Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, April 17, 2013

Penduduk Kg Baru mahu dialog dengan calon PRU13

Jamilah Kamarudin April 17, 2013
Satu majlis dialog antara calon PAS dan BN bersama warga Kampung Bharu akan diadakan pada 28 April ini
KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Baru mahu satu dialog terbuka dengan calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) untuk menentukan  parti mana yang dirasakan mampu membela nasib kawasan itu daripada terus digadaikan untuk pembangunan komersial.
Pengerusi Taskforce Kampung Baru Yusof Yahya berkata, pihaknya akan menganjurkan majlis dialog dan perbincangan terbuka antara warga Kampung Baru bersama calon PAS Ahmad Zamri Asa’adi Khuzaimi serta Datuk Johari Abdul Ghani, calon dari Barisan Nasional  (BN).
Yusof berkata, majlis tersebut ditetapkan pada malam 28 April ini di kawasan parkir Surau Khatib Koyan di Kampung Baru.
Katanya, dialog dengan bakal pemimpin politik itu penting untuk mengetahui jaminan yang akan mereka tawarkan terhadap penduduk  kampung.
Ini kerana menurut Yusof penduduk kampung masih bingung dengan nasib mereka sama ada menjadi mangsa pemindahan sama seperti  yang terjadi kepada tanah dan kampung warisan lain di Kuala Lumpur atau terus kekal dikawasan tersebut.
“Kami memerlukan jawapan konkrit, jaminan serta janji daripada pemimpin, parti politik serta kerajaan baru yang bakal memerintah  kelak (sama ada BN atau Pakatan Rakyat) mengenai tanah Kampung Baru.
“Janji ini akan dipegang daripada bermulanya kempen pilihan raya sehinggalah kerajaan diberi mandat kelak untuk memerintah,” katanya  dalam sidang media di bangunan Yayasan Selangor di sini hari ini.
Katanya, surat jemputan akan diserahkan pihaknya kepada kedua-dua calon secepat mungkin dan berharap mereka akan memberi respon  untuk turut serta dalam acara dialog.
Tanda solidariti
Selain dialog, Himpunan Penduduk Kampung Baru turut diadakan dalam masa yang sama dengan mengumpulkan seluruh penduduk dan  waris sebagai tanda solidariti dalam menangani isu ini.
“Taskforce Kg Baru juga akan menggerakkan ‘Kempen Selamatkan Kampung Baru’ bermula hari ini.
“Kempen ini akan menemui seluruh penduduk dan pemilik hartanah Kampung Baru dengan mendapatkan tandatangan sokongan supaya  kampung ini dikekalkan dengan entitinya serta sentiasa berada di bawah pemilikan penduduk sendiri,” katanya.
Kampung Baru diserahkan kepada Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) untuk diurus tadbir sejak ianya diluluskan di  Parlimen pada tahun 2011.
Namun menurut Yusof, malangnya ramai penduduk dan pewaris tidak dimaklumkan secara bertulis bentuk projek pembangunan yang  akan dilaksanakan.

1 comment:

  1. Saya berminat untuk mengetengahkan cadangan bagaimana dana boleh diraih buat membantu penduduk Kg Baru membangunkan tanah masing-masing dan diharap En Yusof Yahya sudi menghubungi saya di " aliasdasuki @yahoo.com " untuk membincangkannya

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa