Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, April 14, 2013

Parlimen Muar: Siapa Pilihan Rakyat?

Calon PRU-13: Mampukah Nor Hizwan Gugat Razali Di Parlimen Muar?
Razali merupakan penyandang kerusi Parlimen Muar.
PERANG politik ekoran Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin membahang selepas lebih seminggu Parlimen dibubarkan dengan beberapa kerusi panas di Johor kini menjadi tumpuan.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun mengumumkan calon-calon untuk kerusi-kerusi Parlimen Johor Bahru, Parlimen Muar, Parlimen Tebrau dan Parlimen Batu Pahat.
Biarpun dilihat Pakatan Rakyat (PR) banyak menurunkan calon 'payung terjun' pada PRU-13 ini, namun pemilihan calon muda PKR di Parlimen Muar, Nor Hizwan Ahmad dikatakan pilihan terbaik berbanding calon-calon yang diumumkan parti itu pada malam Isnin lalu.
Muar antara kerusi panas yang dilihat menjadi titik sasaran kepada gelombang perubahan yang bakal dilakukan pakatan pembangkang di Johor Utara.
Nor Hizwan yang berusia 30 tahun ini akan berhadapan dengan Datuk Razali Ibrahim jika Barisan Nasional (BN) mengekalkan calon sedia ada itu di kerusi Parlimen Muar.
Ini bermakna tugas yang digalas Nor Hizwan bukan sesuatu yang mudah kerana diatas kertas nama Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu agak kukuh untuk mempertahankan kerusi tersebut.
Pada PRU 2008, Razali yang merupakan penyandang sejak 2004 mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,661 undi.
Bagaimanapun, pemilihan Nor Hizwan dilihat oleh PKR sebagai calon terbaik mereka untuk memberi tentangan kepada Razali.
Beliau yang berkelulusan daripada London Institute of Public Relations ini juga merupakan anak jati Muar yang dibesarkan di Parit Besar, Jalan Abdul Rahman.
Bersikap 'low profile', anak muda ini tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi.
Sebaliknya Penyelaras PKR Muar ini turut mengakui agak sukar untuk meruntuhkan benteng yang dibina oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu.
"Saya tidak boleh letak keyakinan terlalu tinggi untuk menang, nanti dikatakan angkuh. Setakat ini keyakinan saya hanya 45 peratus, ini sebelum hari penamaan calon. Kita belum kempen lagi, harap-harap peluang besar, menang 100 undi pun cukup," katanya.
Namun, strategi utama adalah memberi tumpuan pada golongan muda, beliau melihat punca utama kekurangan tenaga muda di Muar akibat kurangnya peluang pekerjaan.
Daerah ini suram dan sering digelar bandar pencen dek kerana 60 peratus warganya adalah golongan yang sudah pun bersara dan menjalankan kerja sendiri.
Kubu Tradisi BN
Para penyokong BN melihat, jika pucuk pimpinan mengekalkan Razali untuk bertanding di kerusi tersebut ia mungkin laluan mudah baginya.
Mungkin tidak perlu banyak usaha 'mempertahankan' berbanding 'merampas'.
Kredibiliti Razali dan Umno itu sendiri sudah menjadi tradisi kepada masyarakat setempat.
Malah sebagai kubu kuat Umno, ia diibaratkan siapa pun calon BN yang diletakkan di kawasan ini mempunyai peluang untuk menang.
Namun keselesaan BN ini adalah bergantung 100 peratus kepada pengundi Melayu.
BN perlu berhati-hati dengan pengundi bukan Melayu dan golongan belia yang sentiasa mahukan perubahan.
Melalui tinjauan daripada beberapa penduduk di kawasan ini, kaum Cina yang merupakan kaum kedua terbesar di kawasan ini kurang memberi kerjasama kepada BN (ada tetapi peratusan kecil).
Hal ini turut diluahkan oleh orang kanan Razali sendiri yang menganggap usaha untuk menambah jumlah pengundi dengan cara menarik golongan muda dan tua (yang tidak upaya keluar mengundi) adalah satu cabaran besar.
"Di sini majoriti adalah Melayu tapi kita akan kerugian lebih 10 peratus undi jika tidak ambil peduli terhadap undian warga emas. Golongan muda mungkin boleh didekati dengan cara lain tapi 10 peratus itu adalah daripada warga emas yang tidak upaya untuk keluar mengundi.
"Kita kena menyediakan kemudahan kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya untuk keluar mengundi di hari pengundian tersebut," katanya.
Parlimen Muar (P.146) mengandungi dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Maharani dan Sungai Balang melibatkan keseluruhan lebih 41,000 pengundi berdaftar.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa