Polis Pulau Pinang mengisytiharkan bahawa perhimpunan pro-BN yang dijadualkan untuk diadakan pada malam ini sebagai perhimpunan haram kerana penganjur gagal memberi notis dalam tempoh 10 hari seperti yang diperuntukkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Timbalan ketua polis negeri SAC Datuk Abdul Rahim Jaafer berkata jabatannya hanya menerima notis berkenaan semalam dari penganjur, Yayasan Prithee Amal Malaysia.

Perhimpunan yang dijadualkan berlangsung pada jam 7.30 malam ini antara lainnya bertujuan untuk menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Oleh yang demikian, ia tidak mematuhuhi syarat (notis) 10 hari mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman.

"Kegagalan untuk mematuhi undang-undang ini boleh menyebabkan penganjur dikenakan tindakan polis mengikut Seksyen 9(5) akta tersebut," kata Abdul Rahim dalam satu kenyataan.