Sikap pembangkang sering menyalahkan Umno setiap kali berlaku krisis didakwa membabitkan pemimpin mereka boleh diibaratkan seperti cuba menyembunyikan pekung di dada, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya Umno selama ini sibuk merancang dan membangunkan negara daripada segi ekonomi, sosial dan sebagainya sehingga tiada masa untuk memikirkan perkara remeh-temeh termasuk hal membabitkan isu peribadi pemimpin pembangkang.

"Janganlah menuding jari kepada Umno apabila timbul krisis salah laku pemimpin pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pengedaran video lucah memaparkan individu dikatakan mirip seorang pemimpin PAS selepas majlis pengagihan tong sampah Alam Flora kepada 322 penduduk di Taman Kerayong Jaya, di Bera hari ini.

Ismail Sabri berkata pembangkang tidak boleh sewenang-wenangya membuat tohmahan dan tuduhan terhadap Umno apabila berlaku pendedahan salah laku yang didakwa membabitkan pemimpin mereka.

"Dalam suasana pilihan raya umum ini pemimpin pembangkang akan menyalahkan kerajaan dengan pelbagai tohmahan supaya rakyat membenci kerajaan," katanya.