Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, May 12, 2013

Doa Rakyat Yang Merasa Dianiaya Lebih Mujarab

Kalau mahukan kemenangan, beritiqamah dalam berdoa
Insya Allah, Allah akan kurniakan kemenangan pada masa yang sesuai di sisiNya
Tapi sayang nampaknya ada Pemimpin yang telah lalai dengan kuasa dan dunia kononya di atas landasan penyatuan Ummah!

Ummah yang bagaimana, entahlah.....
Adakah Ummah yang menuju ke jalan Tuhannya dan mencari keredaanNya 
Atau Ummah yang mencari dunia sehingga terlupa yang tindakkannya membelakangi kepentingan rakyat marhaen

Ada yang sanggup menjadi Katak kerana habuan dunia - jawatan dan kuasa

Doa rakyat lebih mustajab dari doa kroni
Oleh Aspan Alias May 12, 2013
Doa rakyat biasa untuk Najib lebih mustajab dari doa kroni-kroni yang hampir dengan beliau kerana kepentingan peribadi mereka sahaja.

Pilihan Raya Umum ke 13 merupakan pilihan raya yang paling mahal sekali dalam sejarah negara merdeka. Ia disebabkan kerana membuat persediaan untuk mempertahankan kerusi Barisan Nasional (BN) setelah mengalami keputusan buruk pada pilihan raya umum sebelumnya pada tahun 2008.
Mahu tidak mahu, semua mesti mengakui ianya amat mahal kerana persediaan itu melibatkan perbelanjaan yang dilakukan secara ‘ad hoc’ kepada rakyat dalam berbagai-bagai bentuk untuk menawan hati rakyat.
Tetapi keputusan tetap lebih buruk kerana keseluruhannya BN telah mendapat hanya 133 kerusi, 7 kerusi kurang dari pilihanraya yang semasa itu dianggap yang terburuk pada 2008 dahulu. Dengan keputusan yang baru ini, ia menunjukkan BN terpaksa melakukan perkara yang baru, jika mahu disebut kembali seperti yang saya sebut dalam posting yang lepas, iaitu melakukan perkara yang belum pernah terfikir oleh kita semua.
Memindahkan situasi politik dari situasi sekarang kepada situasi yang baru dengan jujur akan membawa rakyat kepada ‘ambience’ politik yang berbeza sedikit sebanyak akan membantu menenangkan pemikiran rakyat yang tidak berpuas hati dengan situasi dan keadaan persekitaran politik hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu memahami apa yang menjadi sebutan ramai yang tidak baik di bawah ini. Beliau mesti memahami semua masalah sebelum beliau berfikir untuk mencuba menyelesaikannya.
Bawalah rakyat berfikir ke persekitaran politik yang baru. Jangan lagi memaparkan peribadi yang sudah dipersoalkan oleh ramai terutamanya berhubung dengan rasuah dan menyalah gunakan kuasa. Tunjukkan yang Perdana Menteri sekarang benar-benar serius
untuk memerangi rasuah dengan tidak memasukkan mereka yang sudah mempunyai stigma dan terbukti rasuah dari segi moralnya.
Selama ini rakyat sudah boleh meneka siapa yang akan dimasukkan ke dalam Jemaah Menteri kerana kebiasaannya pimpinan hari ini akan hanya memberikan jawatan penting itu kepada kroni dan rakan kerana kepentingan bersama dalam perniagaan.
Inilah persepsi sebenarnya yang menjadikan ramai di antara rakyat sudah membenci Umno dan BN itu. Rakyat sudah mempunyai persepsi buruk terhadap pemimpin yang sukar dihilangkan.
PM Najib pada persepsi mereka, akan meletakkan terus sahabat-sahabat beliau di dalam Jemaah Menteri orang-orang yang telah terbukti melakukan rasuah politik dan telah pun diambil tindakan terhadap mereka. Tetapi rakyat beranggapan yang Najib akan meletakkan mereka kembali dalam kabinet semata-mata kerana kepentingan politik beliau.
Jika keadaan ini masih berlaku salahkah rakyat berselindung di sebalik parti-parti pembangkang dan melakukan protes secara politik yang telah pun terbukti menjahanamkan imej kerajaan itu?
Bukan jenayah
Lagi pun jika mereka lakukan protes politik dan berusaha menukar kerajaan yang mereka sudah tidak yakini itu merupakan hak mereka kerana menukar kerajaan itu bukannya tindakan jenayah.
Ini negara demokrasi. Tetapi apabila rakyat memberontak pihak kerajaan tanpa malu-malu memarahi parti pembangkang kerana rakyat berdiri dibelakang parti-parti itu.
Jangan di ikuti cara Dr Mahathir Mohamad kerana beliau selalu memarahi sesiapa yang menyokong pembangkang tetapi tidak mahu
mengakui kesalahan sendiri. Mahathir mempunyai kepercayaan yang berhak melakukan kesalahan ialah pihak BN sahaja dan tidak perlu
diambil tindakan dan terus terlepas dari undang-undang. Mana boleh begitu?
Kali ini sahajalah peluang bagi Najib untuk memperbetulkan keadaan. Itu pun jika beliau mempunyai keberanian yang kuat. Paparkan barisan yang baru walaupun dari kalangan yang kuat memberikan kritikan terhadap beliau. Apa faedahnya hanya mengambil mereka yang mengampu dan yang hanya tahu ‘menggeli pundi-pundi’ beliau sahaja kerana mereka ini akhirnya akan menjadi beban kepada beliau.
Apabila Najib dalam masalah mereka ini bukannya boleh membantu tetapi sebaliknya akan menambah beban demi beban terhadap negara dan beliau sendiri. Mereka ini tidak akan lagi bersama beliau apabila beliau dalam masalah apatah lagi semasa persaraan beliau nanti.
Najib perlu ingat kehidupan yang paling pahit ialah apabila semasa akhir hayat dan dalam persaraan kita di hina oleh masyarakat, lebih-lebih lagi ditinggalkan kawan-kawan dan sahabat yang pernah bersama kita.
Ingatlah, segala amal serta ubudiah kita ialah untuk kita mati dalam kalimah dan segala bakti kita kepada masayarakat yang untuk kita hidup dalam ketenangan semasa dalam sisa-sisa hayat kita nanti.
Berkawan dan bersahabatlah dengan mereka yang diyakini bersama kita terus-terusan sehingga hari tua kita. Itulah sebabnya Najib perlu mengenali siapa sahabat dan siapa rakan. Najib perlu ingat Umno itu untuk membela orang ramai. Parti itu bukannya untuk menyediakan kepentingan seseorang yang mahu naik dalam parti dan akhirnya menguasai negara. Umno itu untuk orang ramai.
Najib perlu bersahabat dan berkawan dengan rakyat bukannya bersahabat dengan mereka yang akhirnya membebankan beliau sendiri.
Doa rakyat biasa yang ramai untuk beliau lebih mustajab dari doa kroni-kroni yang hampir dengan beliau kerana kepentingan peribadi mereka sahaja. – aspanaliasblogspot.com

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa