Anjing-anjing
Uthaya Sankar SB| April 1, 2013
Nenek tahu bahawa suatu hari nanti, Ganesh dan Dhurga akan memahami kisah sebenar di sebalik salakan anjing-anjing itu.
Salakan anjing-anjing di luar semakin nyaring. Memang begitulah sejak dua minggu lalu. Anjing-anjing liar dan kurap itu akan berkumpul beramai-ramai sejak awal pagi dan menyalak hingga lewat malam.
“Bising sungguh anjing-anjing itu,” keluh Dhurga, kanak-kanak berumur 10 tahun, yang sedang mendengar nenek menyampaikan kisah epik Ramayana di anjung rumah.
“Betullah, paati. Elok dihalau sahaja anjing-anjing itu yang menganggu ketenteraman para penduduk Siru Kambam,” kata abangnya, Ganesh yang dua tahun lebih tua.
Nenek tidak memberikan sebarang reaksi. Wanita tua itu tahu bahawa ada kisah sebenar yang lebih besar di sebalik insiden anjing-anjing yang menyalak tidak tentu hala itu.
Menurut cerita, semasa kontroversi berhala Dewa Shiva di Kuil Sivaperuman sedang hangat diperkatakan di Siru Kambam mulai Disember 2010, sekumpulan pengukir berhala yang bernaung di bawah Persatuan Pengukir Berhala (Perpena) berkomplot untuk menjatuhkan serta memalukan Kumpulan Ikonografer Siru Kambam.
Kisah yang sudah diketahui umum adalah bahawa kumpulan pakar ikonografi itu lebih bijak dan profesional berbanding Perpena yang hanya menyalak berdasarkan emosi kebinatangan dalam isu berkenaan.
Tidak lama sebelum itu, Encik Limau @ Tokoh Lidah Bercabang dicalonkan untuk Anugerah Pengukir Berhala Siru Kambam. Malangnya pengukir yang ada sedikit bakat itu bersubahat dengan sekutu Perpena sehingga akhirnya menamatkan riwayat serta cita-citanya.
Semasa Encik Limau sedang giat berkempen memburuk-burukkan Kumpulan Ikonografer Siru Kambam, dia ditemui mati di tebing sungai. Khabarnya alat sulit lelaki itu digonggong anjing kurap.
Menurut cerita yang tersebar di Siru Kambam dan kampung-kampung berdekatan, Penerima Anugerah Laut, Cik Timun Busuk, Encik Salib, Raja Se(ri)gala Bahasa dan sekutu mengadakan upacara khas bagi memuja unsur mistik tertentu.
Mereka mahu mendapatkan kekuatan politik ultra kiasu daripada pihak tertentu dalam meneruskan agenda jahat mereka. Natijahnya, kesemua mereka bertukar menjadi anjing kurap menjelang keesokannya. Mulalah mereka lari bercawatkan ekor sementara Kumpulan Ikonografer Siru Kambam terus utuh.
Anjing-anjing itulah yang kembali menyalak tanpa henti sejak dua minggu lalu. Semuanya berlaku selepas penerima Anugerah Pengukir Berhala Siru Kambam diumumkan oleh ketua panchayat – majlis timbang tara peringkat kampung – di bawah pohon beringin pada pertengahan Mac 2013.
Tentu sahaja Encik Limau tiada peluang untuk menang kerana dia sudah mati dan dilupai oleh Perpena sendiri.
Kumpulan Ikonografer Siru Kambam tampil mengeluarkan kenyataan ucapan tahniah kepada penerima Anugerah Pengukir Berhala Siru Kambam. Perbuatan itu menimbulkan kemarahan pihak tertentu kerana mereka belum sempat mengeluarkan ucapan berikutan masih bermabuk-mabuk di sebuah kelab malam di bandar Taiping.
Selang dua hari, keluar pula kenyataan seorang pengukir veteran yang pernah juga menerima Anugerah Pengukir Berhala Siru Kambam pada masa lalu. Dalam kenyataannya, pengukir veteran itu meluahkan rasa kurang setuju dengan keputusan pemilihan penerima anugerah terkini.
Anjing Zak*r mula menyalak
“Semua ini tentu angkara Kumpulan Ikonografer Siru Kambam dan pemuda yang mengetuainya!”
Salakan Penerima Anugerah Laut mula memecah keheningan malam. Pengukir itu sudah pun bertukar menjadi anjing kurap dan sering berdiri atas dua kaki belakang dan menggaru-garu alat sulitnya. Maka, anjing itu digelar oleh penduduk Siru Kambam sebagai “Anjing Zak*r”.
“Komentar pengukir veteran itu dikatakan pandangan peribadi. Tapi kami para anjing kurap percaya bahawa ada pihak ketiga yang memainkan peranan mendesak pengukir veteran itu mengeluarkan kenyataan seumpama itu.”
Salakannya segera disahut gerombolan anjing liar kurap yang sebelum ini khabarnya adalah manusia tetapi bertukar menjadi anjing secara penuh mistik selepas menyembah unsur tertentu yang bertentangan dengan ajaran mana-mana agama.
Bagi manusia yang bertamadun, tindakan gerombolan anjing jadian itu tentulah dianggap tidak bertamadun. Malah, anjing-anjing sebenar – bukan anjing kurap jadian – juga berpendapat demikian.
Anjing Zak*r yang dahulu kelihatan alim dan warak juga kini sudah bertukar rupa. Ramai yang tertanya-tanya apakah perubahan perangai itu disebabkan metamorfosis Penerima Anugerah Laut daripada manusia kepada anjing kurap; atau perubahan fizikal itu berlaku sebagai cerminan kepada jiwa, pemikiran dan keperibadian sebenarnya.
Agak lucu juga apabila kerja-kerja membuat ukiran patung di Siru Kambam kini dikuasai anjing-anjing kurap. Sedikit demi sedikit, seorang demi seorang tukang membuat berhala yang juga sealiran dengan Anjing Zak*r dan sekutunya mula bertukar menjadi anjing jadian.
Penduduk Siru Kambam pula tidak sampai hati untuk menghalau anjing-anjing itu. Malah, diberikan makan apabila anjing-anjing berkenaan datang berdiri di depan rumah dengan lidah terjelir dan perut kelaparan.
Walau bagaimanapun, khabarnya, makanan yang paling digemari gerombolan anjing-anjing kurap itu adalah tulang babi yang diberikan oleh seorang individu misteri dari luar Siru Kambam.
Setiap pagi, sebuah van dilaporkan datang ke Siru Kambam dan mencampak beg-beg kertas berisi tulang babi di tebing sungai, tidak jauh dari Kuil Sivaperuman. Demi kerana diberikan tulang babi itulah anjing-anjing kurap berkenaan dikatakan semakin lantang menyalak mengikut kehendak individu misteri berkenaan.
“Ketua kumpulan itu cuba mempolitikkan pemilihan penerima Anugerah Pengukir Berhala Siru Kambam!” Anjing Zak*r menyalak sambil duduk di atas busut tanpa berani menyebut nama kumpulan ikonografer yang dimaksudkan.
“Mengapa penduduk Siru Kambam masih mengundang kumpulan itu serta ketuanya memberi ceramah mengenai ikonografi kepada kanak-kanak, remaja dan belia di kampung ini? Mengapa berhala-berhala buruk yang dihasilkan oleh ketua kumpulan itu masih diberi tempat di Siru Kambam? Buta kayu atau buta apakah sebenarnya penduduk yang masih menyanjung orang itu?”
Salakan Anjing Zak*r disahut lolongan panjang oleh anjing-anjing kurap lain yang memang tidak berotak. Mereka tahu bahawa mereka perlu menyokong apa-apa yang dikatakan oleh Anjing Zak*r dan Perpena sekiranya mahu mendapatkan habuan tulang babi daripada individu misteri pada setiap pagi.
“Celaka punya Kumpulan Ikonografer Siru Kambam!” Seekor lagi anjing kurap jadian menyalak dengan nyaring lalu disahut oleh rakan-rakannya.
Demonstrasi di hadapan pejabat
“Kumpulan itu sedang mentransformasikan penduduk Siru Kambam menjadi khalayak yang pintar dan bijak berfikir, sedangkan kita masih kekal sebagai anjing kurap yang suka menjilat tahi,” jerit seekor lagi anjing dengan suara berbaur antara marah, kecewa dan sedih.
“Sepatutnya semua kurator perlu senarai hitam apa-apa berhala atau ikon seni yang dihasilkan oleh kumpulan itu!” Demikian salakan seekor lagi anjing jadian yang dahulu berpura-pura berkawan dengan ketua Kumpulan Ikonografer Siru Kambam menerusi Facebook.
“Pengukir veteran yang mengeluarkan kenyataan menolak penerima Anugerah Pengukir Berhala Siru Kambam yang terbaru sebenarnya seorang yang sangat mulia. Saya rela menyembah dan menjilat-jilat kakinya jika beliau juga sanggup memberikan saya biskut atau tulang ayam.”
Mendengar akan kata-kata Anjing Zak*r, anjing-anjing lain mula berhenti menyalak. Masing-masing menjelirkan lidah dan air liur kembali meleleh.
“Ikonografer itu ibarat sang durjana! Orang ketiga yang mengapi-apikan pengukir veteran sehingga pengukir tua yang menunggu masa untuk mampus itu berani mengeluarkan kenyataan yang pedas. Ikonografer itu hadir untuk sengaja melaga-lagakan orang dan anjing jadian seperti kita,” kata ketua gerombolan anjing itu dengan penuh semangat seraya mengangkat kaki kiri lalu menggaru-garu alat sulitnya sebelum kencing di atas busut tempat ia berdiri.
Melihat aksi Anjing Zak*r, gerombolan anjing kurap yang berkumpul di sana menyangka bahawa apa yang dilakukan itu adalah demonstrasi tentang apa yang bakal mereka lakukan di hadapan pejabat Kumpulan Ikonografer Siru Kambam pada keesokan hari.
Maka, masing-masing anjing kurap dan anjing jadian itu mengangkat kaki kanan (atau kiri), menggaru-garu alat sulit (mengikut jantina) lalu kencing semahu-mahunya sambil menyalak sekuat hati. Mereka bagaikan tidak menyedari bahawa kencing itu mengena muka, badan dan bulu anjing-anjing kurap yang berada di sebelah mereka.
“Oh! Bising sungguh anjing-anjing itu,” keluh Ganesh; sekali gus menyedarkan nenek daripada lamunan. “Tidak bolehkah penduduk Siru Kambam bergabung menghalau anjing-anjing kurap itu?”
Nenek memandang kedua-dua cucunya sambil tersenyum kecil. Beliau tahu bahawa suatu hari nanti, Ganesh dan Dhurga akan memahami kisah sebenar di sebalik salakan anjing-anjing jadian itu.
“Biarkanlah anjing-anjing itu dengan tabii semula jadi mereka. Anjing menyalak, bukit takkan runtuh,” kata nenek sebelum kembali menceritakan kisah-kisah daripada epik Ramayana kepada kedua-dua cucu kesayangannya.
Tajuk faksyen ini dipinjam daripada judul sebuah kumpulan cerpen Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad yang terbit pada tahun 1964
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa