Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, May 27, 2013

Luahan Hati Seorang Warga Keturunan India

Pembunuhan Dharmendran: Perbuatan kebinatangan dalam masyarakat yang bermartabat — Edwin Michael

27 MEI — Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri,
Tidak keterlaluan kiranya saya mengandaikan bahawa lembaran ini tiada apa-apa makna buat YB Datuk Seri Dr dan seluruh kepimpinan Barisan Nasional. Lebih-lebih lagi memandangkan warkah ini datangnya daripada seorang belia etnik India, kaum minoriti di negara ini. Setiap perkataan dalam warkah ini mungkin boleh diumpamakan sebagai bisikan yang terlalu halus untuk diberikan perhatian oleh YB Datuk Seri Dr.
Beberapa hari yang lalu, negara ini menyaksikan satu lagi kematian disebabkan oleh tindakan kebinatangan terhadap mendiang N. Dharmendran, 33. Amat pilu kerana laporan patologis sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya.
Berdasarkan pemahaman dan penyelidikan saya, Malaysia tidak pernah menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Terhadap Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment.
Konvensyen ini secara langsung membenarkan pertubuhan mahupun pakar pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa mengadakan lawatan dengan kerap untuk memeriksa pusat tahanan serta tahanan itu sendiri. Namun, entah mengapa, Malaysia memilih untuk tidak menyokong. Apakah keterlaluan kiranya saya mengandaikan bahawa Malaysia memilih untuk berkecuali semata-mata bagi menghalalkan perbuatan kebinatangan sedemikian rupa? Maafkan saya kiranya andaian saya ini terlalu tajam.
Sedar atau sengaja mengenepikan fakta, kes mendiang Dharmendran ini bukannya sesuatu yang baru dalam membicarakan kekejaman pihak polis ini. Siapa boleh lupakan kematian A. Kugan di balai polis USJ sekitar Januari 2009 serta Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani Mohamed yang menemui ajal ketika berada dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Statistik antara 2000 dan Februari 2010 menunjukkan, 64 orang Melayu mati dalam tahanan polis, Cina (30 kes); India (28 kes), kaum lain (lapan kes) dan warga asing (14 kes).
Kematian Tharma Rajen, 20, di Balai Polis Putrajaya, M. Ragupathy, 22, di Balai Polis Sepang serta Vivashanu Pilai yang mayatnya di jumpai di sungai. Pihak polis mendakwa bahawa Vivashanu kemungkinan lemas selepas berjaya meloloskan diri daripada tahanan polis di Balai Polis Dang Wangi namun keluarga mendiang pula mendakwa bahawa Vivashanu dibunuh sewaktu dalam tahanan polis sebelum mayatnya dibuang ke dalam sungai.
Kematian R. Gunasegaran di Balai Polis Sentul pada Julai 2009 pula diam seribu bahasa. Dan untuk rekod, Balai Polis Cawangan Dang Wangi sememangnya layak dimasukkan dalam “Malaysia Book of Records” kerana menempa sejarah yang tersendiri apabila menjadi balai polis tunggal di negara ini yang mencatatkan tiga kematian tahanan dalam tempoh tiga bulan iaitu daripada September hingga Disember 2012 iaitu kematian K. Nagarajan, 32, Chandran Perumalu, 47, dan Wong Tip Ping, 51. Mac 2013 pula menyaksikan kematian M. Ragu, 47, di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar.
Agaknya kisah-kisah ini telah dihitamkan seperti yang dilakukan terhadap kes kematian A. Kugan dahulu?
KES-KES YANG “DIDIAMKAN” DARIPADA SIASATAN
YB Datuk Seri Dr, 
