Tuesday, January 17, 2017

Pengakuan Ismail Sabri: Apakah rasa Annuar.......masih boleh senyum ke?

Tuesday, 17 January 2017
TUNGGU APA LAGI, ANNUAR MUSA....

Tunggu apa lagi...

Kali ini menteri sendiri sudah mengakui bahawa penajaan oleh Mara kepada pasukan bolasepak Kelantan yang menjadi isu hangat sejak seminggu lalu telah menjejaskan agensi kerajaan itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, "Kesannya adalah ke atas Mara kerana kedua-duanya, Pelaburan Mara Bhd dan UniKL adalah anak syarikat milik penuhnya.

"Berapa banyak disumbangkan dan bila tajaan bermula masih sedang disiasat. Saya masih menunggu laporan penuh," katanya lagi.
Apakah Annuar Musa tidak terasa apa-apa dan masih boleh duduk selesa sebagai Pengerusi Mara dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd sedangkan menteri yang bertanggungjawab kepada Mara secara terbuka mengakui penajaan terhadap pasukan Kelantan telah menyebabkan agensi penting berkaitan pendidikan, keusahawnan dan kemahiran Bumiputera itu terjejas dibuatnya?

Jika ada sedikit rasa tanggungjawab, Annuar sewajarnya berasa malu serta tidak ragu-ragu mengundurkan diri secara sukarela berikutan pengakuan Ismail Sabri itu.

Sudahlah sebelum ini, Ismail Sabri mengatakan beliau tidak tahu apa-apa serta tidak dimaklumkan mengenai penajaan kepada The Red Warriors, pengakuan bahawa Mara kini telah terjejas kerananya, adalah ibarat pukulan yang tepat disasarkan ke dahi Annuar.

Secara tidak langsung dan tersirat, Ismail Sabri juga sedang meletakkan kesalahan di bahu Annuar yang ketika penajaan itu dibuat adalah Presiden Kafa dan namanya turut ada sebagai pengarah dalam The Red Warriors Sdn Bhd.

Ismail Sabri mungkin tidak berani sampai mencadangkan agar Annuar tidak lagi menjadi Pengerusi Mara kerana kedudukannya sebagai Ketua Penerangan UMNO dan merupakan orang kesayangan Najib Razak pada waktu yang sama, tetapi pengakuan terjejas itu jelas menggambarkan beliau tidak selesa berhubung penajaan kepada pasukan bolasepak Kelantan itu.

Dalam hatinya, Ismail Sabri mungkin tertanya-tanya bagaimanakah seorang Pengerusi Mara boleh bertindak menjejaskan nama agensi yang diketuainya?

Untuk itu, tunggu apa lagi....undurlah dengan segera wahai Annuar Musa!

Sukar sangatkah mahu memahami maksud sebenar kata-kata menteri itu? (SH 17/01/2017).

Kaitan: ANNUAR MUSA KINI SENJATA BARU NAJIB BALUN MAHATHIR

Posted by Shahbudin Husin at 13:13 

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa