Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika membuat pendedahan berkenaan berkata, penerokaan itu dilakukan oleh ‘tauke besar’ dari negara jiran dan orang luar yang mengupah buruh warga asing untuk menjalankan aktiviti pembukaan tanah.

Sehubungan itu, beliau berkata, model pelan tindakan jangka panjang untuk menyelamatkan Cameron Highlands daripada penerokaan tanah haram dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini wajar dikembangkan ke kedua-dua kawasan berkenaan dan di Lojing, Kelantan.

“Saya percaya kesan daripada pelaksanaan pelan tindakan itu dapat dilihat dalam tempoh tiga bulan. Model ini mungkin boleh dikembangkan ke Lojing sebab berlaku penjarahan tanah luar biasa di situ.

“Demikian juga di Janda Baik dan Bukit Tinggi yang telah diteroka secara haram tetapi tindakan agak lemah. Semua ini akan digerakkan menerusi jawatankuasa yang ditubuhkan jika mendapat panduan selanjutnya daripada kerajaan.

“Tetapi, selesaikan masalah di Cameron Highlands dahulu, tempat lain kita minta semua pihak memberi perhatian terhadap penguatkuasaan kerana undang-undang sudah ada,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah yang meminta dinyatakan langkah-langkah dalam memastikan pelbagai dasar, undang-undang dan peraturan dibuat oleh kerajaan dikuatkuasakan dengan tegas serta berkesan.

Ini kerana menurut Firdaus, bagi memastikan tidak berlaku perlanggaran dan keingkaran berleluasa serta tidak berulang keingkaran membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pembukaan dan penggunaan secara haram tanah tempatan oleh penda­tang asing yang seolah-olah menggambarkan kerajaan tidak serius dalam melaksanakan dasar, undang-undang serta peraturan ditetapkan.

Beliau membangkitkan soalan berkenaan kerana mendakwa wujud perasaan tidak puas hati dalam kalangan orang ramai terhadap usaha memasyarakatkan dasar dan pelaksanaan penguatkuasaan yang kurang tegas.

Pada 24 November lalu, Muhyiddin mengumumkan pelan tindakan jangka panjang untuk menyelamatkan Cameron Highlands daripada penerokaan tanah haram dan kebanjiran PATI yang antara lain mengarahkan agensi-agensi berkaitan perlu menguatkuasakan undang-undang dengan tegas serta berterusan.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, ketegasan pengurusan PTPTN termasuk menyenaraihitamkan peminjam yang enggan membayar ansuran pinjaman membolehkan kutipan harian meningkat kepada RM3 juta sehari pada masa ini.

Menurut beliau, tindakan menyenaraihitamkan peminjam me­nim­bulkan ketakutan kepada sebahagian daripada mereka sehingga mendorong pembayaran semula pinjaman dilakukan.

Mengikut Akta PTPTN 1997, katanya, tindakan menyenaraihitamkan peminjam boleh diambil jika mereka masih ingkar untuk membayar semula pinjaman atau tidak memberi maklum balas terhadap notis tuntutan.

Sementara itu, Shahidan yang merujuk kepada langkah meremajakan UMNO seperti dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2014 minggu lepas berpandangan bahawa kakitangan kerajaan perlu juga diremajakan agar mereka dapat melaksanakan tugas khususnya kerja-kerja penguatkuasaan dengan berkesan.