Peguam-peguam seperti P. Uthayakumar dan N. Surendran dan badan-badan seperti Police Watch and Human Rights Committee dan Suaram telah mengemukakan banyak bahan bukti, dan banyak laporan polis telah dibuat. Namun, semuanya hanya tinggal laporan sahaja. Berikut ialah fakta hasil daripada pemantauan Police Watch and Human Rights Committee serta Suaram yang mungkin tidak pernah di ambil tahu oleh kerajaan Barisan Nasional.
Februari 2003
Prakash Moses pengsan sewaktu dalam tahanan di Pusat Tahanan Balai Polis Jalan Hang Tuah (sebelum ini dikenali sebagai Penjara Pudu). Tiga hari kemudian beliau mati di Hospital Kuala Lumpur. Anaknya, Steven Moses yang turut di tahan di sana mendakwa bahawa terdapat luka dalam di kepala ayahnya yang disyaki sebagai punca kematiannya. 
Mac 2003
Kannan Kanthan, 45, mati dalam tahanan di Balai Polis Batu Pahat, Johor selepas di tahan tiga hari oleh polis. Sepupunya, Sri Rajesh Kanna Viladan mendakwa terdapat kesan kecederaan pada tubuh mendiang. 
Julai 2003
Ulaganathan Muniandy, 19, mati di Balai Polis Kajang selepas ditahan di bawah Akta Darurat yang membenarkan pihak polis menahan suspek selama 60 hari. Pihak polis mendakwa suspek mati kerana asma (dakwaan yang sama pada mulanya dalam kes A. Kugan ini) namun sijil kematian yang dikeluarkan oleh Hospital Kajang pula menyatakan bahawa punca kematian mendiang sebagai “tidak diketahui”. Ibu mangsa pula mendakwa anaknya tiada penyakit asma dan kali terakhir melawatnya di tahanan, terdapat kesan lebam di mata mendiang.
Oktober 2003
Ravichandran Ramayah, 38, mati selepas ditahan selama seminggu di Balai Polis Timur Laut di Pulau Pinang. Walaupun pihak mahkamah mengarahkan suspek di bawa ke hospital untuk rawatan kerana kesihatannya yang terjejas teruk namun sebaliknya berlaku apabila pihak polis membawa mendiang terus ke Penjara Pulau Pinang. Suspek mati di sana. Pihak Polis mengklasifikasikan kematianya sebagai kematian semulajadi.
November 2003
Veerasamy Gopal, 52, mati dalam tahan Balai Polis Ampang selepas di tahan selama empat hari. Keluarganya percaya mangsa mati akibat didera dalam tahanan.
Disember 2003 
L. Yoges Rao, 22, mati dalam tahanan di Balai Polis Sitiawan, Perak. Yoges merupakan suspek kes dadah dan enam pegawai polis telah menyerbu rumahnya. Kakaknya yang berada di rumah ketika itu menyatakan bahawa pegawai-pegawai polis berkenaan memukul adiknya dengan menumbuk beberapa kali di perut dan abdomen badannya. Kemudian pegawai polis berkenaan membawa adiknya masuk ke dalam salah satu bilik di rumahnya dan mengunci pintu biliknya. Beliau mendengar adiknya meraung kesakitan sambil merayu kepada pegawai-pegawai berkenaan untuk tidak memukulnya. Yoges hanya dibawa keluar dari bilik berkenaan selepas hampir satu jam setengah dan Yoges mengalami muntah darah. Mendiang meninggal pada keesokkan hari di lokap. Permit kuburnya menyatakan bahawa Yoges mati kerana ulser perut. Kejam!
YB Datuk Seri Dr,
Ini hanyalah kes-kes yang direkodkan bagi tahun 2003 sahaja. Seperti saya, ramai lagi yang percaya bahawa keganasan ini seolah-olah direstui dan dihalalkan oleh kerajaan pemerintah. Apakah benar?  
Yakinkan saya dan rakyat Malaysia amnya bahawa kami selamat daripada keganasan ala binatang liar ini! Jika akal pemikiran waras saya ini masih tidak yakin dengan kredibiliti pasukan penguasa dibawah pemantauan anda, itu bukan salah saya dan tiada sebab untuk menyuruh saya meninggalkan negara ini. Yang betul dikatakan salah dan yang salah dikatakan betul laksana hitam gagak tiada siapa yang mencelupnya!
Semoga, Tuhan merahmati dan mencucuri roh mendiang Dharmendran.
Yang rindukan kebenaran,
Edwin Michael.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa