Tapi rupanya tidak....
Duduk 'ceruk' dinding
17 Jun 2013
Jusoh dan Habibah termenung mengenangkan nasib mereka yang tinggal di rumah usang
di Kampung Mengabang Tengah, Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU – “Kalau hujan lebat, kami terpaksa duduk ‘ceruk’ (penjuru) dinding sebab nak elak tempias,” luah pesakit asma, Jusoh Ali, 53, yang tinggal di rumah usang bersama isteri, Tengku Habibah Tengku Ghani, 42.
Jusoh yang menghidap asma sejak dua tahun lalu tidak mampu melakukan kerja berat sebagaimana sebelum ini.
“Dulu pakcik pernah jadi nelayan, buruh binaan dan pembuat roti canai, tetapi sekarang dengan keadaan kesihatan yang tidak menentu, pakcik terpaksa berhenti dan melakukan kerja-kerja kampung yang termampu.
“Sekarang pakcik mencari belut, dapatlah duit belanja sekitar RM10 sehari, itu pun kalau ada rezeki tangkapan lebih,” katanya kepada Sinar Harian yang berkunjung ke rumahnya di Kampung Mengabang Tengah, di sini.
Jusoh yang tinggal berdua bersama isteri kerana belum dikurniakan cahaya mata itu sering mendapat perhatian jiran terdekat kerana kedaifannya yang menggunakan surau berdekatan sebagai tempat membersihkan diri dan sebagainya.
“Pakcik guna bilik air surau di sini untuk mandi dan sebagainya. Alhamdulillah jiran-jiran sangat memahami keadaan pakcik yang beristeri lembam,” katanya.
Dek kemiskinan yang dihadapi, Jusoh menaruh harapan untuk tinggal dalam keadaan lebih selesa dan berharap ada pihak yang sudi membantunya.
“Pakcik amat berharap ada orang (pihak tertentu) yang dapat memberi bantuan bagi membaik pulih rumah ini," katanya.
“Pakcik bukan minta rumah besar tetapi cukup sekadar baik pulih bagi menyediakan ruang dapur dan kemudahan bilik air serta tandas,” katanya.
Jusoh juga merupakan penerima bantuan tahunan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu sejak dua tahun lalu.
“Bermula 2011, pakcik menerima bantuan tahunan daripada Maidam, tetapi jumlah itu cukup untuk belanja saja, naik baiki rumah, masih belum cukup,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa