Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, June 21, 2013

PSC 2006: Dompok Letak Jawatan Kerana Onar Kementerian Dalam Negeri

RCI: Dompok letak jawatan pengerusi PSC Integriti kerana saksi KDN tidak bekerjasama
OLEH MOHD FARHAN DARWIS
JUNE 21, 2013
Dompok
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang haram Sabah hari ini diberitahu Tan Sri Bernard Giluk Dompok meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berkaitan Integriti pada 2006 disebabkan tidak mendapat kerjasama daripada saksi-saksi yang terdiri daripada kakitangan di bawah agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dompok, yang merupakan bekas ahli Parlimen Ranau hari ini dipanggil memberi keterangan sebagai saksi ke-139 RCI berkata terdapat keengganan saksi daripada pegawai-pegawai untuk memberikan keterangan dalam PSC yang diketuainya pada 2006 menjadi punca beliau meletakkan jawatan.

"Ada banyak kengganan pegawai beri keterangan dan saya buat keputusan letak jawatan... dan juga kerana saya tidak mendapat bukti daripada mereka," katanya kepada panel RCI, di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, di Sabah.

Pada 16 Mei, 2007, Dompok meletakkan jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa itu atas perbezaan pendapat mengenai fungsi dan skop jawatankuasa, khususnya, atas keengganan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk hadir di hadapan jawatankuasa itu.

"Mereka rasa tidak wajar khusus panggil sesetengah jabatan sahaja dan wajar dirujuk kepada Majlis Keselamatan Negara," katanya merujuk kepada JPN dan juga beberapa agensi kerajaan lain.

"Mula-mula mereka muncul ... kemudian bila ia (PSC) berjalan, mereka tak hadirkan diri, saya dimaklumkan atas arahan Kementerian Dalam Negeri," katanya kepada panel yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
Beliau menjelaskan, PSC yang diketuainya itu memberikan penekanan dalam isu memberi kad pengenalan kepada warga asing di Sabah, kad pengenalan palsu, kad IMM13, dan juga populasi penduduk yang meningkat dengan mendadak di Sabah.

"Peranan kami merangkumi proses permohonan kewarganegaraan," katanya lagi.

Ditanya berkenaan hasil daripada PSC berkenaan, Dompok menjelaskan beliau tidak pasti memandangkan tidak lagi terlibat dengan jawatankuasa tersebut selepas melepaskan jawatan pengerusi.

"Ada orang ganti saya jadi pengerusi, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, ahli Parlimen Gerik," tambahnya.

RCI sebelum ini diberitahu bahawa 28 peratus daripada penduduk Sabah merupakan warga asing, dengan anggaran berjumlah 889,000 yang kebanyakannya datang dari Filipina dan Indonesia.

RCI yang bermula Januari lalu juga telah mendedahkan testimoni rakyat Filipina dan warga asing lain tentang bagaimana mereka menerima kad pengenalan biru dalam masa beberapa tahun selepas tiba di Sabah dan mengundi dalam pilihan raya.

Saksi sebelum ini, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee mencadangkan agar rakyat Sabah seharusnya diberikan kelebihan untuk mengeluarkan kad pengenalan mereka sendiri bagi mengekang pemberian kewarganegaraan kepada rakyat asing di negeri berkenaan.

Yong menjelaskan, kerajaan Persekutuan dilihat tidak serius dalam menangani gejala pemberian kad pengenalan kepada warga asing dari Filipina dan Indonesia, dan Sabah jelasnya harus memikirkan inisiatif sendiri bagi menyelesaikan perkara itu.

"Jika kerajaan tak nak selesaikan perkara ini, kita perlu selesaikan sendiri dengan mekanisme kita sendiri, keluarkan IC Sabah," katanya kepada RCI hari ini di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. - June 21, 2013.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa