Diperbodohkan atau memang bodoh!
Rakyat perlu tunjuk taring!
Uthaya Sankar SB| April 6, 2013
Peranan rakyat menjelang PRU-13 bukan hanya sebagai tukang sorak dan tukang tampal poster. Sebaliknya menentukan masa depan negara.
Parlimen sudah dibubarkan pada 3 April 2013 dan kini cabaran bagi rakyat (pengundi) adalah dalam menentukan masa depan negara tercinta menerusi kuasa undi.
MIC selaku komponen Barisan Nasional (BN) serta parti politik yang mengiktiraf dirinya sebagai satu-satunya parti yang mewakili kaum India dalam kerajaan khabarnya akan menempatkan 19 calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sejak 20 Januari 2013, saya membuat ramalan mengenai calon-calon MIC di beberapa tempat. Sekiranya benar Datuk Seri S Samy Vellu mahu bertanding di Sungai Siput dan Datuk G Palanivel di Cameron Highlands, maka kedudukan Devamany memang terumbang-ambing.
Di Parlimen Subang pula, khabarnya seorang individu yang saya “kenal” (tanda kutip) bakal bertanding. Mujurlah saya bukan pengundi di sana. Jika tidak, pasti saya berdepan dengan dilema antara mengundi “syaitan yang dikenali” dan “calon yang berwibawa”.
Sepanjang terlibat dalam kontroversi novel “Interlok: Edisi Murid” sejak Januari 2011, saya berpeluang melihat sendiri tahap “kekuatan” dan “suara” yang dimiliki oleh MIC dalam BN untuk membela nasib kaum India dan berjuang bagi minoriti. Kemuncak kekecewaan saya adalah apabila MIC akur pada 19 daripada 106 pindaan asal yang diperjuangkan oleh wakil kaum India dalam Panel Bebas Meminda Novel Interlok Edisi Murid.
Saya pengundi berdaftar di Parlimen Kota Raja. Pilihan saya menjadi agak mudah jika BN meletakkan calon MIC. Apatah lagi calon lama diletakkan kembali di sini. Malah, saya percaya bahawa jika MIC meletakkan calon lain sekali pun, pengundi di sini sudah cukup bijak untuk membuat pilihan yang terbaik.
Bagaimanapun, undi kaum India mungkin berpecah jika benar P Uthayakumar dari Human Rights Party (HRP) bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Raja. Daripada apa yang saya perhatikan di media sosial sejak beberapa minggu lalu – sebelum Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat “keberanian” untuk mengumumkan pembubaran Parlimen – kempen bagi Uthaya memang hangat.
Namun begitu, timbul juga sedikit kekeliruan dalam kalangan warga siber kerana “kempen” yang dibuat adalah untuk menghantar “pemimpin Hindraf” ke Parlimen. Salah seorang pengguna Facebook misalnya bertanya menerusi komen di akaun seorang lagi pengguna: “Bukankah Uthaya calon HRP; bukannya calon Hindraf?”
Mungkin juga kempen Uthaya-HRP dibuat dengan menggunakan “semangat” Hindraf seperti yang dibangkitkan di seluruh negara sejak Perhimpunan Hindraf pada November 2007.
Agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa Uthaya (tolong jangan keliru antara Uthayakumar dan Uthaya Sankar SB) dilihat sebagai calon yang bakal mewakili kaum India (minoriti) di Parlimen. Pada penelitian saya sebagai pengamal media dan pemerhati politik, langkah itu (atau kempen itu) sebenarnya boleh membahayakan diri sendiri.
Tolak politik perkauman dan agama
Sebagai seorang pengundi, saya akan melihat pada kemampuan seorang calon mewakili “Bangsa Malaysia” tanpa mengira etnik, kaum dan agama. Selain daripada itu, saya juga akan meneliti sama ada calon berkenaan mempunyai penguasaan Bahasa Malaysia yang berpatutan sebelum layak “mewakili” saya di DUN atau Parlimen.
Tidak lama dahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Muhamad pernah menyarankan bahawa “syaitan yang dikenali adalah lebih baik daripada malaikat yang tidak dikenali” – dalam konteks peribahasa Inggeris, tentunya.
Bagi saya pula, lebih baik mengundi “calon yang berwibawa” daripada mengundi “syaitan yang dikenali”. Kalaulah ditakdirkan sahabat atau saudara-mara saya sendiri bertanding di Parlimen Kota Raja dan DUN Sri Muda, saya tetap akan memilih “calon yang berwibawa”.
Antara calon yang pasti saya tidak akan undi – sekiranya ditakdirkan mereka bertanding di kawasan saya dan undi itu rahsia – adalah kroni-kroni dan sekutu Perkasa, Ridhuan Tee Abdullah dan Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin Albukhary. Begitu juga dengan calon-calon yang hanya mahu berjuang bagi “Tamil” dan “India” atau agama-agama tertentu.
Nampaknya ada satu gerakan dikenali “Arus Baru Islam” (ABI) yang meminta orang ramai “undi calon Muslim berwibawa”. Sekiranya kumpulan itu berpendirian tidak menolak “calon Bukan Islam” (tidak memusuhi calon Bukan Islam), maka saya boleh menerima saranan mereka – kerana saya juga menolak calon yang tidak berwibawa tanpa mengira kaum, etnik dan agama.
Bagaiamanpun, sekiranya diperhatikan, ABI melalui poster kecilnya di ruang siber secara terang-terangan menolak liberalisme, pluralisme, sekularisme, Syiah, kronisme dan sosialisme. Menolak kronisme, saya setuju tetapi selebihnya saya tidak bersetuju.
Terdapat juga kumpulan yang berkempen meminta orang ramai mengundi hanya calon parti politik tertentu dalam usaha membentuk Negara Islam. Kumpulan ekstrem seperti itu juga tidak akan mendapat sokongan saya.
Harap maklum bahawa saya tidak menolak “Negara Islam” dan “pemimpin Islam” tetapi menolak mentaliti kumpulan tertentu yang fanatik terhadap parti politik tertentu sehingga gagal menyedari realiti masyarakat (baca: pengundi) pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
Momokan yang sering digunakan oleh “penyokong” BN pula adalah bahawa jika Pakatan Rakyat (PR) membentuk Kerajaan Pusat, maka Pas akan melaksanakan Hukum Hudud. Momokan itu sesuai bagi menakut-nakutkan budak-budak hingusan yang tidak tahu apa sebenarnya Hukum Hudud.
Dalam buku haram “Janji Dicapati” yang diedarkan secara haram di Batu Caves semasa Thaipusam (27 Januari 2013), digambarkan bahawa kaki, tangan dan leher semua pesalah akan dikerat/dipotong. Pembodohan seperti itu pasti tidak boleh mempengaruhi orang ramai yang tahu apa sebenarnya Hukum Hudud.
Takkan hilang hak Melayu, kaum-kaum lain
Satu lagi kempen kotor yang dijalankan “penyokong” BN adalah bahawa jika PR memerintah, orang Melayu akan kehilangan kedudukan istimewa. Kononnya pemimpin DAP akan menjadi Perdana Menteri dan Perlembagaan Persekutuan akan dipinda sehingga orang Melayu hilang segala hak.
Pembohongan dan penipuan seperti itu hanya akan “laku” dalam kalangan orang yang tidak tahu bahawa Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera bukan hanya dilindungi Perlembagaan Persekutuan.
Sebenarnya, untuk meminda perkara-perkara berkaitan Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera, bahasa kebangsaan dan agama rasmi persekutuan, izin (perkenan) perlu didapatkan daripada Majlis Raja-raja yang terdiri daripada sembilan sultan/raja/yang dipertua Melayu.
Raja-raja Melayu pula sudah menandatangani tujuh wasiat pada 5 Ogos 1957 di mana wasiat itu turut menggariskan perkara berkaitan status agama Islam, tanah simpanan Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu (dan anak negeri Sabah/Sarawak).
Maka, kalaulah ditakdirkan bahawa rakyat selaku pengundi yang berhak menentukan kerajaan memilih untuk menolak BN dan mengangkat PR sebagai Kerajaan Persekutuan, segala perkara dalam Wasiat Raja-raja Melayu tetap terlindung dan terpelihara.
Bagi penduduk “Bukan Melayu” pula, perkara ketujuh dalam wasiat itu turut memberi jaminan bahawa “kepentingan sah kaum-kaum lain” akan dilindungi Raja-raja Melayu. Maka, perlindungan dijamin oleh Raja-raja Melayu; bukan oleh politikus dan parti pemerintah yang berebut kuasa dan jawatan.
Ada juga pengguna di ruang siber (media sosial) yang melihat Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai persaingan antara Najib dan Anwar. Sebenarnya, pandangan seperti itu adalah amat dangkal dan masih menunjukkan mentaliti juak-juak.
PRU-13 sebenarnya adalah persaingan antara rakyat dan politikus. Rakyat sebagai “The Third Force” iaitu pihak yang benar-benar berkuasa, perlu memberikan mesej yang amat jelas kepada politikus bahawa kerajaan dipilih oleh rakyat untuk bekerja/berkhidmat bagi rakyat.
Malah, memandangkan gelombang “menolak” BN semakin kuat, peluang PR untuk berkuasa semakin meningkat. Harapan paling minimum saya adalah agar Kerajaan Negeri di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah kekal; Kerajaan Negeri di Perak dikembalikan kepada yang berhak (seperti PRU-12); manakala perubahan berlaku di beberapa negeri lain berikutan kesedaran dalam kalangan rakyat.
Bagaimanapun, sekiranya dalam tempoh lima tahun akan datang, PR juga gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat – sama ada pada peringkat negeri atau persekutuan – maka rakyat perlu bersedia untuk “menolak” PR.
Itulah sebenarnya demokrasi. Itulah sebenarnya kuasa rakyat, suara rakyat, makkal sakthi, makkal atchi, marumalarchi, reformasi atau apa sahaja namanya.
Uthaya Sankar SB berkempen menerusi tulisan untuk menolak mana-mana politikus yang korup dan gagal berkhidmat kepada rakyat.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa