Guru tampar bapa, serang dengan batu bata
Balasantheran pergi ke sekolah berkenaan untuk meminta penjelasan berikutan tindakan guru itu sering memukul anaknya di sekolah
SEREMBAN: Seorang guru dari sebuah sekolah di Seremban menyerang seorang bapa dengan menampar bapa tersebut dan seterusnya dibaling dengan batu-bata, dakwa KN Balasantheran, 45.
Menurut Balasantheran, dalam kejadian yang berlaku lebih seminggu yang lepas, beliau pergi ke sekolah berkenaan untuk meminta penjelasan berikutan tindakan guru itu sering memukul anaknya di sekolah.
“Saya datang ke sekolah untuk menjemput anak saya di sekolah tersebut.
“Anak lelaki saya yang berumur sembilan tahun mengadu terdapat seorang guru lelaki di sekolah memarahinya dengan perkataan yang kasar seperti ‘binatang’ dan ‘lembu’. “Selepas itu saya terus berjumpa guru terbabit yang kebetulan berada berdekatan pagar sekolah untuk bertanya tentang aduan anak saya.
“Guru itu memberitahu saya agar jangan masuk campur hal sekolah kerana ia melibatkan pelajar sahaja. “Saya tidak puas hati dengan jawapan guru itu kerana guru itu menghina anak saya depan pelajar yang lain.
“Saya terus desak guru itu memberi penjelasan tetapi tiba-tiba dia terus menampar muka saya. Selepas itu dia mengambil seketul batu dari pasu bunga untuk memukul saya, tetapi sempat di halang oleh oleh beberapa ibu bapa yang berada di situ,” kata Balasantheran.
Balasantheran merupakan seorang individu yang tergolong dalam golongan Orang Kurang Upaya (OKU) kerana masalah mata berkata kejadian berlaku di hadapan dua anaknya.
“Akibat kejadian itu, anak saya kini trauma dan takut pergi ke sekolah, malah demam akibat terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya. Balasantheran juga sudah membuat satu laporan polis di Balai Polis Seremban.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepayang dari DAP, Cha Kee Chin berkata beliau telah menulis surat kepada Ketua Polis Daerah Seremban, Saiful Azly Kamaruddin dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Kalsom Khalid berhubung kes ini.
Cha berkata pihak polis dan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan sedang menyiasat kes ini. “Saya mahu guru terbabit dikenakan tindakan.
Saya juga berharap polis akan mengambil tindakan kerana menampar atau cuba mencederakan merupakan sebuah kes jenayah,” ujar Cha. Turut hadir peguam A Partheeban.
adoiii .. macam-macam ya ..
ReplyDelete