Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, May 24, 2013

Keraguan Yang Munasabah!

Setelah dikutuk dan dimomokkan diseru pula untuk bersatu oleh manusia itu dan yang sekepala dengannya...

Rayuan bersama kepada semua Muslim Sunni dan Syiah diragui, tidak ikhlas — AsSajjad Movement
23 MEI — Kami di AsSajjad Movement ingin merujuk kepada laporan Utusan Malaysia bertarikh 23 Mei, oleh Sharaimei Shaik Ahmedullah berjudul “Sunni, Syiah usah berbalah”. Ia menjelaskan mengenai sidang media Tun Dr Mahathir Mohamad untuk satu sesi “Rayuan Bersama Kepada Semua Muslim Sunni dan Syiah” di Putrajaya pada 22 Mei. Turut sama dalam sidang media tersebut adalah Dr Ali Khoshroo iaitu wakil kepada Muhammad Khatami dan Dr Chandra Muzaffar.
Laporan di atas menyebutkan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir dan bekas Presiden Iran, Sayyid Muhammad Khatami menyeru supaya ditamatkan pertelingkahan antara mazhab kerana ia tidak menguntungkan umat Islam. Laporan dipetik bahawa kedua-duanya “merayu kepada setiap individu dan pertubuhan masyarakat madani dari seluruh dunia agar turut serta dalam usaha menghentikan keganasan dan pertumpahan darah serta menggalakkan perdamaian dan kefahaman antara Sunni dan Syiah.”
Adalah penting untuk mengucapkan terima kasih kepada Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just), Chandra Muzaffar untuk inisiatif dan usaha keras beliau ini. Walaubagaimanapun, kami di AsSajjad Movement percaya, rayuan kerukunan dan perpaduan ini datang di waktu yang sangat mengelirukan. Ia hanya mengundang lebih banyak kemusykilan.
Kami sesungguhnya bukan pelupa dan ingin merujuk lima point yang menunjukkan betapa rayuan ini sangat diragui.
1. Dr Mahathir dalam satu ucapan beliau pada tahun 2005 pernah mengatakan mazhab Syiah tidak perlu diberi tolak ansur; “any other sect than Ahlus Sunnah wal Jamaah should be disapproved and only Ahlus Sunnah wal Jamaah can be tolerated...” 
2. Serbuan Jabatan Agama Islam Selangor pada 15 Disember 2010 terhadap kumpulan minoriti Syiah yang sedang melakukan tahlil mengenang peristiwa pembunuhan Saidina Husin di Gombak tidak mencerminkan apa-apa komitmen dari Malaysia. Kamil Zuhairi, salah seorang peserta acara tahlil tersebut ketika diminta mengenang insiden itu, secara pahit menjelaskan: 
“The officers broke into and damaged our prayer hall, a private property where we were having special prayers for the Prophet Muhammad’s grandchildren. We were condemned, criticised, slandered and threatened in local media just because we practise what had been preached by our ancestors who were Shia and have lived in Malaysia for centuries. If other communities like Hindus, Buddhists, Christians, Sikhs and others have their right to worship and practice under the constitution, then why not us?”
3. Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir ketika berkempen dalam pilihanraya umum pada 1 Mei yang lalu dalam satu majlis Makan Tengahari/Janji Ditepati di Kampung Teluk Tui, Jerlun telah melakukan pemomokan terhadap masyarakat Syiah di Kedah.
4. Malaysia telah menghentikan bekalan 30 ribu tan minyak sawit kepada Iran meskipun Iran merayu atas nama perpaduan Islam supaya membekalkan minyak tersebut kepada mereka. “They keep asking in the spirit of Muslim brotherhood. The last I heard was an enquiry for 5,000 tonnes for February or March delivery, but no one wants to take that risk now,” a second trader said.
Ia hanya menunjukkan sikap buli Malaysia terhadap Iran yang sedang mengalami sekatan ekonomi daripada kuasa besar Barat.
5. Sikap dagang Malaysia khusus melibatkan Iran kelihatannya tidak menguntungkan Republik Islam Iran.
Soalannya adakah perpaduan dan kerukunan yang dimaksudkan di atas adalah perpaduan dan kerukunan sesama elit, kaum pemodal dan kelas atasan antara Sunni dan Syiah? Jika ia adalah demikian, maka rayuan supaya perpaduan berlaku antara kedua-dua penganut mazhab ini adalah satu pembohongan. Harus diingatkan masyarakat Syiah di Malaysia mengalami pemomokan yang sangat berat. Ia tidak mencerminkan kenyataan Dr Mahathir di atas. Kami ingin merujuk tiga insiden yang tidak membawa apa-apa erti untuk rayuan kerukunan di atas:
1. Di Malaysia penganut ajaran Syiah sering diancam dengan penahanan tanpa bicara di bawah Internal Security Act. Sebagai contoh, Abdullah Hassan, salah seorang pengikut Syiah Imamiyyah ditahan tanpa bicara di bawah ISA (Internal Security Act) antara 2 Oktober 1997 sehingga 31 Disember 1999. Beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada tahun 2001 di mana empat Pesuruhjaya Suhakam pada waktu itu; iaitu Harun Hashim, Zainah Anwar, Mehrun Siraj dan Hamdan Adnan menerima laporan beliau. Laporan Abdullah Hassan kepada Suhakam dilakukan berikutan Malaysia menahan enam lagi pengikut Syiah di bawah ISA antara 20 Oktober 2000 sehingga 5 Januari 2001. Zainah Anwar selaku Pesuruhjaya Suhakam berjanji untuk menghubungi Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri memandangkan penahanan ahli masyarakat atas alasan kepercayaan dan agama adalah, meminjam ungkapan Zainah, “clear violation of Article 11 of the Federal Constitution which guarantees freedom of religion”. Sejak tahun 2001 sehingga hujung 2012 tiada perkembangan sihat berlaku yang memihak kepada minoriti Syiah di Malaysia.
2. Pemomokan terhadap penganut Syiah berlaku secara meluas dan sedar, serta lebih menggusarkan dilakukan oleh pihak berwajib sendiri. Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu sebagai contoh mengarah masjid-masjid di Trengganu membaca khutbah Jumaat anti Syiah pada 23 September 2011. Hal yang sama terjadi di Selangor, sebagai rekod; khutbah Jumaat bertarikh 6 April 2012 menyeru umat Islam menghindari Syiah. Khutbah berjudul “Penyelewengan Syiah Di Malaysia” tersebut menyatakan, antara lain “Syiah menafikan dan menolak al-Quran yang ada di tangan kita pada hari ini”. Khutbah ini adalah satu bentuk pemomokan yang jahat, memandangkan dalam masa yang sama, harus diingat seramai sepuluh orang qari bermazhab Syiah dari Iran dan Iraq telah memenangi Musabaqah Tilawah al-Quran Antarabangsa anjuran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia sejak tahun 1961. 
3. Pemomokan terhadap masyarakat Syiah bahkan didokongi media secara besar-besaran. Radio Televisyen Malaysia (RTM), media milik pemerintah pada 9 dan 16 Februari 2012, di stesen TV1 menyiarkan rancangan berjudul “Mazhab atau Agama” bertujuan memomokkan penganut Syiah. Juga, pada 4 Oktober 2012 saluran Bernama TV Saluran 502, dalam rancangan Hello Malaysia, media ini memburuk-burukkan fahaman dan penganut Syiah. Selain media elektronik, media cetak turut melakukan pemomokan seperti yang dapat dibaca di Utusan Malaysia bertarikh 17 Disember 2010 dengan judul “Markas Syiah Diserbu” atau Berita Harian bertarikh 28 April 2011 dengan judul “JAIS Pantau Syiah di Selangor”.
Sebenarnya, apa sahaja Penyataan, Deklarasi dan Rayuan antara Sunni dan Syiah tidak bermakna apa-apa di Malaysia. Ini kerana Malaysia menerusi Deklarasi Islamabad 2007 yang dikemukakan oleh Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) antara lain telah menyatakan kesanggupan untuk melindungi hak-hak minoriti agama dari mazhab Syiah. Kerajaan Malaysia dengan diwakili oleh Syed Hamid Albar, Menteri Luar Negara ketika itu menolak Syiah sebagai fahaman “sesat” dan menegaskan penganutnya tidak wajar dipinggir dalam Deklarasi Islamabad 2007 tersebut.
Mengapakah, Dr Mahathir, pemimpin dunia ketiga dan dunia Islam yang berpengaruh tidak menggesa kerajaan Datuk Seri Najib Razak patuh kepada Deklarasi Islamabad 2007 di atas? Untuk apa satu lagi Rayuan Bersama yang tidak bermakna? Seperti yang telah diperlihatkan di atas, Malaysia tidak melakukan apa-apa. Laporan “State of the World’s Minorities and Indigenous Peoples 2012: Events of 2011 Focus on Land Rights and Natural Resources” menekankan bahawa komuniti Syiah di Malaysia mengalami penindasan yang teruk; “Shi’a Muslims, listed as a ‘deviant’ sect by Malaysia’s Islamic law in this majority Sunni Muslim state, also continued to face difficulties. In May, in the central state of Selangor, authorities broke up a gathering of Shi’a who were celebrating the birthday of a daughter of the Prophet, on accusations of proselytising. Four people were reportedly detained” (lihat Walker, B. (ed). 2012. State of the World’s Minorities and Indigenous Peoples 2012: Events of 2011 Focus on Land Rights and Natural Resources. New York: Minority Rights Group International).
Oleh kerana itu kami di asSajjad Movement menyatakan “Rayuan Bersama Kepada Semua Muslim Sunni dan Syiah” di Putrajaya pada 22 Mei 2013 tersebut adalah diragui, tidak ikhlas, mengelirukan dan dilakukan dengan agenda terselindung. Sekiranya Dr Mahathir benar-benar ikhlas dalam rayuan beliau ini, sebagai negarawan yang dikatakan berpengaruh beliau hendaklah menyarankan kepada kerajaan supaya menarik balik fatwa daripada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada Mei 1996 yang memutuskan ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam dan penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada Ahli Sunnah Wal Jamah adalah dilarang di negara ini. Hanya dengan itulah keikhlasan beliau tidak dapat diragui lagi. - sumber

1 comment:

  1. tuan,

    dalam keadaan Malaysia hanya punya 1 mazhab pun umat nya berpecah belah, perlukah ditambah lagi dengan kehadiran Syiah yang secara 'tidak rasmi' diragui taklidnya?

    bukan menidakkan hak org lain, tetapi jangan tiada beban, batu digalas. Malaysia punya undang2 yang tidak mengiktiraf syiah, kenapa harus menyiarkan artikel yang menyebelahi mereka?

    Adakah kerana Menteri perang sanggup berunding 3minggu dengan Sulu, Syiah juga ingin mencuba nasib?

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa