambah menjadi 35 orang," ujar Ketua Menteri Pulau itu.
Di Malaysia, jawatan menteri dikejar bukan kerana gaji dan elaun rasmi. Keghairahan memburunya berpunca daripada gamitan pengaruh dan kuasa, yang disusuli peluang meraih pendapatan lumayan. Bukankah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Suffian Hashim pernah membidas Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden AS sendiri mungkin cemburu dengan kuasa tidak terbatas Perdana Menteri Malaysia?
"Sebab itu, berbeda dengan negara-negara tertentu lain, menterinya mudah meletakkan jawatan jika berlaku sebarang krisis atau masalah di bawah potfolio masing-masing," kata seorang pensyarah sains politik ketika kami berbual mengenai integriti anggota Kabinet.
"Puncanya, bukan saja soal integriti, tetapi jawatan Kabinet di negara mereka tidak menawarkan begitu banyak kemudahan seperti di Malaysia. Mungkin gaji tinggi, tetapi kuasa terbatas dan sentiasa dipantau. Sukar untuk manipulasi," tekannya lagi.
Kolumnis Lim Hong Siang, ketika saya bertanyakan hal gaji Kabinet yang membusung, membalas: "Ada orang kata, gaji menteri-menteri bukan 0.004 peratus daripada bajet negara, tetapi gaji rasmi itu adalah 0.000 peratus daripada pendapatan sebenar mereka."
Dalam pertemuan dengan Dato' Seri Dr Rais Yatim, ketika itu Timbalan Presiden Semangat 46, sekitar tahun 1997, saya sebagai pengarang majalah Tamadun, tertarik dengan ungkapannya: "Satu lorekan mata pena (tandatangan) PM, menteri mahu pun menteri besar, boleh menjadikan seseorang itu sebagai jutawan dalam sekelip mata."
Dan beliau menekankan agar sistem kuasa kita -- yang memberikan banyak kelebihan kepada pihak eksekutif, termasuk untuk campur tangan dalam kehakiman, apatah lagi dalam dunia dagang -- mesti dirombak. Dalam masa sama, institusi penting, yang bertindak sebagai semak dan imbang, misalnya Parlimen dan media, harus diperkukuhkan. Malangnya hingga kini, malah selepas Rais sekali lagi bersara dari menteri, monopoli elit pemerintah itu berterusan.
Kepada pemimpin Umno, apalah ada pada elaun sekitar RM20-30 ribu itu. "Untuk mengikat kesetiaan ahli-ahli Umno dalam sebuah bahagian saja, wang RM30,000 terlalu kecil," dedah seorang calon Naib Ketua Pemuda Bahagian di Kedah yang mahu bertanding jawatan itu, hampir 20 tahun lalu.
"Dengan gaji menteri sekarang, bagaimana mungkin mereka boleh beli kereta mewah anak bernilai jutaan ringgit, miliki rumah puluhan juta, menaja pengikut tegar melancong ke luar negara, membeli sokongan, juga mengugut, dengan politik wang?" tanya seorang rakan, ahli perniagaan yang pernah rapat dengan seorang Exco Kanan (Umno) Kerajaan Negeri.
Dan dia pernah menaja penginapan dan makan-minum hampir RM800,000 untuk para perwakilan semasa pertandingan ketua bahagian Umno. Ya, itu hanya peringkat ketua bahagian, dan kita boleh bayangkan berapa pula yang nilainya untuk membeli undi dalam pemilihan, naib presiden misalnya.
Kuasa menganugerahkan projek-projek besar, khususnya tanpa tender terbuka, atau melalui penyamaran tender terpilih, memastikan hubungan intim antara elit penguasa dengan kalangan korporat terus menyuburkan politik wang, yang menghanguskan kantung negara.
Apabila PM (juga Menteri Kewangan) ataupun TPM. mahukan kroninya -- walaupun dengan kos tidak munasabah dan tiada pengalaman meyakinkan -- mendapat habuan menerusi projek mega, siapa dapat menghalang? Wibawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Jabatan Peguam Negara, PDRM dan juga badan kehakiman, serta tidak terkecuali kebebasan Audit Negara, terus dipersoalkan, walaupun dikatakan sudah melalui proses transformasi.
Semakin ramai menteri dilantik (sebelum PRU13 ada 29, selepasnya 32 dan kini 35), maka tambah banyak lagi hulubalang serta jeneralnya yang "tumpang sekaki". Berduyun-duyun mahu turut mengikuti rombongan "lawatan kerja", terutama untuk makan angin percuma. Dan setiap penglima atau leftenan itu mempunyai anak buah tersendiri, juga perlu "disantuni".
Dari sisi lain, pembesaran -- bukannya rombakan -- Kabinet Najib Razak menunjukkan Presiden Umno itu langsung tidak bersedia untuk melakukan perubahan bagi manfaat rakyat. Beliau lebih memikirkan kepentingan politik dan popularitinya, terutama untuk terus memantapkan sokongan dalam Umno.
Menteri yang buruk prestasinya, dan sering memperbodohkan rakyat, terus dikekalkan. Sebelum PRU13, JPM mempunyai lima menteri (tidak termasuk Najib dan Muhyiddin Yassin), lapan selepas pilihan raya dan sekarang 10. Apakah bebanan kerja lima menteri awalnya itu terlalu berat hingga erpaksa diagihkan kepada lima yang dilantik kemudiannya? Aduhai.
"Cuba kita bayangkan, andai kata ada parti pembangkang bersedia sertai BN, sudah pasti anggota Kabinet kita senang-senang bertambah jadi 40 orang, 'kan?" usik seorang pembaca Harakah. "Dan potfolio baru itu mudah dicipta, atau lantik saja sebagai Menteri di JPM."
"Walaupun sudah terlalu ramai menteri, Najib masih tidak bersedia lepas Perbendaharaan atau lantik Menteri Kewangan sepenuh masa bagi tangani cabaran sengit ekonomi sekarang. Dia tak mahu lepaskan post paling berkuasa untuk terus mengawal parti," tambahnya.
Umumnya, saya kira rakyat dapat menerima wakil parti-parti komponen lain dalam Kabinet, termasuk MCA dan Gerakan. Mungkin ia elok juga jika dilihat daripada sudut keseimbangan kaum dan penyertaan lebih menyeluruh.
Soalnya, Najib patut memilih rombakan -- dan bukannya pembesaran -- Kabinet. Paling kurang tiga menteri Umno wajar digugurkan bagi memberi laluan kepada rakan-rakan MCA dan Gerakan. Dan bukannya susah pun, ramai "tunggul-tunggul mati" dalam Kabinet,'kan?
Menteri gaji buta
ReplyDelete