Anwar_Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
MELAKA - Polis Melaka sedang menyiasat dakwaan bahawa ketua pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim mengacukan pistol ketika kejadian menghalang bas PKR Jelajah Merdeka Rakyat yang turut dinaiki Ketua Pembangkang itu di Jasin semalam.

“Pengawal peribadi yang berusia 37 tahun itu telah ditahan dan dibebaskan dengan ikat jamin polis selepas selesai sesi rakaman percakapan kira-kira jam 9 malam di ibu pejabat polis daerah (IPD) Jasin, malam tadi,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah hari ini.
"Namun dia dibebaskan dengan jaminan polis selepas kami merakam percakapannya dan berpuas hati dengan keterangan yang diberi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki tersebut mempunyai lesen senjata api yang sah dan hasil keterangannya mendapati tindakannya itu tidak mengancam sesiapa, sebaliknya hanya menjalankan tugas sebagai pengawal peribadi.
Bagaimanapun, Raja Shahrom berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut melalui rakaman video atau gambar yang dirakam orang awam seperti yang dilapor sebuah akhbar tempatan hari ini.
Laporan media hari ini menyebut polis menahan lelaki yang ditugaskan untuk mengawal Anwar selepas mengacukan senjata api ke arah orang ramai  di Kampung Baru Rim, Jasin petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.15 petang, lelaki berusia 37 tahun, yang  menaiki Toyota Camry, dipercayai berang dan keluar dari kenderaan sebelum mengacukan pistol selepas sekumpulan lelaki cuba menghalang bas dinaiki Anwar ke satu majlis di kampung tersebut.

Siasatan polis menunjukkan senjata api itu milik syarikat keselamatan dan pegawai terbabit dibenarkan membawanya ketika bertugas.

Perkara itu dinafikan oleh PKR hari ini.

Dalam pada itu, Raja Shahrom juga berkata, pihaknya berharap mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai rakaman video atau foto berhubung kejadian bas dinaiki Anwar disimbah cat ketika siri Jelajah Merdeka Rakyat di Kampung Kelubi, Jasin petang semalam,  tampil membantu siasatan.

Raja Shahrom berkata, semua individu yang berada di kawasan kejadian diminta untuk tampil membantu polis mencari kebenaran dalam peristiwa yang berlaku ketika bas yang dinaiki pemimpin PKR dalam perjalanan menghadiri jamuan Aidilfitri di Rim, Jasin.

"Sebuah pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat kes di bawah Seksyen 427 kerana kianat, bertujuan mencari kebenaran selepas empat laporan diterima antara jam 3.30 hingga 4 petang berkaitan bas Jelajah Merdeka Rakyat disimbah cat dan dibaling botol minuman ," katanya.