Wanita Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan tawaran untuk memberi insentif penjagaan anak sebanyak RM1,000 dan juga penubuhan agensi pembantu rumah tempatan bagi meringankan beban golongan wanita berkerjaya.

Pemimpin parti berkenaan dalam satu sidang media hari ini mengumumkan, tawaran berkenaan sebagai satu bentuk sistem sokongan yang disediakan bagi memastikan kadar guna tenaga penuh wanita dalam lapangan pekerjaan terus dipertingkatkan.

Timbalan Ketua Wanita Keadilan Rodziah Ismail menjelaskan, insentif penjagaan anak itu diagih mengikut pendapatan ibu bapa.

"Macam taska di Selangor kita beri RM100 setiap bulan dalam bentuk baucer kepada ibu bapa yang dapat daripada institusi. Dan kerajaan negeri pula bayar (insentif) itu kepada institusi, supaya memastikan anak pergi ke institusi tersebut," katanya.

Dalam sidang media sama, seorang lagi pemimpin Wanita Pakatan, Dr Siti Mariah Mahmud turut menjelaskan bahawa agensi pembantu rumah tempatan akan dapat membantu menyelesaikan peningkatan kemasukan pendatang asing.

Ia juga akan membantu mengekang masalah keselamatan dan jenayah serta mengelak pembentukan anak-anak yang tercemar dengan budaya dan nilai asing, katanya.

"Dengan memberi fokus kepada strategi penubuhan agensi pembantu rumah tempatan ini kita yakin akan dapat memelihara budaya dan nilai tempatan dalam pembinaan anak-anaknya nanti yang turut diasuh oleh para pembantu rumah," katanya.

Sementara itu, naib ketua Dewan Muslimat PAS Mumtaz Mat Nawi pula berkata, perkara itu boleh dilaksanakan dengan kerjasama kementerian wanita, kementerian sumber manusia, kolej kemahiran wanita dan institut pengajian tinggi.

"Kita nak ubah fikiran bahawa wanita adalah pengurus rumah tangga. Ia diperlukan oleh rakyat dan anak-anak tidak lagi ditinggalkan kepada agensi swasta. Kerajaan Pakatan akan melatih sebaik mungkin," katanya.

Selain tawaran berkenaan, Wanita Pakatan sebelum ini mengumumkan tawaran untuk mengadakan caruman Wanita Malaysia atau Tabung Simpanan Suri Rumah sebanyak RM600 setahun kepada setiap suri rumah.

Ia dianggarkan melibatkan peruntukan sebanyak RM10 bilion bagi suri rumah yang layak.

Turut hadir di sidang media hari ini ialah ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusoff, timbalan ketua Wanita PKR Rodziah Ismail dan setiausaha Wanita DAP Teo Nie Ching.