Kumpulan NGO dan parti politik yang mewakili masyarakat India masih tidak berpuas hati dengan permohonan maaf yang dikeluarkan Zulkifli Noordin dan menggesa tindakan keras dikenakan ke atas MP tersebut sebagai teladan.

Setiausaha agung Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) S Barathidasan berkata MP berkenaan sepatutnya didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas kenyataan yang disebarkan melalui rakaman video tersebut.

"Hari ini dia mohon ampun dan kata minta maaf, esok orang lain akan mulakan semula," katanya yang menambah perkara itu tidak akan berkesudahan.

"Jadi, tiada penamat kerana tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa, orang ini lihat polis tidak akan (ambil tindakan) dan mereka bebas untuk berkata apa saja yang mereka suka," katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, penolong setiausaha Pemuda Sosialis DAP Pulau Pinang, Satees Muniandy pula mendakwa Zulkifli berbohong dan permohonan maaf itu pula, seperti dilaporkan Bernama semalam, dibuat secara tidak ikhlas.

Katanya, Zulkifli dalam permohonan maaf itu berkata kenyataan kontroversinya berhubung berhala dewa Murugan di Batu Caves itu dibuat "10 tahun lalu", sedangkan patung berkenaan hanya dipertunjukkan kepada umum semasa sambutan Thaipusam 2006.

"10 tahun lalu, tiada berhala Murugan paling tinggi di Batu Caves. Maka, jelas bahawa Zulkifli berbohong dalam kenyataan permohonan maafnya.

"MIC mungkin berpuas hati dengan permohonan maaf yang tidak ikhlas itu, tetapi tidak bagi masayarkat India-Hindu di Malaysia," kata Satees dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Zulkifli juga hanya ingin menyalahkan PAS atas kenyataan berkenaan sedangkan MP berkenaan bertindak demikian atas "kebodohannya sendiri".

"Kerajaan Kelantan atau PAS tidak pernah menghina atau mencabuli hak rakyat dari pelbagai fahaman untuk mengamalkan agama masing-masing dengan bebas.

"Saya tidak pernah mendengar Tok Guru Nik Aziz (Nik Mat) menghina agama dan fahaman lain," katanya lagi.

Zulkifli semalam mendakwa kenyataan yang menghina penganut Hindu itu dibuat ketika berada dalam PAS dan ucapan itu juga dibuat dalam satu ceramah anjuran parti itu.

"Saya sudah insaf dan meminta maaf kepada masyarakat Hindu sebelum isu itu timbul... saya telah meninggalkan perjuangan dan jawatan dalam PAS yang banyak memesong saya selama ini daripada landasan yang betul," katanya seperti dipetik dalam laporanBernama.

Dalam ucapan kontroversi itu, Zulkifli kelihatan seperti menyampaikan ceramah agama di surau dan menceritakan perbualannya dengan seorang penjual berhala Hindu berhampiran di Kuala Lumpur yang kedainya baru dilanda banjir.

Perbualan itu antaranya memuatkan persoalan sekitar kenapa tuhan di kedai itu tidak menahan air daripada memasuki kedainya itu.