Sunday, May 7, 2017

Lubang besar Pas hampir siap?

Saturday, May 6, 2017
ULAS EKSEKUTIF PAS

Umpama perjalanan rombongan membawa anak teruna (pengantin) menuju ke pelamin untuk dipersandingkan, semakin lama ia semakin dekat menghampiri pelamin yang dibina bersebelahan kamar tidur. Pembawa bunga manggar dan penjunjung pulut kuning dan segala macam barangan (mahal hantaran) atas "par" juga bersemangat mengiringi perjalanan pengantin.
Mustapa dibuang ke laut.
Tuan Ibrahim bersedih?
Kompang juga semakin rancak dibunyikan. Tum tum tum... bertalu-talu diselang dengan tepuk tangan bergemuruh. Dibantu pula dengan cuaca dan suasana yang "ceria-mera" sekali. Perjalanan sang pengantin lurus dan lawas tiada tersekat-sekat lagi apabila setelah segala onak dan duri menghalang jalan laluan sudah ditebas tebang dan dibuang lempar jauh.


Begitulah anologi boleh dibuat terhadap parti agama (Pas), yang sudah dibayangkan akan bernikah dengan Umno; kedua pengantin kini sedang menanti saat manis penuh bahagia itu. Si pengantin perempuan sudah lama menanti "gelenyer geledik" di pelamin, manakala pengantin lelaki segak bergaya sedang menuju menghampirinya.

Sekejap sahaja lagi akan berlangsung upacara pembatalan air sembahyang diikuti dengan
merenjis air mawar dan makan beradat. Lagu Selamat Pengantin Baru nyanyian biduwanita Saloma sudah lama dikemundangkan.

Pengumuman pelantikan pegawai eksekutif (kabinet) parti dibuat hari ini yang menyaksikan perubahan tidak disangka-sangka itu bolehlah dianggap sebagai penyempurnaan segala kerja yang dirancang selama ini. Perkembangan ini -- pembentukan eksekutif itu menyebabkan sesiapa yang tahu kilasan ikan di air dapat meneka jantan atau betina, tidak dapat menafikan yang Pas akan bersanding dengan Umno.

Dua tahun lepas Pas telah membuang 18 orang hulubangnya dalam muktamarnya di Kuala Selangor. Mereka itu boleh dianggap sebagai adik abang yang menentang percintaan haram Pas dengan Umno. Kerana penentangan itu maka mereka dibuang atau dihalau dari rumah Pas menerusi muktamar. Dengan pemergian para penentang itu ia menyenangkan kerja-kerja untuk mempersandingkan Pas dengan Umno.

Dan pembentukan kabinet Pas hari ini sesungguhnya mengemaskan lagi "pintu pagar" rumah pengantin itu agar tidak dicerobohi oleh mereka yang tidak mahu lihat perkahwinan itu berlaku. Mereka yang dicurigai akan kesetiaan kepada Pas menjadi penghalang semuanya diketepikan, dan ada yang diikat tangan dan kaki serta disumbat mulut dan disandarkan di jerung dinding. Penentangan semuanya kena dibuang.

Mereka yang tidak menunjukkan restu perkahwinan itu adalah Mustapa Ali, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas. Semasa dalam muktamr baru lalu ketika menyampaikan ucapan penggulung, beliau membayangkan akan ketidak-setujuannya dengan perkahwinan Pas - Umno dengan memberi sedikit ingatan dan nasihat penuh ikhlas. Antara lain katanya parti yang berpecah biasanya akan lemah dan kalah pilihan raya.

Dipercayai beliau merujuk kepada perpecahan Pas sehingga tertubuh Amanah dan Pas pula bermusuh sampai sudah dengan Amanah, DAP dan PKR.

Kesan dari keberanian dan anti kerjasama yang beliau pamerkan itu, nah hari ini beliau sudah menerima akibatnya dipenggal daripada menjadi Pengarah JPP dan tempatnya diganti dengan Ahmad Samsuri Mohkhar, yang sebelum ini adalah Setiausaha Politik Presiden Pas. Sesiapa pun yang waras dalam Pas dan sayang kepada Pas, juga yang berada di luar terkejut dengan perubahan berkenaan. Pembuangan dan penggantian penjawat jawatan itu sangat tidak praktikal.

Bagi saya tindakan itu suatu tindakan berani yang terpaksa dibuat. Mustapa adalah satu-satu veteran yang boleh dianggap sebagai Bendahara tua dalam Pas yang penuh pengalaman ditukar dengan Juragan muda yang pengalamannya masih cetek, darah baharu setampok pinang. Samsuri semua orang kenal tidak pernah terlibat dengan sebarang pilihan raya sebelum ini, namun mempunyai peranan dan "kerja besar" dalam Pas.

Apakah dengan pengalaman yang kering itu dia mampu untuk mengendalikan jabatan yang dianggap nadi dalam Pas itu? Itulah kalau tidak ada mengadakan untuk apa beliau dilantik menduduki jabatan itu. Apakah Samsuri sedang mengatur untuk menguruskan pilihan raya nanti bersama rakan dalam Umno? Mereka yang sayang tanpa usul periksa dalam Pas patut menilai dan memikir perubahan ini. Pokok tidak akan bergoayang kalau tidak ada angin.

Sebenarnya bukan Mustapa sahaja boleh disifatkan dibuang dan tidak diingini. Kedudukan atau pun pembahagian porfolio kepada Tuan Ibrahim Tuan Man yang dihantar untuk menguruskan pelajar dan masyarakat Malaysia di luar negeri juga satu pembuangan. Tugasan itu adalah simbolik untuk difahamkan oleh Tuan Ibrahim, bahawa beliau tidak diperlukan dalam negeri. 

Seharusnya sebagai timbalan presiden beliau diberi potfolio yang memerlukan dia berada hampir dengan presiden bagi memudahkan membuat tindakan dan keputusan. Tugas menguruskan pelajar dan masyarakat Malaysia di luar itu boleh diberikan kepada mana-mana Naib Presiden atau ahlijawatankuasa lain. Tetapi kenapa dihantar Tuan Ibrahim ke luar negeri?

Demikian juga pertukaran Pesuruhjaya Pas Selangor kepada Sallehen Mukhyi juga satu tindakan ke belakang yang dibuat kerana motif tertentu. Perubahan itu dilihat sebagai mengemaskan pagar Pas agar tidak diceroboh. Seperti mana Tuan Ibrahim, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor (lupa nama) itu juga dilihat kurang bersetuju dengan aggenda hendak mempersandingkan Pas dengan Umno.

Kenyataan-kenyataanya yang mengulas tindakan Pas untuk bersendirian di Selangor selepas berpisah dengan pakatan oposisi sebagai satu tindakan tidak menguntungnya dilihat sebagai bekas Pesuruhjaya itu tidak sekepala dengan pucuk pimpinan tertinggi Pas. Maka wajar kalau ia diketepikan dengan mengatakan dia mempunyai tugas lain dan dinaikkan pangkat. Tindakan membuangnya agar beliau tidak menjadi penghalang dalam diam.

Pangkat apa yang dinaikan kepada beliau kerana sebelum ini beliau juga adalah naib presiden? Bukankah apa yang dilakukan ke atasnya menurunkan pangkat dan membuang kuasa? Alasan diberikan oleh Taikyuddin Hassan itu tidak boleh melenakan tidur orang Pas Selangor dengan pertukaran Pesuruhjaya itu. Mereka yang inteligen tentu dapat menghidu motifnya.

Jadi untuk melincinkan segala usaha maka orang-orang yang tidak mengangkat tangan mengaminkan doa persandingan Pas - Umno seperti Mustapa Ali, Tuan Ibrahim Tuan Man dan bekas pesuruhjaya Selangor itu harus ditolak ke luar.

Sebenarnya usaha untuk menyingkirkan bekas Persuruhjaya Pas Selangor itu sudah dibuat semasa muktamar lalu. Kenafsuan Nasaruddin Hassan merebut jawatan itu adalah untuk menyingkirkan persuruhjaya berkenaan. Kalau tidak apa tujuan dan maksudnya dia ikut bertanding? Malangnya beliau tewas.

Kegagalan ahli parlimen Temerloh itu dan kejayaan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor mengekalkan kedudukannya itu menunjukkan tidak semua yang berada dalam muktamar sedia untuk "makan gulai" perkahwinan parti mereka dengan Umno.

Nasaruddin memang individu yang dipelihara dalam Pas. Kerana itu walaupun tewas, beliau dilantik semula menjadi Ketua Penerangan kandatipun tugasan itu tidak berapa cemerlang. Pengemasan pagar Pas untuk membanyakkan tangan mengaminkan doa perkahwinan juga dapat dilihat apabila Pesuruhjaya Pas Perak dibawa masuk ke dalam Dewan Harian Pas dengan dilantik menjadi Bendahari Pas.

Perkembangan dan perubahan ini semua adalah ke arah melangsungkan perkahwinan Pas - Umno. Dan semua orang jangan terkejut dan bersedih lagi kerana seperti mana dianologikan di atas tadi, rombongan pengantin sudah pun menghampiri pelamin dan persandingan akan dilakukan segera.

Segala persiapan telah pun dibuat. Ikan juga sudah ditangguk dan dijala untuk dijamu kepada "pengelen" tetamu. Dua tiga hari lepas Tuan Presiden dengan mengenakan terendak tradisi turun sendiri ke laut bersama Menteri Pertanian Ahmad Shabery Chek untuk menangkap ikan bagi digulai pada hari penkendurian itu. 
Idris Ahmad yang juga Naib Presiden Pas sudah membaca hadith-hadith baharu berbunyi apa salahnya kalau Pas berkerjasama dengan Kerajaan. Ah banyak lagi dalil dan takwil bahawa Pas sedang menunju ke lubang besar. Penyusunan eksekutif parti itu dan "penyingkiran" beberapa individu menjelaskan lubang besar untuk Pas sudah hampir siap.

Buat mereka yang degil tidak mahu mempercayai dan menganggap ramalan ini bersifat fitnah, tunggulah melihat apa yang terjadi. Kalau pun marah dengan agenda itu, sudah pasti sebaik pengantin disandingkan, nasi dan gulai ikan akan dihidang semua orang yang lapar akan makan dan tidak akan berkata apa-apa lagi apabila dapat merasai keenakan gulai dan kueh mueh disajikan dalam majlis itu.  [wm.kl.6:02 pm 06/05/17].


Posted by mohd sayuti Omar at 6:34:00 PM 

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa