Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, June 29, 2013

Tok Pa Kata TPP Untungkan Kita

TPP akan untungkan Malaysia
WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Jun 2013

BERIKUT adalah sebahagian jawapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mustapa Mohamed berhubung isu perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik di Parlimen, kelmarin.
Tuan Yang Di Pertua,
Sejarah membuktikan bahawa liberalisasi perdagangan memberi manfaat kepada negara-negara membangun. Sebagai contoh, China menjadi ahli Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada 11 Disember 2001. Selaras dengan proses liberalisasi di bawah WTO, China mengurangkan tarif ke atas lebih 7,000 barangan, mengurangkan kuota dan juga halangan perdagangan lain. China telah menikmati kadar pertumbuhan yang amat pesat. Kini, China merupakan ekonomi kedua terbesar dunia dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini melebihi AS$6.3 trilion (RM19.9 trilion) bagi 2010 berbanding AS$1.5 trilion (RM4.75 trilion) pada 2001. Perdagangan luar China semakin berkembang dan telah menjadi negara pengeksport terbesar dunia dan negara pengimport kedua terbesar dunia bagi 2011. Vietnam menyertai WTO pada 11 Januari 2007. Selepas lima tahun menyertai WTO, Vietnam telah memperoleh pencapaian ekonomi yang amat memberangsangkan. KDNK Vietnam mencecah AS$120 bilion (RM380 bilion) pada 2011 berbanding AS$53 bilion (RM168 bilion) pada 2006 (sebelum Vietnam menjadi ahli WTO).
Tuan Yang Di Pertua,
Sebelum Malaysia melibatkan diri di dalam rundingan TPP, Malaysia telah pun melaksanakan beberapa perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara Asean, China, Jepun, India, Pakistan, Republik Korea, Australia, Chile dan New Zealand. Perdagangan Malaysia telah meningkat tujuh kali ganda dengan pelaksanaan semua FTA ini. Nilai pelaburan asing juga telah meningkat tiga kali ganda. TPP ini bukan sahaja akan membolehkan Malaysia terus memainkan peranan penting dalam proses integrasi ekonomi yang sedang berlaku dengan pesat di rantau Asia Pasifik, tetapi juga membolehkan Malaysia untuk memperluaskan akses pasaran melalui layanan keutamaan tarif FTA yang akan merangkumi rakan dagang yang penting seperti Amerika Syarikat (AS) dan pasaran seperti Kanada, Mexico. Anggota TPP mempunyai 800 juta penduduk dengan keluaran AS$28 trilion (RM88 trilion). Ini jauh melebihi pasaran domestik negara dengan penduduk 29.5 juta orang. Sebahagian besar produk keluaran negara kini telah menepati standard antarabangsa dan mampu bersaing di peringkat global. Dengan TPP, ini akan memberi lagi kelebihan kepada eksport Malaysia dan pada masa yang sama menyediakan peluang pelaburan bagi syarikat Malaysia.
Tuan Yang Di Pertua,
Izinkan saya menggunakan kesempatan ini juga untuk memperbetulkan persepsi umum yang mengandaikan bahawa tidak terdapat konsultasi yang sewajarnya dalam proses rundingan. Sungguhpun kita tertakluk kepada soal kerahsiaan, ini tidak pernah menghalang kerajaan mengambil langkah proaktif untuk mengadakan konsultasi dengan pihak berkepentingan sebelum dan selepas setiap pusingan rundingan TPP. Dalam konsultasi dengan pihak berkenaan, kerajaan berkongsi pendirian yang akan diambil Malaysia terhadap isu-isu yang dirundingkan. Kerajaan juga tidak pernah menolak mana-mana permintaan untuk mengadakan konsultasi mengenai TPP atau mana-mana FTA yang telah dirundingkan sebelum ini malahan konsultasi bagi TPP ini adalah yang paling menyeluruh berbanding dengan lain-lain FTA terdahulu.
Tuan Yang Di Pertua,
Beberapa ahli Parlimen telah membangkitkan mengenai isu pelaburan, terutamanya isu Investor-State Dispute Settlement (ISDS), dengan izin, dan impaknya ke atas kedaulatan negara. Malaysia sebelum ini telah pun menandatangani 74 perjanjian perlindungan pelaburan yang mengandungi peruntukan yang sama seperti ISDS. Dengan adanya perlindungan pelaburan ini, Malaysia telah dapat menarik masuk lebih ramai pelabur asing untuk melabur di dalam negara. Sehingga kini, hanya dua kes diambil terhadap Malaysia di bawah ISDS. Peruntukan ISDS bukan hanya memberi manfaat kepada syarikat asing, ia juga memberi manfaat kepada syarikat Malaysia dari segi memberi perlindungan ke atas pelaburan mereka di luar negara. Sehingga kini, dua syarikat Malaysia yang melabur di luar negara telah menggunakan peruntukan ISDS dengan jayanya.
Tuan Yang Di Pertua,
Ahli-ahli Parlimen juga membangkitkan isu mengenai apa-apa pengecualian yang sedang dirundingkan dan/atau telah dipersetujui untuk dilepaskan (perkara seperti pemindahan teknologi dan pengetahuan serta kuota pekerja tempatan) daripada komitmen di bawah Bab Pelaburan TPP. Ingin dimaklumkan bahawa rundingan masih diteruskan dan tidak ada perkara yang akan dilepaskan sekiranya ianya penting bagi negara untuk tujuan pembangunan selari dengan dasar kerajaan sedia ada.
Tuan Yang Di Pertua,
Bagi bidang hak harta intelek (IPR), isu-isu utama adalah tertumpu kepada akses kepada ubat-ubatan dan penjagaan kesihatan mampu dimiliki dan perlindungan hak cipta jangka panjang. Ingin ditegaskan di sini bahawa tiada perkara yang telah dipersetujui sehingga kini. Kerajaan telah menyatakan pendirian serta mengemukakan bantahan yang tegas terhadap cadangan yang boleh melambatkan kemasukan ubat generik ke pasaran tempatan dan menyebabkan kos yang tinggi dalam harga ubat-ubatan. Kerajaan tetap berpegang kepada pendirian ini.
Tuan Yang Di Pertua,
Ahli-ahli Parlimen juga telah menimbulkan kebimbangan mereka terhadap impak perjanjian TPP ke atas Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malaysia. Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan telah mengambil maklum akan kebimbangan syarikat Bumiputera di mana kebanyakannya merupakan syarikat IKS. Berhubung dengan IKS, TPP telah mengambil pendekatan memastikan kepentingan IKS diambil kira dalam semua bidang yang dirundingkan. TPP merupakan FTA pertama di dunia yang memberi penekanan dan perhatian kepada IKS dengan mengadakan satu bab khusus mengenai IKS. Kerajaan mengambil maklum bahawa IKS memberikan sumbangan besar kepada ekonomi dan perdagangan Malaysia dan perlu diberikan perlindungan yang sewajarnya. Barangan yang diklasifikasikan sebagai sensitif, penghapusan tarif akan dibuat dalam tempoh masa yang lebih panjang. Antara barangan tersebut adalah perabot, plastik, getah dan komponen E&E (elektrik dan elektronik).
Tuan Yang Di Pertua,
Beberapa Ahli Parlimen telah memohon untuk perjanjian TPP dibahaskan dan dipersetujui oleh Parlimen sebelum ia ditandatangani. Melalui konsultasi yang diadakan termasuk dengan ahli-ahli Parlimen, kerajaan berpendapat perlaksanaan dalam Parlimen dan input yang dikutip dari pelbagai pihak memadai untuk membolehkan kerajaan mendapat input daripada pelbagai pihak.
Tuan Yang Di Pertua,
Berkenaan soalan-soalan yang ditimbulkan mengenai Kajian Impak, ingin dimaklumkan bahawa sebelum sebarang keputusan dibuat oleh kerajaan untuk menyertai sebarang rundingan ataupun bagi rundingan FTA yang sedang berlangsung, analisis kos faedah (Cost Benefit Analysis), dengan izin, atau CBA akan dilaksanakan. Sebelum keputusan menyertai rundingan TPP, kerajaan telah mendapatkan khidmat United Nations Development Programme (UNDP) untuk melaksanakan kajian kemungkinan yang komprehensif mengenai kesan impak kepada negara daripada penglibatan Malaysia di dalam TPP. Kajian kemungkinan tersebut meliputi konsultasi dengan pihak berkepentingan seperti persatuan perdagangan, kementerian atau jabatan dan badan bukan kerajaan yang dijalankan oleh UNDP sendiri. Namun begitu, hasil kajian UNDP tersebut tidak dikongsi secara umum memandangkan ianya mengandungi syor dan strategi khusus yang perlu diambil oleh Malaysia dan melibatkan pendirian Malaysia di dalam rundingan TPP yang sedang berlangsung.
Tuan Yang Di Pertua,
Kerajaan akan terus memastikan bahawa manfaat daripada penyertaan dalam TPP untuk negara adalah jauh melebihi kosnya. Kerajaan akan terus melindungi kepentingan Malaysia dalam rundingan yang penting ini. Perunding-perunding tidak akan mengorbankan hak kerajaan untuk terus menentukan hala tuju kita sendiri dalam usaha mencapai pertumbuhan ekonomi, penstrukturan semula sosio-ekonomi bagi status negara maju. Rundingan yang kini telah melalui 17 pusingan rundingan sedang berjalan dengan lancar. Rundingan ke atas bidang-bidang teknikal dalam 13 bab boleh dianggap telah dimuktamadkan secara substantif. Namun, masih terdapat isu-isu tertunggak yang sensitif yang memerlukan keputusan politik. Pada masa ini, semua perunding sedang berusaha untuk memuktamadkan rundingan secara substantif pada Oktober 2013 dan memuktamadkan rundingan dalam tahun yang sama seperti yang ditetapkan oleh pemimpin TPP. Namun, ini akan bergantung besar kepada fleksibiliti yang akan ditunjukkan oleh negara-negara anggota TPP yang lain, terutama ke atas isu-isu yang dianggap penting oleh Malaysia

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa