Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Wednesday, January 18, 2017

PRU14: PH, Bersatu tawan Kedah?

Pakatan Harapan, Bersatu bakal tawan Kedah PRU14?
18 Januari 2017 | ARIF ATAN
Phahrolrazi Zawawi

Potensi kemenangan Pakatan Harapan dan Bersatu termasuk calon Amanah di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang sebelum ini disandang Pas tidak mustahil boleh tercapai, kata Pengarah Pilihan Raya Amanah Negeri Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.

"Dari segi peluang untuk Amanah menang itu ada, ditambah pula sekarang dengan sokongan kepada BN yang merudum akibat penghijrahan ramai ahli Umno di Kedah ini kepada parti Bersatu," jelasnya.

Beliau berkata, tindakan ahli dan penyokong Umno meninggalkan parti diselaputi isu rasuah dan kleptokrasi itu satu isyarat awal yang positif dalam tekad menumbangkan Umno-BN.

"Kehadiran Bersatu memberi peluang yang cerah dengan sambutan yang ada di peringkat akar umbi. Nampak penghijrahan beramai-ramai dari Umno kepada Bersatu. Ini peluang baik kepada gabungan Pakatan Harapan itu sendiri," ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui laluan Pakatan Harapan dan Bersatu untuk menawan Kedah bahkan negeri-negeri lain daripada Umno-BN lebih mudah jika pertandingan tiga penjuru dapat dielak.

"Ada dua keadaan di sini. Kalau dapat pembangkang berada dalam platform sama yang membawa kepada pertandingan dua penjuru, peluang Amanah juga Pakatan Harapan dan Bersatu untuk menang sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan lebih cerah.

"Sebaliknya, kalau tidak dapat diselesaikan hingga berlaku tiga penjuru nampaknya terjejas sikitlah peluang itu untuk dapat kerusi yang agak baik tapi masih ada harapan untuk menang di sebilangan kerusi," ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Ditanya lanjut mengenai perkembangan Amanah di Kedah menjelang PRU14, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kundor itu memberitahu hanya beliau pemimpin Pas yang setakat ini mengisytiharkan diri berhijrah kepada Amanah.

"Sebenarnya ada tiga YB (Yang Berhormat) Pas yang sedang mengundurkan diri masing-masing daripada kepimpinan parti itu tetapi belum lagi sampai tahap berubah parti.

"Saya jangka Pas tidak akan mencalonkan mereka lagi dalam pilihan raya akan datang walaupun mereka masih dalam parti tersebut," ujar mantan Timbalan Pesuruhjaya I Pas itu.

Mengulas tentang pembahagian kerusi bertanding di Kedah pada PRU14 nanti, Phahrolrazi berkata proses yang mengambil kira jumlah keseluruhan 15 kawasan Parlimen dan 36 Dun itu menghampiri fasa untuk dimuktamadkan.

"Kita masih dalam peringkat perundingan. Apa yang jelas kita mengambil kerusi Pas dengan meletakkan calon bertanding yang bersesuaian dengan kemampuan kita.

"Di Kedah, Pas menang 9 kerusi Parlimen berbanding tahun 2008, Pas menguasai 16 kerusi. Pada PRU14 nanti, saya percaya Amanah di negeri ini akan bertanding hampir semua kerusi Parlimen," jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini menggesa Umno-BN berhati-hati dengan kemungkinan tiga negeri akan tumbang kepada parti pembangkang.

Walau bagaimanapun, pengarang kanan akhbar pro Umno-BN itu yang mendakwa mendapat maklumat tersebut daripada agensi kerajaan tertentu tidak menyenaraikan ketiga-tiga negeri terbabit.

Terdahulu, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal pula yakin empat negeri iaitu Kedah, Terengganu, Johor dan Sabah akan jatuh ke tangan pembangkang pada PRU14 ini ekoran BN kehilangan beberapa pemimpin berpengaruh.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa