Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, December 3, 2014

Ciss.....Kokok Berdegar-Degar, Ekor Bergelumang Taik!

Ambil tanah: 25 kampung jadi korban di Pulau Pinang
ARIF ATAN | FOTO NASIR SUDIN | .
Mukadimah

Pemilikan hartanah di tangan Melayu Islam di Pulau Pinang terus menyusut sejak negeri di utara tanah air itu dikuasai pemerintahan BN. Perlunya polisi khas dan undang-undang tanah digubal bagi melindungi tanah serta kampung warisan Melayu merupakan antara resolusi dicapai dalam Seminar Meja Bulat Pulau Pinang: Halatuju dan Masa Depan Melayu Islam Pulau Pinang, 23 November lalu. Ikuti temubual Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar & Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat, MAZLAN ALIMAN bersama wartawan Harakah, baru-baru ini mengupas lebih lanjut tentang usaha menyelamatkan tanah warisan Melayu ini.

Harakah: Apa kemelut sebenar membabitkan penyusutan tanah warisan Melayu khususnya di Pulau Pinang?

MAZLAN ALIMAN: Dalam konteks Pulau Pinang sebenarnya isu ini bermula sejak dari zaman BN. Apa yang berlaku kebobrokan yang ditinggalkan pemimpin lama.

Dalam erti kata lain walaupun Umno selalu mendakwa menjadi tonggak kepada orang Melayu tetapi dalam kes yang berlaku di Pulau Pinang bukan sahaja mengabaikan kepentingan Melayu bahkan banyak isu berkaitan kepentingan orang Melayu di seluruh negara hari ini menjadi igauan mengerikan.

Saya ada laporan tentang keadaan di Pulau Pinang. Dalam tempoh 50 tahun mutakhir ini dianggarkan 25 kampung telah menjadi korban dengan pengambilan tanah sepanjang zaman pemerintahan BN.

Di Pulau Pinang, tiada tanah rizab Melayu. Yang ada tanah persendirian dan tanah wakaf. Bagi tanah persendirian, tiada akta menghalang pengambilan tanah.

Satu lagi situasi yang berlaku di Pulau Pinang ialah ancaman ke atas tanah wakaf, apabila pengurusan di zaman BN begitu lemah hingga dimanipulasi pihak yang tiada berautoriti. Saya ada butiran mengenainya yang diperolehi sejak zaman mantan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Almarhum Datuk Hamdan yang juga bekas Adun Permatang Pasir.

Jadi, seminar meja bulat 23 November lalu bertujuan untuk itu?

Ya. Kita mengadakan persidangan meja bulat sebagai satu usaha Lajnah Tanah bagi mendapatkan input daripada setiap negeri. Pulau Pinang negeri pertama kita adakan sidang meja bulat ini yang akan disusuli negeri lain terutama bagi negeri kritikal menghadapi isu tanah contohnya Johor, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Dalam dasar baru ini kita harus memikirkan agar kerajaan negeri mempunyai kawalan ketat ke atas tanah walaupun persendirian.

Cadangan kita supaya syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Permodalan Nasional Berhad (PNB), bahkan yang bersifat dana seperti KWSP, Kumpulan Wang Amanah Pencen, Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang mempunyai rizab cukup besar ambil peranan.

Apa salahnya institusi yang diwujudkan untuk membantu survival sosio-ekonomi Melayu membeli tanah-tanah persendirian milik Melayu yang hendak dijual daripada jatuh ke tangan asing.

Contohnya, kes di Kampung Mutiara. Kemelutnya puluhan tahun. Mengapa tidak pelbagai syarikat milik kerajaan ini membeli dari pemiliknya sama ada untuk aset, dibangunkan semula atau dikekalkan kepada penduduk?

Ini penting supaya tidak terlepas pada pihak lain. Malang sekali, jika penduduk Kampung Mutiara yang sebahagian besarnya Melayu dihalau keluar. Akhirnya, tanah tersebut terlepas pihak lain.

Kita menyarankan kalau ada syarikat-syarikat kerajaan ini membeli sama ada untuk aset atau dibangunkan semula atau serah kembali pada penduduk. Ini penting supaya tidak terlepas pada pihak lain.

Kalau kita tidak pertahankan, kita bimbang lambat-laun kampung tradisi ini lenyap. Mekanisme di pihak kerajaan melalui usul yang pernah dibawa ke Parlimen sebelum ini oleh Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar, malangnya usul tersebut ditolak oleh Timbalan Speaker.

Saya tidak faham logik apa usul yang begitu bermakna mengenai Tanah Rizab Melayu dan masa depan kampung tradisi Melayu di bandar ditolak begitu sahaja.

Saya masih ingat pertemuan rasmi Lajnah Tanah dengan Datuk Seri Nazri Aziz sebelum ini yang menyokong usaha jika ada akta diwujudkan di Parlimen bagi memulihara kampung tradisi sebagai warisan bangsa.

Namun, bila dibawa oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, ditolak, dengan alasan, tanah di bawah bidang kuasa Negeri. Saya amat setuju dengan hujah Datuk Mahfuz, apa gunanya Perdana Menteri mempengerusikan Majlis Tanah Negara, ada Kanun Tanah Negara dan Akta Pengambilan Tanah yang berada di bawah Kerajaan Pusat?

Sedihnya, tidak ada MP Umno yang sepatutnya bangun menyokong ketika Dato' Mahfuz mempersoalkan kenapa usulnya ditolak.

Saya hendak menyatakan yang pentingnya dari sudut tanah rizab Melayu dan keduanya supaya Majlis Lembaga Amanah diwujudkan dengan diberikan hak melalui Parlimen untuk memantau bagi memelihara tanah-tanah tradisi milik Melayu.

Bila ada mekanisme yang diwartakan maka tanah ini akan terpelihara sampai bila-bila. Kalau tidak, tiada jaminan terhadap masa depan tanah-tanah persendirian.

Modus operandi sehingga tanah perkampungan diduduki puluhan tahun berpindah tangan begitu saja pada pemaju...

Kalau kita buat perbandingan dengan Kampung Chubadak Tambahan di Sentul mereka peneroka asal kerana telah meneroka sekian lama tanah didiami.

Sepatutnya, mereka ini mendapat hak milik tetapi kedudukan tanah mereka yang strategik terdedah pada keghairahan kapitalis atau golongan pemodal.

Mereka akan gunakan kabel dengan pihak berkuasa pada kerajaan pemerintah untuk mendapatkan tanah tersebut. Caranya mudah apabila tanah-tanah itu sekalipun ada lesen pendudukan sementara (TOL), bila ada pelan pembangunan, status tanah diduduki akan ditukar status kepada setinggan bagi membolehkan mereka dihalau dari penempatan mereka.

Tentulah ini tidak adil kepada rakyat yang tinggal sekian lama tetapi syarikat yang baru muncul beberapa tahun mempunyai modal besar untuk halau penduduk.

Sebab itu melalui akta yang cuba kita lakukan di Parlimen ada satu jaminan kedudukan tanah-tanah warisan ini dalam bentuk Majlis Lembaga Amanah.

Mengapa tanah diduduki Melayu begitu mudah terancam sedangkan Umno diuar-uarkan menjaga kepentingan Melayu?

Betapa khianatnya Umno BN, pada ketika mereka bercakap soal bangsa, saya lihat kain pemidang Konvensyen Umno Wilayah Persekutuan bertemakan "Ke Mana Arah Melayu Bandar?"

Ini hanya sandiwara Umno sebab pemimpin merekalah sebahagian daripada pihak yang melindungi pemaju dan kapitalis ini untuk menghalalkan rampasan tanah orang Melayu di seluruh negara.

Tiba-tiba mereka bangkit bercakap tentang agenda bangsa sedangkan mereka pengkhianat kepentingan dan hak Melayu.

Inisiatif pihak Lajnah Tanah selepas ini...

Saya nak sebut kegembiraan saya dalam persidangan meja bulat yang lalu. Selepas pembentangan ahli panel, kita buat bengkel. Kita benar peserta suarakan apa juga pandangan termasuk menyentuh Pakatan Rakyat.

Kita catat untuk dijadikan resolusi yang akan dipanjangkan pada komponen pimpinan Pakatan Rakyat dan akan menghadap Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Ekoran daripada kebimbangan peserta, salah satu resolusi kita ialah menubuhkan badan pemikir dan penggerak kepada hal ehwal warisan kebudayaan dan pembangunan Melayu.

Badan pemikir ini terdiri daripada pelbagai latar belakang politik dan kerjaya. Kita akan salurkan pandangan mereka.

Selain itu, kita akan wujudkan badan gabungan NGO. Daripada kedua-dua entiti ini kita akan angkat isu dan agenda bertindak memantau pembangunan tanah orang Melayu dan wakaf serta mendesak pertanggungjawaban GLC kerajaan.

Kita akan mengatur pertemuan dengan CEO UDA misalnya. Dasar dan imejnya sudah jadi korporat. Kita cabar pemimpin Umno yang yang ada kuasa supaya kembalikan dasar dan matlamat asal penubuhan GLC terbabit yang awalnya bertujuan untuk membantu Bumiputera.

GLC mesti berperanan bukan hanya berfikir soal untung rugi. Rakyat mesti menuntut amanah dan kepercayaan kepada mereka. Kita minta kerajaan kembali pada matlamat asal penubuhan GLC terbabit.

Tidakkah isu tanah yang diperjuangkan di Pulau Pinang akan menjejaskan kedudukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat?

Sekali lagi saya tegaskan, ini soal amanah. Tindakan kita ini tidak bercanggah dengan kerajaan negeri seolah-olah agenda Melayu dipinggirkan dalam kerajaan negeri.

Di sinilah letaknya kewibawaan dan kredibiliti PAS dalam lanskap politik Pakatan Rakyat.

Program seperti persidangan, wacana seperti ini untuk memperkukuh Pakatan Rakyat. Sebelum ini PAS dituduh kuda tunggangan DAP. Kita membuktikan PAS tidak sekali-kali begitu. Kita mandiri bahkan kita jadi semak dan imbang dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Tidak timbul soal kita hendak menyerang kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Usaha Lajnah Tanah negeri tidaklah menyerang bahkan kita semak dan imbang daripada kebobrokan sejak zaman kerajaan BN lagi. Pakatan Rakyat ambil alih kuasa ketika sudah banyak tanah Melayu hancur dikerjakan kerajaan BN.

Isu seperti Kampung Mutiara dan Kampung Selut misalnya. Kita juga bincang Kampung Tanjung Tokong. Apa bentuk pembangunan di situ agar tidak merugikan orang Melayu manakala Kampung Batu Uban yang hanya tinggal masjid sahaja.

Kalau boleh kita kembalikan penduduk itu untuk mereka kekal mengimarahkan masjid tertua sebelum kehadiran Francis Light lagi.

Orang Melayu peneroka awal sebelum kedatangan Francis Light pada tahun 1786 sedangkan masjid itu wujud 1734 bukti orang Melayu Islam ada di situ lebih awal lagi daripada Inggeris.

Kita sanggah tanggapan kononnya Francis Light yang buka Pulau Pinang. Saya difahamkan oleh beberapa NGO ancaman-ancaman ke atas kampung Melayu.

Banyak tanah milik persendirian sebab itu kita perlukan satu polisi. Resolusi yang kita ada akan diperincikan dengan segala fakta sebelum diangkat kepada kerajaan negeri.

Kita kena lakukan penambahbaikkan serta memperkukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat yang dikongsi bersama agar tidak dilihat longgar dalam menjaga kepentingan orang Islam di Pulau Pinang. Ini sedang kita lakukan dan yakin difahami oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat kita. 

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa