Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, January 15, 2017

Turki sasaran serangan ganas

NORHANA FARIZA HARUN - 15 JANUARI 2017
Polis rusuhan melepaskan gas pemedih mata semasa pertempuran dengan aktivis pro-Kurdish.
 
 
SEJAK kebelakangan ini, Turki sering digemparkan dengan serangan maut dan berkali-kali menjadi sasaran kumpulan militan.

Parti Pekerja Turki (PKK) dan kumpulan militan Daesh didakwa merupakan dua dalang utama yang bertanggungjawab melancarkan serangan ke negara itu.

Difahamkan, konflik antara minoriti Kurdish di Selatan Timur Turki yang telah berlangsung selama beberapa dekad kini kembali tercetus.

Malah, Daesh turut memulakan pertempuran selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan membuat keputusan untuk melibatkan diri dalam ketenteraan di utara Syria bagi menentang militan.

Boleh dikatakan, emosi orang awam Turki bertukar kelam selepas banyak serangan dalaman dilaporkan di negara itu.

Pertumpahan darah semakin berleluasa sepanjang lebih setahun lalu. Ratusan orang dibunuh pemberontak Kurdish dan Daesh. Kegagalan cubaan rampasan kuasa pada Julai tahun lalu juga meragut lebih 200 nyawa sekali gus mencetuskan gelombang penindasan oleh Erdogan.

Serangan demi serangan baharu gagal menyatukan negara berkabung, malah ia dilihat memburukkan lagi keadaan dalaman antara rakyat beragama dengan konservatif, minoriti Kurds dengan nasionalis Turki.

Semasa dunia meraikan kedatangan Tahun Baharu 1 Januari lalu, Turki sekali lagi digemparkan dengan serangan berdarah apabila sebuah kelab malam di ibu negara diserang, menyebabkan sekurang-kurangnya 39 terbunuh dan 69 cedera.

Susulan insiden itu, pihak berkuasa Turki mengenal pasti lelaki bertanggungjawab yang melepaskan tembakan dan suspek disyaki etnik Uighur dari wilayah Xinjiang China. Lebih 20 suspek didakwa berkaitan Daesh turut ditahan.

Beberapa hari selepas serangan, Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu memberitahu penggubal undang-undang bahawa pasukan keselamatan Turki telah halang 339 insiden keganasan utama tahun lalu dengan 80 daripadanya dilaporkan dalam tempoh tiga bulan terakhir.

“313 serangan dirancang PKK, 22 Daesh dan empat lagi oleh kumpulan radikal berhaluan kiri. 247 bahan letupan dan 61 bom kereta juga dirampas dalam tempoh 12 bulan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, 23 suspek pengebom berani mati dan 42 anggota kumpulan militan yang telah bersiap sedia untuk melancarkan serangan turut diberkas.

Siri serangan ganas dua dalang utama itu juga secara tidak langsung mula terserlah mengikut corak dan sasaran berbeza.

Pemberontak Kurdish dilihat sering sasar pasukan keselamatan dan institusi negara, manakala kempen keganasan Daesh adalah secara rambang, menyerang kawasan pelancongan, perhimpunan aman dan lapangan terbang utama di Istanbul.

Namun, matlamat kedua kumpulan jelas iaitu menjejaskan kestabilan negara.

Industri pelancongan terjejas

Industri pelancongan Turki turun mendadak susulan rasa tidak selamat berikutan serangan keganasan di negara itu.

Angka rasmi menunjukkan jumlah pelancong asing yang berkunjung ke bandar utama Istanbul menurun daripada 11.6 juta pada tahun 2015 kepada 9.2 juta tahun lalu.

Sepanjang tahun 2015 dan 2016, pusat pelancongan utama di ibu negara telah menjadi sasaran serangan.

“Lapangan terbang, Sultanahmet dan Taksim diserang. Terbaru, kelab malam Reina juga diserang dan mengorbankan hampir 40 orang,” menurut Setiausaha Agung Persatuan Agensi Pelancongan Turki (Tursab), Cetin Gurcun.

Serangan tanpa henti juga mewujudkan rasa takut di kalangan pelancong asing.

Penyambut tetamu sebuah hotel di Istanbul, Yavuz Indere memberitahu, dia telah bekerja dalam industri perhotelan selama 45 tahun dan pernah menghadapi tahun yang sukar. Namun, apa yang berlaku pada kali ini adalah berbeza.

Menurut Gurcun, seramai 42 juta orang melawat Turki pada tahun 2015 berbanding hanya 30 juta orang sepanjang tahun lalu.

“Dari segi mata wang asing, pendapatan adalah bernilai ASD31.6 bilion (RM141 bilion) pada 2015 dan kami mengalami kejatuhan hampir ASD10 bilion (RM45 bilion) tahun lalu,” jelasnya.

Iran dan Jerman mencatatkan bilangan tertinggi untuk pelawat diikuti Arab Saudi, Britain, dan Perancis.

Serangan jadi isyarat untuk 2017

Berikutan serangan maut menjelang ketibaan Tahun Baharu 1 Januari lalu, pakar keselamatan meramalkan bahawa serangan keganasan akan terus menggegarkan Turki pada tahun ini.

Dasar kerajaan di Iraq dan Syria turut memainkan peranan penting di mana, susulan cubaan rampasan kuasa Julai lalu, kerajaan melancarkan serangan ketenteraan di Damsyik untuk ‘membersihkan’ Daesh dari sempadan.

Selain itu, Turki turut meningkatkan kempen menentang pemberontak Kurdish di tenggara negara dan utara Iraq.

Pakar keganasan antarabangsa dan strategi keselamatan dari Fakulti Undang-undang Universiti Ozyegin, Mesut Hakki Casin menganggap serangan di kelab malam Reina adalah dirancang dan hakikat bahawa ia dilancarkan selepas masuk tahun baru membawa mesej jelas untuk 2017.

“Saya rasa ia beri isyarat ada keganasan akan gemparkan Turki dalam tahun ini. Serangan ambang tahun baharu itu dirancang kerana pertama kali sebuah tempat hiburan menjadi sasaran,” katanya.

Sementara itu, pakar keselamatan PKK di Kesatuan Dewan Perniagaan dan Komoditi (TOBB), Nihat Ali Ozcan berkata, tahun 2017 tidak akan menjadi tahun yang baik buat Turki kerana ekosistem terutamanya di wilayah Iraq dan Syria berubah dengan cepat.

“Keduanya, terdapat banyak organisasi keganasan aktif di Turki dan mereka menyasarkan antara satu sama lain, negara dan orang awam. Kedua-dua PKK dan Daesh serta Parti Barisan Revolusi Pembebasan Rakyat (DHKP-C) semuanya masih aktif,” menurutnya.

Usaha penyingkiran kerajaan berikutan cubaan rampasan kuasa Julai tahun lalu juga boleh menimbulkan ancaman.

“Ribuan telah digantung tugas, dipecat dan ditahan di kalangan polis, tentera, badan kehakiman mahupun institusi jenayah kerana didakwa mempunyai hubungan dengan ulama berpangkalan di AS, Fethullah Gulen.

“Erdogan telah mempolitikkan jawatan penting kerajaan dan ia boleh menjejaskan keselamatan negara,” katanya.

AS, Kesatuan Eropah (EU) dan Turki telah menyenaraikan DHKP-C sebagai organisasi pengganas.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa