Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, November 4, 2014

Kes Anwar: Pedang Demokles di tangan rakyat

Sodomi II: Tiada keputusan dicapai ketika kedua-dua pihak di ambang binasa
Hazlan Zakaria08:30PM Nov 04 2014

KOMEN: Perbicaraan dan keputusan bagi Sodomi II yang menyaksikan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa melakukan jenayah itu, sekali lagi tertangguh. Perbicaraan yang telah memasuki hari ke-6 itu mengingatkan saya akan “Pedang Demokles” yang terkenal di dalam hikayat Yunani.
Kepada kaum Cina yang bertutur Bahasa Kantonis, angka “4” dianggap sial atau “sei”. Perkataan “maut” juga berbunyi seperti itu.
Ini menyebabkan binaan lebih kerap menggunakan angka “3A” bagi mengelakkan nombor “4”. 
Ramai yang cuba mengelaknya berbanding nombor “8” yang membawa erti kekayaan.
Namun lebih ramai yang percaya, angka ini tiada kena-mengena dengan nasib yang bakal menimpa seseorang.
Hari ini, 4 November seharusnya menjadi hari di mana hidup Anwar ditentukan Mahkamah Persekutuan Putrajaya. Mungkinkah “sei” yang bakal menimpa beliau?
Anwar sendiri berasa yakin bahawa beliau bakal dihumban ke penjara sekali lagi angkara tindakan kerajaan Barisan Nasional, dan telah mencoret “warkah terakhir” buat penyokong-penyokongnya semalam.
Beliau menyampaikan beberapa amanat di dalamnya. 
“Hari ini 4 November 2014 mungkin kali terakhir kita dapat menjejak tanah yang sama, berbumbung langit yang serupa dan menghirup udara yang tiada beza tanpa hadangan tembok penjara dan tirai besi,” beliau memulakan coretannya.
Anwar juga mengucapkan terima kasih kepada para sahabatnya kerana teguh bersama menegakkan cita-cita Reformasi dan Islah yang mereka dokong selama ini.
“Saya tidak mungkin dapat bertahan begini lama tanpa dokongan dan doa daripada saudara sekalian.
“Buat rakan-rakan Pakatan Rakyat, harapan saya agar kerjasama kita dapat diperkukuh demi matlamat menumbangkan kezaliman dan menegakkan keadilan.
“Untuk anak-anak muda sekalian, masa depan Malaysia di tangan kamu semua. Bangkitlah dengan jiwa merdeka, jangan dilemahkan dengan ugutan penguasa,” kata beliau lagi.
Dengan kekal berfikiran positif, Anwar yakin perubahan bakal berlaku kelak di bumi Malaysia. 
Maka bukan mudah sebenarnya bagi Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bagi perbicaraan ini. Seperti saya katakan, Pedang Demokles seakan menanti kerajaan yang berdepan ancaman kerana kerapuhannya.
Sekiranya keputusan tidak menyebelahi Anwar, ahli parlimen Permatang Pauh itu bakal menghabiskan sisa hidupnya di dalam tirai besi.
Sudah pasti, kerjaya politiknya terkubur setakat ini sahaja.
Di usia 67 tahun, pemenjaraan Anwar bakal menyaksikan tokoh ini meringkuk buat masa yang panjang kerana pihak pendakwaraya telah memohon hukuman dilanjutkan.
Namun, pada masa yang sama, kerajaan dan institusi yang menghukum beliau juga mungkin akan terjejas teruk. 
Masa depan mereka mungkin kelam kerana Anwar dilihat harapan baru demokrasi bagi negara ini.
Seandainya dijatuhi hukuman, institusi-institusi yag dilihat sewajarnya menegakkan keadilan di negara ini semuanya dianggap tidak memainkan peranan dengan sebaik mungkin.
Proses mencari keadilan seharusnya tidak diganggu gugat oleh pihak-pihak tertentu di tampuk kuasa.
Sewajarnya juga, akauntabiliti, ketelusan dan perjalanan undang-undang ditegakkan di negara ini tanpa berpihak kepada sesiapa jua.
Dalam situasi hari ini, samada ianya keadilan buat Anwar atau sesiapa sahaja, rakyatlah HAKIMnya.
Pihak yang bertanggungjawab melaksanakan proses perjalanan undang-undang pula harus melakukan tugas mereka sebaik mungkin.
Dengan Pedang Demokles di tangan rakyat ini, pihak mana yang akan binasa agaknya?

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa