Perkasa halang, tazkirah Anwar kecoh
3 September 2012
ALOR SETAR - Program tazkirah disampaikan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Al-Hussain, Kampong Pumpong di sini, malam tadi berakhir dengan kekecohan membabitkan ahli-ahli Perkasa Kota Setar dan penyokong Pakatan Rakyat (PR).
Tidak sampai dua minit tazkirah bermula, ahli-ahli Perkasa cuba menghalang ucapan disampaikan Anwar dengan pelbagai cara.
Ketika kejadian, berlaku pertikaman lidah antara ahli Perkasa dan penyokong PR dalam masjid berkenaan apabila Anwar, yang juga Ketua Umum PR dan PKR, enggan berhenti daripada menyampaikan tazkirah.
Tidak cukup dengan itu, ahli Perkasa cuba mematikan suis utama lampu, kipas dan pembesar suara masjid berkenaan agar Anwar tidak dapat meneruskan tazkirah.
Bagaimanapun, tazkirah tersebut tetap diteruskan dalam keadaan gelap, panas dan tiada pembesar suara.
Selang 15 minit kemudian, beberapa anggota polis tiba di masjid tersebut untk menghalang cubaan ahli Perkasa memecahkan pintu kaca masjid berkenaan untuk menyerang Anwar.
Terdahulu kira-kira jam 6.20 petang, lebih 50 ahli Perkasa Kota Setar mengadakan demonstrasi menentang penggunaan masjid itu sebagai medan politik.
Timbalan Pengerusi Perkasa Kota Setar, Jamaludin Hashim ketika ditemui berkata, tujuan demonstrasi diadakan adalah untuk menghalang Anwar daripada menyampaikan ceramah politik di masjid tersebut.
Katanya, Perkasa tidak akan membenarkan Anwar menyampaikan tazkirah di masjid berkenaan kerana beliau bukan seorang yang bertauliah untuk berbuat demikian.
“Sekiranya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ingin menyampaikan tazkirah di masjid berkenaan, Perkasa tiada halangan kerana beliau seorang yang bertauliah berbanding Anwar.
“Perkasa Kota Setar bertegas tidak akan membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sebarang tazkirah di masjid berkenaan. Bagaimanapun, kami tidak akan menghalang beliau memasuki masjid untuk menunaikan solat,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Zamri Yusuf ketika dihubungi berkata, tindakan Perkasa Kota Setar mengadakan demonstrasi menghalang Anwar daripada menggunakan masjid tersebut untuk menyampaikan tazkirah adalah tidak waras.
Katanya, masjid perlu diimarahkan dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah.
“Anwar tetap akan menyampaikan tazkirah di masjid berkenaan seperti mana yang telah dijadualkan kerana ilmu yang akan disampaikan adalah untuk kegunaan dan pengetahuan orang ramai di masa hadapan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa