Musa: Pakatan Pembangkang di Sabah hanya 'syok sendiri'
7 Ogos 2012
KOTA KINABALU - Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak terpengaruh dengan taktik pembangkang yang cuba memberi bayangan seolah-olah Barisan Nasional (BN) negeri mula goyang dan berpecah berikutan tindakan beberapa pemimpin BN yang menyokong pembangkang.
Beliau berkata semua itu adalah tipu helah pembangkang semata-mata untuk meraih sokongan menjelang pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi BN negeri itu berkata keadaan di Sabah sebenarnya tenang dan orang-orang tertentu terutama pembangkang sahaja yang "syok sendiri".
"Jangan khuatir dan gusar, tidak ada apa-apa masalah. Ini merupakan cakap-cakap biasa bagi pembangkang bila ada dua (anggota Parlimen) keluar BN, dia orang heboh besar-besaran.
"Sebenarnya, dulu banyak juga wakil rakyat atau anggota Parlimen yang keluar (dari pakatan pembangkang)...kita tidak heboh kerana bagi kita itu perkara biasa," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan cek peruntukan Pakej Rangsangan Khas (PRK) bagi sekolah-sekolah mubaligh Sabah untuk tahun 2012 di SM Lok Yuk Likas, dekat sini hari ini.
Musa berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa terdapat satu lagi kejutan politik akan berlaku di Sabah pada 12 Ogos ini.
Ketua Menteri berkata Umno dan BN di negeri ini sentiasa bersatu dan bekerjasama bagi memastikan BN Sabah terus berada dalam kedudukan yang mantap dan kuat.
Beliau yakin rakyat sabah akan terus menyokong BN kerana mereka sedar bahawa kerajaan BN sahaja berupaya menepati janji terutama dalam soal pembangunan.
"BN mempunyai "good track record" dan saya yakin rakyat tahu menilai yang mana baik dan yang mana tidak baik," katanya.
Mengenai sumbangan kepada sekolah mubaligh berkenaan, Musa berkata sumbangan kewangan kira-kira RM3.7 juta daripada kerajaan pusat untuk 74 sekolah mubaligh di Sabah tahun ini menunjukkan kerajaan BN benar-benar prihatin terhadap keperluan rakyat tanpa mengira bangsa dan keturunan.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis penyerahan kuih-muih Hari Raya Aidilfitri kepada pasukan anggota keselamatan di Auditorium Tun Raffae, Menara Tun Mustapha, Musa berkata kerajaan negeri sentiasa menghargai sumbangan dan jasa anggota keselamatan yang membantu mewujudkan suasana aman dan harmoni.
"Kita bersyukur kerana kita berada dalam keadaan baik dan dapat mengadakan majlis perayaan tanpa ragu-ragu berbanding negara lain yang tidak aman dan menghadapi pelbagai masalah, pergolakan dan peperangan.
"Oleh itu, kita mesti ingat bahawa ada pasukan keselamatan atau anggota keselamatan yang sentiasa menjaga dan memastikan bahawa negara kita dalam keadaan aman dan sentosa," katanya. - Bernama
Salam uncle
ReplyDeletesentiasa sangsi dgn kemasukan mereka yg berjawatan tinggi dgn kerajaan dahulu n warlord2 mereka yg masuk @ sokong PR.
kalo ikut style gangster, kna buat sumpah n test dulu. Itupun masih leh kena tipu.