Diterbitkan: Jumaat, 12 Disember 2014 10:51 AM
Noelle sentiasa bersama Young semasa berhadapan masalah kewangan.
LONDON: Jutawan Britain, Scot Young yang ditemui mati terpacak pada pagar besi pangsapurinya pada Isnin didakwa dibunuh kerana 'banyak berhutang dengan orang yang 'salah'.
Kematiannya juga dikaitkan dengan hubungan rapat usahawan hartanah itu dengan pihak mafia Rusia sejak dua tahun lalu.
Mayat lelaki berusia 52 tahun itu pangsapurinya yang terletak di kawasan mewah Marylebone di tengah-tengah bandar ini selepas dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira 10 meter.
Rakannya yang enggan dikenali itu mendakwa Young berstatus muflis dan berhutang dengan pihak yang tidak sepatutnya hingga menyebabkan dia ditolak dari balconi kediaman mewahnya di Hotel London Dorchester oleh mafia Rusia.
Young juga dikatakan sentiasa dalam ketakutan sambil menambah: "Saya percaya Scot dibunuh."
Walaupun pihak polis tidak menyiasat kematiannya sebagai sesuatu yang mencurigakan, tetapi rakannya itu masih bertegas menyatakan bapa kepada dua cahaya mata itu mungkin telah dicampak dari tingkap Hotel Park Lane dua tahun lalu jika tidak menjelaskan hutangnya.
"Saya sama sekali tidak percaya Scot membunuh diri, sebaliknya hati kecil saya tetap berkata dia dibunuh.
"Saya mengenalinya lebih 20 tahun dan kami memang takut dengan apa yang mungkin berlaku. Saya percaya Scot dibunuh kerana dia berhutang dengan orang yang 'salah'," katanya.
Seorang lagi rakannya juga mendakwa ketika menemuinya di Marylebone sebulan lalu, Young menyatakan rasa bimbang dia akan dibunuh.
Sumber lain pula berkata: "Dia bimbang kerana ada orang mengekorinya. Ramai rakan Scot tidak terkejut dengan kematiannya."
Jutawan berusia 52 tahun itu meninggal dunia dalam keadaan yang sangat ngeri sehingga memaksa pihak polis menutup tempat kejadian dengan kain pemidang bagi mengelak mayatnya dilihat oleh orang ramai yang lalu lalang di kawasan mewah tersebut.
Pihak bomba dan penyelamat kemudiannya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk memotong pagar besi tersebut bagi mengeluarkan mayat mangsa.
Mangsa menjadi popular tidak sampai setahun yang lalu apabila kes perceraiannya disifatkan sebagai yang paling mahal pernah dibicarakan di mahkamah tinggi Britain apabila bekas isterinya, Michelle Young, 49, memenangi kes tersebut dengan pampasan berjumlah £20 juta.
Perbicaraan kes itu berlangsung selama enam tahun.
Kemuncak kepada bala yang dihadapinya itu ialah apabila mahkamah mengeluarkan perintah penjara ke atasnya selama enam bulan Januari tahun lalu kerana enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai harta-hartanya sebagaimana yang diperintahkan.
Kekasih mendiang, Noelle Reno, yang juga seorang model berdiri teguh di sampingnya ketika saat-saat dia mengharungi hukuman penjara itu.
Selepas kes itu selesai, Michelle menyifatkan yang apa yang dia terima adalah sesuatu yang memalukan kerana dia mendakwa yang bekas suaminya itu mempunyai aset dan wang tunai bernilai berbilion pound sterling.
Susulan kematian ngeri itu, polis masih lagi menyiasat punca kejadian sama ada ia disebabkan kemalangan atau akibat daripada tekanan yang ditanggung oleh mendiang selepas kes perceraiannya itu. - sumber
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa