Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, October 9, 2013

Shabery Sukarela Mahu Mengadap PAC?

PAC mahu menteri Kabinet contohi Shabery
OLEH MOHD FARHAN DARWIS
OCTOBER 09, 2013
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar) menteri-menteri Kabinet mencontohi sikap bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang ingin menemui Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) secara sukarela bagi menerangkan sendiri isu berbangkit berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Ahmad Shabery hari ini dipetik laporan media berkata pihaknya akan menemui PAC bagi memperjelaskan berhubung isu bayaran RM1.6 juta kepada tiga kumpulan K-Pop sempena sambutan Hari Belia Kebangsaan tahun lalu seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.
"Sikap itu patut dicontohi menteri lain. Tindakan beliau amat dipuji kerana secara sukarela ingin memberikan penjelasan kepada PAC sedangkan kami belum tentukan sama ada isu berkenaan perlu disiasat atau tidak," kata Nur Jazlan kepada The Malaysian Insider hari ini, di Kuala Lumpur.
"Saya akan memohon kepada Parlimen untuk membenarkan prosiding penjelasan saya di PAC disiarkan secara langsung di kaca TV," kata Ahmad Shabery, yang kini Menteri Komunikasi dan Multimedia.Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendapati kementerian belia dan sukan menggunakan dana kerajaan untuk membayar artis K-Pop berkenaan, dan bukannya melalui tajaan seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Nur Jazlan, yang juga ahli Parlimen Pulai bagaimanapun berkata perkara itu akan diputuskan PAC sama ada siaran langsung berkenaan adalah satu keperluan.
"Di negara-negara luar kebiasaannya Jawatankuasa Pilihan Parlimen akan memanggil menteri yang berkenaan untuk memberikan penjelasan sekiranya perlu terhadap sesuatu isu.
"Namun di Malaysia hanya PAC yang mempunyai kuasa sedemikian," kata Nur Jazlan lagi.
Nur Jazlan juga memaklumkan bahawa Ahmad Shabery telah menghubunginya berhubung perkara itu.
"Sudah tentu saya mengalu-alukan beliau memberi penjelasan di hadapan PAC," katanya, dan menambah kebiasaannya jawatankuasa yang dipengerusikannya itu hanya akan memanggil Ketua Setiausaha mahupun pegawai kerajaan.
"Sebelum PAC panggil, menteri sudah tawarkan diri. Ini membuktikan kerajaan bersikap telus," katanya lagi.
Isu penggunaan dana kerajaan telah didedahkan laporan audit berhubung pembayaran artis K-Pop telah mencetuskan kemarahan orang ramai kerana bercanggah dengan kenyataan Ahmad Shabery bahawa bayaran dibuat oleh penaja.
Selain isu K-Pop, beberapa isu turut didedahkan laporan audit berkenaan termasuk kehilangan aset anggota polis bernilai RM1.33 juta. – 9 Oktober, 2013.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa