Zefry Dahalan | June 22, 2013
Pusat perniagaan di Pusat Bandar Felda Palong 4, 5 & 6 sudah tidak teratur lagi. Peniaga membuka gerai sewenang-wenangnya di tepi jalan.
JEMPOL: Peneroka Felda Palong 4, 5 & 6 di sini mendesak kerajaan dan pihak Felda agar membangunkan segera Pusat Bandar Felda Palong.
Peneroka Yacop Yusop, 65, berkata pusat perniagaan di Pusat Bandar Felda Palong 4, 5 & 6 sudah tidak teratur lagi.
“Peniaga membuka gerai sewenang-wenangnya di tepi jalan. Ada sahaja tempat kosong, pasti gerai berpayung akan dibuka. Ada yang menyimen dan mendirikan bumbung menjadi gerai tetap.
“Saya tidak menyalahkan peniaga-peniaga terbabit kerana pihak bertanggungjawab gagal menyediakan lokasi perniagaan yang sesuai.
“Saya memuji sikap peniaga yang ingin berkecimpung dalam perniagaan tetapi disebabkan tiada sistem kawalan dan pembangunan yang tidak teratur, maka kewujudan gerai ‘segera’ ini menyesakkan laluan di sekitar pusat perniagaan ini.
“Jalan semakin sempit, malah hendak letak kereta pun susah.” kata Yacop.
Seorang lagi peneroka Kamis Sapar, 60, pula membangkitkan masalah ketiadaan balai polis di Pusat Bandar Felda Palong 4, 5 & 6.
“Kawasan ini hanya mempunyai pondok polis. Balai polis perlu diwujudkan memandangkan penduduk di sini semakin hari semakin bertambah.
“Kami mahu penguatkuasaan yang lebih ketat dan apabila ada balai polis kami rasa lebih selamat selain mudah untuk membuat sebarang aduan.
“Sekarang jika kami mahu membuat laporan polis yang rasmi, kami perlu bergegas ke Balai Polis Rompin yang terletak kira-kira 22 kilometer dari sini,” ujar Kamis.
Pendatang asing
Anak peneroka Norazman Ismail, 32, kesal dengan senario ramai pendatang asing mula berniaga di deretan kedai di Pusat Bandar Palong 4, 5 & 6.
“Saya kecewa apabila pihak berkenaan sewenang-wenangnya menjual atau menyewakan deretan kedai kepada pihak luar termasuk
pendatang asing dan rakyat tempatan yang bukan merupakan warga Felda atau anak peneroka Felda,” kata Norazman.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Datuk Lilah Yasin berkata projek naik taraf bangunan dan gerai di Pusat
Bandar Palong 4, 5 & 6 antara yang diambil kira semasa perbincangan Projek Penyelarasan Pembangunan DUN Palong, baru-baru ini.
Menurutnya, pihaknya turut bekerjasama dengan Majis Daerah Jempol (MDJL) untuk membangunkan kedai untuk anak peneroka.
“Kemudahan ini akan dibina dengan infrastruktur yang lebih baik dan selesa.
“Bagi gerai-gerai yang dibina di tepi jalan, MDJL akan cari lokasi yang lebih sesuai dan disusun semula agar mereka boleh berniaga dengan selesa,” kata Lilah.
Mengenai peniaga luar yang berniaga di Pusat Bandar Felda Palong 4, 5 & 6; Lilah berkata lesen perniagaan yang dikeluarkan kepada peneroka mahupun anak peneroka seharusnya dimanfaatkan sebaiknya.
“Jika mereka bertindak menyewakannya kepada orang lain atau pendatang asing untuk berniaga di premis berkenaan, tindakan tegas akan diambil. Jangan pula salahkan kerajaan apabila tindakan itu dikenakan ke atas mereka,” katanya.
Mengenai desakan peneroka yang mahukan sebuah balai polis, Lilah berkata ianya memerlukan beberapa kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Walabagaimanapun beliau akan usahakan untuk naik taraf pondok polis sedia ada.
kelemahan urus selia pendatang oleh jabatan-jabatan yang berkenaan amat ketara lemahnya. Tak perlu kita tuding menuding dakwa salah siapa kerana yang bodoh dan bahalul tetap jua dari kesilapan kita. Rasuah menjadi-jadi, kecil besar tetap ada habuan. Negara kini mengalami polusi dek pendatang-pendatang, tidak terkecuali juga yang mungkin menjadi punca merebaknya penyakit. Tanggungjawab siapakah ini semua?
ReplyDelete