William Yau inkues
PETALING JAYA - Mahkamah Koroner di sini memutuskan kematian William Yau Zhen Zhong, kanak-kanak berusia enam tahun yang mayatnya ditemui terapung di jeti Kampung Sungai Sireh pada 24 Januari lalu, disebabkan nahas.
  
Koroner Mohd Hezri Shaharil berkata mangsa secara tidak sengaja terjatuh ke dalam longkang berhampiran kawasan Jalan Putera Mahkota, Putera Height, Subang pada 16 Januari lalu.

"Mangsa (William) terjatuh dan kepalanya terhantuk pada objek keras sehingga mengalami kecederaan yang kemudian mengakibatkan kematiannya.

"Mahkamah berpendapatan sedemikian berdasarkan keretakan pada tengkorak kepala yang dialami mangsa. Retakan itu berlaku disebabkan pukulan kuat atau hentakan pada bahagian belakang kepalanya," katanya.

Beliau membuat keputusan itu dan sekaligus menutup prosiding inkues yang mula bersidang sejak 11 Mac lalu.

Dalam prosiding itu, Mohd Hezri turut menolak penglibatan mana-mana pihak secara jenayah termasuk mangsa  dibunuh atau didera ibu bapanya, namun ia lebih kepada kecuaian  yang membawa kepada kematian mangsa.

"Teori ini (dera) disangkal oleh pakar perubatan forensik yang mengesahkan tiada pola kecederaan berulang dan berperingkat pada badan mangsa ketika menjalankan bedah siasat terhadapnya.

"Mahkamah juga menerima pakai keterangan nenek mangsa yang mengakui mengada-adakan cerita bahawa mangsa pernah dipukul teruk bapanya kerana marah akan anaknya (bapa william),"katanya.

Beliau dalam penghakimannya, sekali lagi menolak teori yang mendakwa mangsa diculik sebelum dibunuh berdasarkan panggilan atau pesanan khidmat ringkas (SMS) diterima ibubapa mangsa yang meminta wang tebusan RM80,000 sekiranya mahu anaknya selamat.

"Menilai keterangan ini, mahkamah beranggapan panggilan dan sms diterima adalah agak lewat berbanding tarikh kehilangannya.

"Mahkamah percaya wang tebusan yang diminta semasa panggilan pertama dibuat,  mangsa telah pun meninggal dunia," katanya.

Menyentuh faktor kematangan mangsa, Mohd Hezri berkata seorang kanak-kanak berusia enam tahun lebih kerap melakukan kesilapan.

"Mahkamah tidak menolak kemungkinan pada malam kejadian (16 Januari 2013) mangsa keluar dari kenderaan dan menghala ke arah padang berhampiran.

"Oleh kerana kedudukan longkang kedua yang terbuka dan berhampiran padang mengukuhkan teori ini bahawa mangsa menghampiri longkang kedua sebelum tergelincir serta kepalanya terhentak pada objek keras dalam longkang tersebut," katanya.

Beliau berkata agak mustahil mangsa terjatuh longkang pertama di kawasan Jalan Putra Mahkota kerana ia mempunyai penutup bergerigi besi.

Mohd Hezri berkata dalam menentukan masa kematian sebenar, mahkamah merujuk kepada keterangan pakar forensik yang memaklumkan mayat mangsa mengalami proses pereputan dan tempoh kematian dianggarkan seminggu.

"Justeru mahkamah menganggar mangsa meninggal dunia antara 16 Januari dan 17 Januari 2013, dan mahkamah bersetuju mangsa meninggal dunia di satu lokasi sebelum mayatnya ditemui mati di Jeti Kampung Sungai Sireh, lapan hari kemudian," katanya.

Seramai 21 saksi telah memberi keterangan dalam prosiding inkues.
   
Mayat William ditemui 24 Januari 2013 di Jeti Kampung Sungai Sireh selepas dilaporkan hilang pada 16 Januari lalu di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya setelah dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.

Prosiding inkues dibantu Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt dan peguam pemerhati keluarga Goh Kim Lian.

Mohd Hezri berkata terdapat juga keretakan pada tengkorak kepala mangsa yang dijelaskan boleh berpunca daripada hentakan sangat kuat ke atas benda keras atau pukulan sangat kuat di belakang kepala mangsa yang membolehkan mangsa mati.

Katanya, beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa kecederaan yang berlaku pada tengkorak kepala itu disebabkan terjatuh dan mengalami hentakan yang kuat.

Beliau berkata kecederaan lain termasuk pada tulang rusuk kanan adalah kecederaan lama dan tidak mungkin menyebabkan kematian mangsa.

Inkues bagi menyiasat punca kematian William itu dibantu Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt dan peguam Goh Kim Lian, peguam pemerhati keluarga William. 

Seramai 21 saksi memberi keterangan sepanjang prosiding bermula pada 11 Mac dan berakhir 31 Mei lepas.

Turut hadir dalam prosiding itu ibu bapa William, Goh Ying Ying, 26, dan Yau Kok Kang, 33