Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, December 12, 2014

Ku Li, Dah Gitu Hang Dok Tunggu Apa Lagi?

Saya tidak pasti Umno mampu berubah, kata Ku Li
TMI - Published: 12 December 2014
Lanskap politik Malaysia bermasalah apabila isu sensitif perkauman dan agam mendominasi tajuk utama media, kata Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Disember, 2014. 

Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, ahli Parlimen paling lama berkhidmat di Malaysia kecewa dengan keadaan negaranya.
"Saya tidak boleh hadapi semula pengalaman apabila Malaysia, selepas Merdeka, terperangkap dalam situasi sama dengan apa yang kita hadapi sekarang," katanya dalam temubual bersama The Edge Review.
Landskap politik Malaysia bermasalah, apabila isu sensitif perkauman dan agama mendominasi tajuk utama media dan bualan umum, menerima kesan kemerosotan ekonomi serius dengan hutang sektor awam yang meningkat dan isi rumah meninggalkan negara ini sangat terdedah kepada kejutan luar.
"Kita tidak pernah berada dalam situasi sebegini," kata ahli politik veteran berumur 77 tahun itu.
Tengku Razaleigh, putera raja daripada negeri pantai timur Kelantan itu sememangnya tahu.
Sejak pertengahan 1960-an, Tengku Razaleigh memainkan peranan dalam beberapa inisiatif ekonomi negara dan memegang jawatan penting sebagai menteri dan menjadi pesaing kuat untuk menjadi pemimpin utama negara.
Pada 1965, beliau menjadi pengarah eksekutif pertama Bank Bumiputra, yang hari ini selepas mengalami beberapa transformasi menjadi penjana kewangan serantau Kumpulan CIMB.
Pada 1974, beliau dilantik sebagai pengerusi dan ketua eksekutif perbadanan minyak nasional baru, Petroliam Nasional Berhad (Petronas), satu jawatan yang disifatkan perdana menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein sebagai "setara dengan menteri Kabinet".
Ketika zaman kegemilangannya, Tengku Razaleigh juga mencetuskan gelombang dalam parti Umno yang mendominasi kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN).
Pada 1971, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno dan 2 tahun kemudian menjadi bendahari parti.
Ini diikuti dengan pelantikannya dalam Kabinet apabila menjadi menteri kewangan sekitar 1976 hingga 1984, dan menteri perdagangan antarabangsa dan industri dari 1984 hingga 1987.
Beliau meninggalkan kerajaan selepas tewas merebut jawatan presiden Umno, dan perdana menteri Malaysia yang secara tradisinya datang dengannya, menentang Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kekalahannya menyebabkan Tengku Razaleigh digugurkan daripada kerajaan, bersama dengan penyokongnya.
Sejak itu, beliau disisihkan daripada politik arus perdana dalam Umno dan kerajaan. Tetapi bagi kebanyakan rakyat Malaysia, beliau kekal bersuara lantang.
Di bawah adalah temubual yang dijalankan baru-baru ini:
S: Bualan umum tentang politik semakin hangat dan prospek ekonomi semakin merosot. Sebagai ahli politik paling veteran dan paling lama menjadi ahli Parlimen, boleh ingat semula bila kali terakhir Malaysia terperangkap dalam situasi sebegini? Atau adakah kita berada dalam krisis yang belum pernah kita hadapi?
TR: Saya tidak ingat kembali pengalaman ketika Malaysia, selepas merdeka terperangkap dalam situasi sama dengan keadaan sekarang. Mungkin anda boleh lukis satu garisan lurus dengan pengalaman mengerikan semasa rusuhan 13 Mei walaupun keadaannya sekarang tidak serupa.
Sebelum merdeka, berlaku Hartal pada 1948 dan 1962 sehingga sukar mendapatkan keperluan asas terutamanya makanan kerana kedai ditutup.
Kemudian berlakunya Darurat Komunis sekitar 1948 dan 1960, serta Konfrontasi pada 1963.
Daripada segi ekonomi, kita berjaya menempuh 4 kali situasi kemelesetan bermula inflasi 1974, diikuti kemelesetan komoditi pada 1985, krisis kewangan Asia pada 1997-1998 dan 2008 berpunca daripada kejatuhan subprima Amerika Syarikat dan masalah beban hutang di negara Eropah.
Setiap kali kita dapat pulih dengan pantas melalui pembetulan dasar pragmatik dalam keadaan tidak terjangka.
Keadaan sekarang tidak berapa akomodatif. Saya bimbang tentang peningkatan kos sara hidup yang berterusan, kejatuhan harga minyak dan komoditi, hutang kerajaan dan isi rumah yang tinggi, menyebabkan kerajaan tidak ada banyak pilihan untuk melakukan tipu muslihat dan kelas pertengahan, pesara dan orang miskin terdedah kepada kegawatan ekonomi.
Beberapa masalah dan kesukaran ekonomi cenderung kepada punca berbaur perkauman. Selain itu, isu penstrukturan yang berterusan seperti hubungan kerajaan persekutuan dengan negeri pembangkang, serta Sabah dan Sarawak, dan sudah tentunya rasuah. Kebanyakannya menggambarkan situasi itu sebagai berjalan menuju kearah ribut.
S: Masalah politik semakin hari semakin banyak. Pandangan anda bagimana mahu menanganinya?
TR: Kebajikan rakyat mesti diutamakan. Keperluan asas, pada harga munasabah perlu disediakan. Kerajaan dan agensi dengan bantuan NGO perlu mengawal harga barang dan perkhidmatan.
Ini mesti dikendalikan dengan cara yang terbaik. Seperti yang saya katakan dalam surat kepada ahli Parlimen semasa Bajet 2015, menangani kenaikan kos sara hidup perlu diutamakan.
Tidak perlu dipersoalkan. Rakyat kebanyakannya akan menerima kesan kejatuhan ekonomi yang mendadak, dengan kejatuhan ringgit, kos pinjaman kerajaan yang tinggi semata-mata untuk dana BR1M (bantuan dana kerajaan, serta inflasi. Golongan miskin gelandangan di Kuala Lumpur menyerbu dapur jalanan dalam jumlah yang besar amat membimbangkan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu membanteras sepenuhnya bagi mengurangkan rasuah dalam sektor kerajaan dan swasta, Mereka yang memegang jawatan eksekutif, bersama pencalonnya dan pemegang amanah perlu mengisytiharkan aset dan liabiliti mereka.
Jika maklumat yang diberikan tidak sama atau bukti menunjukkan mereka tidak memenuhi syarat, semua akaun mereka sepatutnya dibekukan. Tentang hukuman, terpulang kepada beratnya sesuatu kes, mereka perlu dipenjarakan seumur hidup.
Semua agensi penguatkuasa perlu dipantau bagi memastikan unsur negatif dapat dihapuskan jika mereka mahu dapatkan semula kepercayaan awam. Semuanya sama di bawah undang-undang dan tertakluk kepada peraturan sama.
Soal keselematan merupakan perkara penting. Masyarakat mahu tahu mereka dan keluarga berada dalam keadaan selamat di mana jua mereka berada.
Soal kedaulatan juga amat penting. Hanya Tuhan saja yang tahu berapa ramai bukan warganegara memegang kad biru, menyamar sebagai rakyat Malaysia untuk mendapatkan kerja dan faedah. Tetapi ramai anak muda termasuk siswazah sama ada bekerja tidak memenuhi kelayakan atau menganggur.
S: Adakah kepimpinan sekarang mampu menyelamatkan Malaysia daripada keadaan ini?
TR: Seperti yang saya katakan tadi kepimpinan politik sudah melaluinya sebelum ini. Dengan pengalaman dan jika perdana menteri boleh menerima nasihat baik dan bertindak, di luar lingkungan penasihat sekelilingnya, serta mengambil pendekatan bijak dan melaksanakannya segera, kepimpinan ada sekarang mampu menempuhinya buat kali ini. Tetapi adakah mereka mampu?
S: Peningkatan hutang kerajaan dan isi rumah, kebocoran wang awam dan kenaikan kos sara hidup merupakan masalah utama ekonomi negara. Ini menyebabkan Malaysia terdedah kepada kejutan luar. Sebagai bekas menteri kewangan apa cara anda akan lakukan untuk meyelesaikan masalah ini?
TR: Dengan hasil keuntungan yang semakin merosot daripada Petronas sehingga 37%, ditambah dengan prospek akaun defisit, saya rasa kerajaan tidak ada pilihan melainkan mengurangkan perbelanjaan tahun depan.
Mungkin boleh dikurangkan 10% jika harga minyak mentah contohnya jatuh AS$60 setong atau mungkin berada di paras jauh lebih teruk.
Bagi meringankan beban rakyat terutamanya berpendapatan rendah, kerajaan perlu menimbangkan penangguhan perlaksanaan GST, seperti yang pernah saya cadangkan sebelum ini.
Apa masalah ekonomi lain yang perlu difokuskan kerajaan?
TR: Kerajaan perlu mengawal monopoli dan konsesi; termasuk agihan subsidi yang tidak seimbang kepada industri. Mungkin juga seperti Korea Selatan, kerajaan perlu mencukaikan wang tunai tertunggak terhadap akaun syarikat korporat tempatan dan asing.
Malaysia, saya diberitahu, banyak pegang dana luar negara, jadi kenapa tidak kenakan sekatan terhadap mereka yang mahu simpan kekayaan, terutamanya wang tunai luar negara?
Saya juga fikir kerajaan perlu ke depan dalam menjelaskan kedudukan hutang negara, kebimbangan tentang 1MDB dan hutang besar yang ditanggung beberapa oligarki dan sebagainya.
Kita tidak boleh biarkan persepsi umum merosot seperti Greece atau Ireland sehingga menimbulkan panik. Terlambat sekiranya kerajaan mahu melaksanakan langkah berjimat cermat dan akhirnya terpaksa buat pinjaman dengan IMF dan kerajaan luar.
Kerajaan tidak patut membiarkannya sehingga menjadi terlambat. Sepatutnya perlu lebih proaktif, sekarang masanya kerajaan mengambil langkah mengurangkan makanan import kerana ia menyebabkan perbezaan besar terhadap tukaran mata wang asing.
Kerajaan pusat dan agensinya dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensinya perlu menggalakkan pengeluaran makanan tempatan dengan memberikan insiatif jadi tanah terbiar boleh dimanfaatkan sepenuhnya bagi menghasilkan makanan kepada rakyat.
Sebab itu pentingnya ada Sistem dan Polisi Keselamatan Makanan. Kerajaan dan agensinya perlu memastikan bentuk pencatuan diminimakan.
S: Kerajaan pimpinan Umno semakin pekak daripada mendengar nasihat pemimpin terdahulu, seperti bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin dan diri anda sendiri. Bagaimana jika nasihat anda tidak didengari?
TR: Kerajaan perlu lebih terbuka dan sedia menerima nasihat baik dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah yang berlaku. Jika mereka enggan menerima pandangan saya, saya akan terus bercakap apa yang perlu dikatakan sebagai rakyat dan ahli Parlimen yang prihatin demi rakyat keseluruhannya.
Kerajaan perlu mendengar suara rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah, dan golongan muda yang meletakkan masa depan mereka di tangan kerajaan.
S: Imej Umno di kalangan Melayu dan rakyat Malaysia semakin merosot. Adakah parti dan gabungan yang diterajui menuju ke saat pengakhiran?
TR: Ya dan tidak. Disebabkan memegang kuasa terlalu lama dan ada yang mengatakan kerajaan BN sedang menuju ke hujung hayat pentadbirannya sama seperti yang terjadi dengan parti LDP di Jepun, dan Parti Kongres di India, atau wira perang Winston Churchill apabila partinya ditolak rakyat British yang memilih pengurusan lebih baik untuk mengendalikan pembangunan semula selepas perang.
Sememangnya, seperti yang anda kata, barisan kerajaan pemerintah kini hidup di penghujung melainkan jika parti dan kerajaan mengambil langkah mengubah semula yang sewajarnya dan melaksanakan perubahan, seperti yang Umno dan BN lakukan sebelum ini. Tapi saya tidak tahu sama ada pemimpin sekarang mendengar suara rakyat, terutamanya golongan muda.
Buat masa ini saya tidak optimis Umno dan BN mampu berubah demi kebaikan. Kita perlu tunggu dan lihat. Harap tidak terlambat.
S: Pernah terfikir untuk meninggalkan parti jika parti tiada agenda pembaharuan?
TR: Buat masa ini saya ada ruang dan dibantu oleh rakyat yang mengundi saya. Isunya adalah sama ada kepimpinan mendengar dan bersedia untuk bertindak sewajarnya. Saya tidak pasti sama ada kepimpinan parti selain barisan pemerintah mampu bersatu dan memimpin bersama membentuk masa depan negara.
Nampaknya barisan alternatif juga tidak ada daya tarikan. Kita perlu lebih serius tentang apa yang kita lakukan, jangan musnahkan kesepakatan yang pernah dibina. Saya harap ada pemimpin yang cukup bagus menyelesaikan keadaan.
S: Pandangan anda tentang Petronas dan kerajaan yang terlalu bergantung terhadap syarikat minyak negara untuk menanggung kewangannya.
TR: Ini kebimbangan jangka panjang. Sebab itu kita melaksanakan pelan peralihan, melalui kepelbagaian industri, kepada sumber bukan minyak. Tetapi kita kaya dengan sumber pengeluaran negara dan menderita daripada yang digelarkan ahli ekonomi sebagai Penyakit Belanda.
Penyakit itu cenderung melewatkan industrialisasi penuh dan terperangkap dengan pendapatan sederhana yang kita hadapi sekarang. Kita tiada pilihan melainkan berubah kepada ekonomi berasaskan pengetahuan, cari nilai tambah industrialiasi yang lebih tinggi berasaskan peningkatan produktiviti dan gaji tinggi, jika kita mahu mencapai status negara membangun dan keadilan sosial.
S: Sebagai ahli peneraju syarikat minyak negara, pernah bayangkan negeri pengeluar minyak yang jatuh ke tangan pembangkang disekat daripada bayaran royalti?
TR: Sudah tentu tidak. Petronas bukan parti politik tetapi ciptaan (syarikat) mengikut undang-undang, Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 digubal bagi mengawal sumber minyak dan gas negara demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Sehingga penghujung, Sarawak meneraju langkah selaras dengan peruntukan PDA mendapatkan hak gas dan minyak di Petronas, disusuli negeri lain dan kerajaan persekutuan dengan bayaran tunai secara kekal sebanyak 5%.
Perjanjian tidak ditandatangani kerajaan negeri dengan kerajaan pusat tetapi dengan Petronas. Sama ada kerajaan negeri dikuasai pembangkang atau tidak, itu bukan masalah bagi Petronas kerana sumber adalah hak milik rakyat dan negeri sama ada mereka menghasilkan minyak atau tidak.
Satu kebetulan sumber minyak ditemui di luar pantai kawasan negeri yang secara relatifnya kurang membangun. Sebab inilah bayaran secara tunai dibuat kepada kerajaan negeri memandangkan tiada minyak dijumpai di pesisir pantai. Kerajaan pusat dan semua negeri yang menerima hak minyak dengan Petronas sedar tentang fakta ini.
Jika tidak kenapa negeri pengeluar minyak pesisir pantai menjangkakan hanya 5% bayaran sedangkan mereka boleh kaut semua hasil keuntungan sendiri?
Ketika syarikat konsesi meninggalkan kawasan selepas 1974, mereka diberikan peluang masuk dalam Perjanjian Perkongsian Pengeluaran. Mereka boleh bekerja di kawasan yang dipersetujui tetapi mana-mana kawasan yang tidak terusik perlu diberikan kepada Petronas untuk kontraktor lain.
Melalui enakmen PDA, tidak pernah menjadi polisi kawasan diberikan kepada mana-mana pihak yang membolehkan mereka menjaja sewaan. Setiap orang mesti terlibat secara aktif di kawasan penghasilan minyak melalui tender terbuka demi manfaat pengguna di daratan. Lebihan dana diperoleh daripada penerokaan cari gali dan penjualan minyak sepatutnya membantu Khazanah Nasional untuk generasi masa depan.
Petronas tidak boleh dan sepatutnya tidak boleh dianggap sebagai tabung duit sama sekali. Sudah tiba masa Majlis Penasihat Petroleum di bawah PDA menasihati perdana menteri tentang masa depan Petronas dan dasar berkaitan tenaga. Cara gambaran yang betul dan individu yang layak sepatutnya dilantik memberi nasihat tentang Dasar Tenaga dan Petroleum negara.
S: Kerajaan Malaysia gemar menggunakan akta penjajah seperti Akta Hasutan untuk mendiamkan kritikan terhadapnya, mencerminkan kejadian yang berulang seperti kebanyakan negara Asia Tenggara, apabila demokrasi sama ada dilengahkan atau undur ke belakang. Komen?
TR: Demokrasi mempunyai kebaikan dan kelemahan. Sebagai negara membangun, banyak negara Asia Tenggara berada dalam tekanan untuk mencapai tahap ekonomi lebih baik untuk rakyat mereka. Setiap kerajaan mengambil pendekatan berbeza tentang soal pentadbiran yang baik.
Sesetengahnya bergantung kepada situasi dalaman dan sejarah, mereka mengambil demokrasi liberal sebagai model menggunakan kuasa secara terus, manakala yang lain mengambil pendekatan yang berbeza.
Asean secara keseluruhannya, apabila mencapai tahap integrasi ekonomi yang tinggi bersama-sama pada tahun akan datang, dan ketika rakyatnya mendapat hak keperluannya, perlu berusaha ke arah keterbukaan dan amalan demokrasi yang lebih baik. – 12 Disember, 2014.

2 comments:

  1. Duit2 umno lah Ku Li masih boleh hidup kaya dan ber gaya...

    Tanpa umno , macam mana nak jadi orang kaya dan ber gaya.

    Nak ubah hidup macam Anwar Ibrahim susah lah....

    ReplyDelete
  2. Abe

    Ambo sedih dengan Kuli. Sebenarnya jika Kuli menang pertandingan jawatan presiden UMNO tahun 1987 dulu, ramai yang percaya jika kita tidak maju setanding dengan korea selatan, kita tidak berada jauh.

    Tetapi itulah ketentuan Ilahi. Ambo sejak tahun 1992, semasa Mahathir berkempen untuk menarik imuniti raja-raja kita, ambo menyokong Kuli. Ambo sokong dan mengharapkan kuli menjadi penyelamat selama 25 tahun wakaupun ramai telah meninggalkan Kuli. Akhirnya ambo pun terpaksa menerima hakikat bahawa Kuli bukannya orang yang akan menyelamatkan negara dan orang melayu.

    25 tahun ambo mengharapkan kuli memimpin kita didepan. Tetapi kuli selesa memimpin melalui sidang akhbar, perasmian buku dsbnya. Dasyat analisis Kuli. Tetapi selepas itu dia balik rumah tido. Tak tahu bila pula dia akan muncul.

    Bukan ambo menghina dan melupakan jasa-jasa kuli kepada negara dan UMNO. Jasa-jasa tersebut amat berharga bagi ambo bila kita melihat kembali sejarah negara. Jasa-jasa kuli ajan terus terpahat kemas didada sejarah negara. Tetapi kita bercakap soal kepimpinan untuk merebut kembali bumi bertuah ini dari tangan lanun-lanun dan perompak.

    Kita nemerlukan pemimpin yang memimpin dari barisan hadaoan bukan pemimpin part-time.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa