K Pragalath | April 12, 2013
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata demikian ekoran tuduhan Bersih bahawa beliau melanggar kod tatalaku dan panduan kerajaan sementara.
PETALING JAYA: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan tindakannya mengisytihar pemberian bonus RM300 kepada penjawat awam negeri Selangor sehari selepas Parlimen dibubarkan.
“Saya ingin menegaskan bahawa pemberian bonus ini diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 3 April lalu, tarikh sama kerajaan negeri meluluskan geran untuk polisi komuniti.
“Saya hanya melaksanakan dasar dan keputusan yang dibuat sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau memberi respon sedemikian selepas Pengerusi Jawatankuasa Khas Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) Irene Fernandez mempersoal tindakan beliau mengisytihar pemberian bonus tersebut.
Jawatankuasa Khas Bersih bertanggungjawab untuk memantau tindakan ahli politik yang bertentangan dengan kod tatalaku dan panduan kerajaan sementara.
Geran tanah
Abdul Khalid juga memberitahu pemberian geran tanah kepada penduduk di Bestari Jaya merupakan sebahagian daripada program pemilikan rumah yang dilancarkan pada 2010.
Pada tahun sama kerajaan negeri memberi kelonggaran kepada pemilik tanah yang tidak mampu membayar premium minima RM1,000 boleh mendapatkan bantuan daripada kerajaan negeri.
“Mereka boleh mendapat bantuan dengan melakukan kerja kebajikan yang dipantau oleh pegawai kerajaan sebagai pertukaran,” katanya.
Irene yang juga pengarah eksekutif Tenaganita berkata, pada 5 April lalu, berkata kerajaan Selangor telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.46 juta untuk Program Keselamatan Kejiranan dalam usaha mengurangkan jenayah di kawasan luar bandar.
Irene juga mendakwa Abdul Khalid bersalah kerana memberikan geran tanah kepada penduduk di tiga kampung di Bestari Jaya pada 7 April lalu walaupun telah berjanji untuk mengatasi masalah tanah bulan lalu.
Dalam pada Abdul Khalid pula menegaskan bahawa kerajaan negeri mempunyai garis panduan dan had kuasa kerajaan sementara.
“Kerajaan sementara bebas meneruskan dasar, program dan melaksanakan keputusan yang dibuat dalam sidang DUN dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum pembubaran,” katanya.
Menteri Besar turut mendapatkan pandangan Penasihat Undang-undang Negeri Datin Paduka Zauyah Be T Loth Khan berhubung bidang kuasa kerajaan sementara.
Menurut Zauyah, kerajaan sementara hanya melaksanakan keputusan yang telah dibuat demi memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat Selangor tidak terjejas tetapi tetap terpelihara dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara.
“Keputusan serta tindakan yang dibuat ini sama sekali bukan untuk meraih undi atau seumpamanya dan tidak bercanggah dengan kod tatalaku kerajaan sementara,” kata Zauyah.
Lihat juga:
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa