Taman Negara Pahang adalah satu daripada hutan hujan tropika tertua di dunia selama lebih 130 juta tahun.
Bukan saja dikenali kerana keindahan hutan menghijau, malah mempunyai lebih daripada 300 spesies burung, 200 spesies mamalia dan dianggarkan 10,000 spesies tumbuhan.
Keajaiban yang dimiliki ini membuatkan ramai pelancong dari dalam dan luar negara singgah untuk menikmati alam semula jadi yang menakjubkan.
Selain daripada menikmati persekitaran yang segar, terdapat pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini.
Antara aktiviti biasa dilakukan pengunjung ialah merentas hutan di Bukit Teresek dan berjalan di Laluan Kanopi.
Merentas hutan ke Bukit Teresek membabitkan perjalanan dua kilometer (km) dari Kuala Tahan atau Mutiara Resort.
Perjalanan pertama sejauh 500 meter dianggap mudah kerana hanya melalui kawasan landai, namun situasi perjalanan berubah kepada pendakian yang diteruskan sejauh 1.5km ke puncak.
Kebiasaannya, pengunjung mengambil masa 45 minit hingga sejam untuk mendaki ke Bukit Teresek.
Sungguh menakjubkan apabila berada di puncak bukit kerana pengunjung dapat menikmati udara segar dan bersih, sambil mata menjamu kehijauan alam semula jadi.
Pengunjung turut berpeluang melihat Gunung Tahan iaitu puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia, namun perlu bergerak ke arah lebih tinggi iaitu 10 minit perjalanan di bukit berkenaan.
Puas menghayati keindahan di Bukit Teresek, pengunjung dibawa pulang dengan berjalan di Laluan Kanopi.
Laluan Kanopi di Taman Negara dianggap sebagai laluan paling panjang di dunia dengan 530 meter panjang dan kira-kira 40 meter tinggi dari atas tanah.
Pemandangan menakjubkan mampu diperoleh ketika berada di Laluan Kanopi dan ada pengunjung yang bernasib baik kerana dapat melihat kawanan burung Enggang dan spesies mamalia seperti monyet.
Justeru, meniti titian Kanopi dan merasai pengalaman ketika melaluinya dianggap kemestian sekiranya pengunjung berada di Taman Negara.
Selain mengikuti aktiviti berkenaan, kemudahan disediakan bagi memastikan keselesaan dan keperluan yang diingini pengunjung ke Taman Negara ini.
Oleh itu, sebuah pusat peranginan diwujudkan bagi memenuhi keperluan pengunjung, sekali gus turut bertanggungjawab memantau persekitaran di Taman Negara.
Resort Mutiara Taman Negara yang direka bentuk dan diilhamkan daripada seni bina tradisional Melayu sesuai dengan pemandangan hijau nan subur di Sungai Tembeling dan Sungai Tahan yang mengalir dari Gunung Tahan.
Resort ini menawarkan kemudahan menyeluruh dengan beberapa jenis penginapan bersesuaian dengan bajet dan keselesaan pengunjung yang boleh dipilih daripada rumah tetamu, chalet, suite chalet, chalet keluarga dan banglo.
Setiap bilik dilengkapi kemudahan televisyen, penyaman udara, fasiliti membuat kopi dan teh dengan pemandangan balkoni peribadi di setiap bilik.
Jika pengunjung datang secara berkumpulan atau ingin harga yang lebih murah, penginapan seperti asrama turut disediakan.
Kemudahan dan aktiviti yang disediakan tidak terhad kepada pencinta alam semata-mata kerana Mutiara Taman Negara turut mempromosikan percutian berbulan madu dan untuk ahli perniagaan, selain mengikuti pelbagai pakej seperti ditawarkan.
Tidak lengkap rasanya jika pengunjung tidak menikmati keenakan makanan yang disediakan chef terpilih di Restoran Seri Mutiara.
Sentuhan deko di kawasan separa terbuka membolehkan pengalaman merasai hidangan menyelerakan ditemani kicauan burung, jeritan siamang, sahutan serangga serta desiran angin yang menyegarkan seolah-olah mengalu-alukan kedatangan pengunjung.
Bersebelahannya pula disediakan Bar Pulau yang diilhamkan daripada keindahan persekitaran dengan menyediakan masakan Melayu dan Barat yang lazat dan berpatutan.
Kafeteria Terasek sering kali dijadikan persinggahan layan diri yang menawarkan hidangan tempatan dan antarabangsa.
Pengunjung gemar berkumpul di sini untuk beramah mesra dengan pengembara dari negara lain dengan bertukar cerita dan pengalaman sambil menikmati pemandangan dan udara segar Taman Negara.
Sudah jelas, kedatangan pelancong ke Taman Negara pasti memberi satu pengalaman yang menyeronokkan kerana mampu mengenali kehidupan di hutan hujan tropika ini serta menemui penduduk tempatan sedia ada.
Pengurus Besar Mutiara Taman Negara Nathan Vaithi berkata, pelbagai pihak perlu bekerjasama untuk memulihkan ekosistem dan kepentingan semula jadi dalam Taman Negara, selain membantu mempromosikan kawasan tropika ini.
“Ramai yang tidak mengenali mahupun mengambil tahu kepentingan biodiversiti hutan hujan tropika di Taman Negara Pahang.
“Setiap tahun, Mutiara Taman Negara hanya menerima 2.2 juta pelancong tempatan, berbanding jumlah penduduk Malaysia seramai 27 juta.
“Kedatangan pelancong asing juga melebihi penduduk tempatan. Sebahagian besar pelancong asing itu adalah dari Belanda,” katanya.
Menurutnya, selepas melalui pelbagai pengubahsuaian, resort terbabit kini memiliki penginapan baru bertaraf hotel.
“Orang ramai masih memberi pelbagai tanggapan buruk terhadap tempat ini seperti lusuh dan tidak sesuai untuk mereka yang sukakan teknologi maklumat.
“Ia bukan lagi seperti dulu kerana resort ini bakal dinaik taraf ke hotel empat bintang dan diharap mampu menarik lebih ramai pelancong tempatan serta dari luar negara,” katanya.
Kerajaan sepatutnya dari dulu lg upgrade facilities & logistik taman negara terutama tandas awam, laluan awam, sign board dll. Byak resort lama, restoran, kedai makan usang, rumah singgah, jeti dll yg perlu diberi imej baru. Petugas2 resort & pemandu pelancong persendirian, jugak taxi driver mesti ada imej, etika pakaian dll. Lagoon di sg tahan yg cantik kena jaga & upgrade. Org awam kena pelihara keindahan sungai. Pagi2 ada juga yg bertenggong di tepi sungai 'melepas'. Kan tak manis tu.. Org Asal kepantang melepas di sungai. Laluan darat masih kurang sign board yg menarik. Stesen2 singgah & tempat berehat masih kurang. Pak Menteri Pelencongan mesti jadikan taman negara sebagai sasaran tarikan pelancong. Tengok bagaimana begitu ramai pelancong dari pelosok dunia dtg berpusu2 ke Vietnam semata2 melawat kesan tapak perang sbb jentera kementerian pelancongan yg sgt agresif membuat promosi. Tak de pun menteri2 vietnam pergi ke melancong ke luar negara buat promosi mcm mentri Mlaysia!!!!
ReplyDelete