Remaja cedera dibaling topi keledar
25 Jun 2013
ALOR SETAR - Seorang remaja cedera di bahagian atas matanya kirinya setelah didakwa dibaling topi keledar oleh seorang individu yang dikatakan pihak berkuasa, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Nor Adriana Nazihim Khairul Rizal, 14, mengalami lebam pada mata kiri ketika keluar bersiar-siar dengan rakannya, Muhammad Ridzwan Roslan, 18.
Kejadian itu berpunca apabila mereka tidak memberhentikan motosikal selepas diarahkan kumpulan berkenaan.
Menurut Ridzwan, lelaki berpakaian preman itu menghampiri motosikalnya di kawasan perniagaan Stargate dan cuba mencabut kunci menyebabkan dia terkejut lalu memecut laju.
“Disebabkan tindakan itu, salah seorang daripada rakan lelaki terbabit bertindak membaling topi keledar dan terkena muka Liyana (Nor Adriana).
“Saya kemudian menghentikan motosikal dan beberapa rakan lelaki itu membantu dengan menghubungi polis. Liyana kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah menaiki kereta polis,” katanya ditemui media di Kampung Kuala Alor, Jalan Alor Mengkudu, di sini, semalam.
Ridzwan berkata, kumpulan itu cuma berpakaian preman tidak membuat sekatan jalan raya.
“Walaupun saya dan Liyana tidak pakai topi keledar, namun mereka tidak patut baling topi keledar. Tindakan mereka cuba tahan secara mengejut termasuk mencabut kunci menimbulkan rasa panik.
“Mujur saya dapat kawal motosikal dari terjatuh,” katanya.
Dalam pada itu, Nor Adriana yang juga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sini tidak ingat dengan apa yang berlaku sebaliknya hanya mengalami rasa pening serta mahu pengsan terkena balingan topi keledar berkenaan.
“Darah menitik banyak di baju dan kaki kanan luka kerana bergesel di jalan ketika Ridzwan cuba mengawal motosikal dari terjatuh,” katanya.
Bapa mangsa, Khairul Rizal Che Khalif, 41, berharap lelaki terbabit meminta maaf kerana tindakan itu menyebabkan anaknya cedera dan bimbang penglihatannya terjejas.
“Saya berharap kejadian terbabit menjadi pengajaran supaya tidak lagi berulang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya akan menyiasat penglibatan kumpulan lelaki terbabit sama ada mereka anggota penguatkuasa atau menyamar sahaja.
“Mangsa serta rakan lelakinya akan melakukan kawat cam bagi mengenap pasti lelaki terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.
ada manusia suka buat tindakan yang tidak sepatutnya bila terjadi musibah baru nak gelabah tak pernah ambil pelajaran dari apa yang duk jadi disekeliling.berhati hati dalam hidup setiap hari apasaja boleh terjadi.keadaan bukan aman sekarang Allah jadikan macam macam bala untuk kita insaf kembali tunduk pada perintah NYA
ReplyDelete