Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, April 10, 2013

Kesihan, Wartawan Sukan Juga Tidak Semestinya Selamat

Butler serang jurugambar, Boateng turut masuk campur
ZUBIR SULAIMAN
10 April 2013

KUALA TERENGGANU – Kontroversi berhubung desakan merehatkan ketua jurulatih pasukan berstatus kelab T-Team, Peter Butler sudah mencapai kemuncaknya apabila bekas pengendali Terengganu itu bertindak melampaui batas dengan menolak salah seorang jurugambar ketika penyerahan surat ‘direhatkan’ di padang Kompleks Sukan Gong Badak, semalam.

Tidak cukup dengan itu, jurulatih kelahiran England itu juga didakwa turut mencaci, menolak dan cuba merampak kamera milik Tengku Syamim Tengku Ismail.

Butler yang juga pengurus pasukan, berulang kali menghalau sambil menolak dan memaki jurugambar berusia 21 tahun itu dengan panggilan ‘bodoh’ sehingga dia berada agak jauh dari tempat jurulatih itu menerima surat daripada setiausaha kehormat Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBSDKT), Ali Embong.

Begitu pun, Tengku Syamin yang cuba mengambil gambar dari jarak jauh, masih tidak selamat apabila kapten pasukan T-Team, George Boateng turut campur tangan dan bertindak garang dengan merampas kamera dari pegangannya.

“Saya enggan melepaskan kamera saya kerana takut dirosakkan oleh penyerang import itu (Boateng), saya terpaksa menahan kesakitan apabila dia (Boateng) bertindak memulas tangan saya dan mencakar dengan kukunya.

“Saya memang terkejut dengan tindakan agresif dan itu tidak menyangka Boateng sanggup bertindak sedemikian rupa kepada saya, namun saya berjaya mempertahankan kamera daripada dirampas,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Syamim berkata, dia cuma menjalankan tugasnya dan tidak menyangka Butler dan Boateng sanggup bertindak kasar terhadapnya yang sering membuat liputan di padang latihan dan juga stadium.

“Saya sudah membuat laporan polis di balai polis Kuala Terengganu kerana tidak mahu perkara seperti ini berulang kepada wartawan atau jurugambar lain pada masa akan datang.

“Saya juga harap pengurusan T-Team dapat mengambil tindakan sewajarnya ke atas jurulatih dan pemain import itu kerana perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kepada pihak media yang hanya menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab Rasid Jusoh ketika dihubungi melahirkan perasaan kesal dengan kejadian itu dan berjanji akan melakukan siasatan terperinci dalam masa terdekat.

“Apa pun kami akan melakukan siasatan terperinci berhubung perkara ini, dan pastinya tindakan sewajarnya akan diambil jika terbukti mereka berdua melakukan kesalahan di padang latihan petang tadi (semalam).

“Kami akan mendapatkan keterangan daripada semua yang berada di tempat kejadian sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

Mengulas berhubung surat untuk merehatkan Butler, Ab Rasid berkata, ketua jurulatih T-Team itu akan direhatkan selama 30 hari, berkuat kuasa hari ini (semalam) yang dihantar melalui pos berdaftar.

“Pegawai kami berada di padang latihan untuk menyerahkan salinan surat tersebut kepada Butler dan kami tidak menyangka ia berakhir dengan ketegangan.

“Surat itu mengandungi arahan supaya Butler berehat dan tidak mengambil bahagian dalam apa juga aktiviti yang melibatkan pasukan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Butler tetap menerima imbuhan gaji dan elaun bulanan lain sementara dia berehat, dan tugasannya sebagai ketua jurulatih akan diambil sementara oleh penolong jurulatih, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor.

“Keputusan merehatkan Butler diluluskan oleh lembaga pengarah pasukan memandangkan T-Team berada di zon penyingkiran selepas tamatnya pusingan pertama Liga Super.

“Kami harap, tindakan merehatkan Butler dan pengambilan pemain import baru dalam masa terdekat dapat membantu pasukan mencapai kemenangan apabila bertandang ke Kuantan Sabtu ini untuk bertemu Pahang pada aksi pusingan kedua,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa