Ibu bimbang keselamatan ‘pasangan Bak Kut Teh’ di penjara
Ibu kepada Alvin, seorang daripada pasangan yang membuat membuat paparan facebook yang menjejaskan sensitiviti umat Islam baru-baru ini, bimbang akan keselamatan anaknya di penjara.
Bercakap kepada The Malaysian Insider di Restoran Desa Park City di Kuala Lumpur, Puan Tan bimbang anak kedua dari tiga beradik itu berdepan tekanan emosi berikutan penahanan itu.
“Saya sangat-sangat bimbang, gementar dan cemas memikirkan keadaan mereka dalam penjara. Saya tidak tahu sama ada mereka selamat atau mungkin dianiya.
"Saya risau jika mereka tidak mampu menangani tekanan emosi dan mungkin membunuh diri akibat tekanan berat yang dihadapi mereka," katanya.
Puan Tan yang dua kali mengunjungi penjara yang menempatkan Alvin dan Vivian di Sungai Buloh, mengakui tertekan sepanjang masa, apatah lagi mengetahui mereka tidak boleh dijamin.
"Tidak banyak masa untuk betul-betul bercakap dengan Alvin. Dia baru habis soal siasat sebelum dibawa polis. Tapi, Alvin sempat beritahu, dia diberi makanan.
“Tiada ibu di dunia yang mahu anaknya ditahan dalam lokap atau penjara. Saya berasa sangat-sangat ditekan emosi," katanya.
Mengakui perbuatan anaknya bersama Vivian melampau dan tidak wajar dengan merujuk perbuatan rakaman seks mereka dan terbaru, 'Bak Kut Teh halal', beliau menyifatkan Alvin seorang anak yang baik.
"Dia seorang yang 'simple'. Benar, perbuatannya itu sangat teruk tetapi Alvin mengakui kesalahan dan membuat permohonan maaf," katanya yang turut menyatakan anaknya itu pelajar pintar dalam akademik.
Bagaimanapun, Puan Tan juga mengakui perbuatan pasangan itu yang gemar digelar Alvivi, sebagai bertentangan dengan budaya kehidupan di Malaysia.
"Saya terkejut apabila tersebar isu video seks sebelum ini. Saya beri amaran kerana Malaysia sebuah negara konservatif, bukan seperti negara Barat," katanya yang menyedari kecenderungan Alvin berbeza dengan rakan seusianya.
Selain itu, beliau berkata, keluarganya juga diganggu orang tidak dikenali hingga mereka berasa trauma dan hidup dalam serba kebimbangan.
"Selain tekanan fizikal dan emosi, kami juga berdepan masalah beban kewangan yang besar seperti kebanyakan keluarga sederhana lain. Kami tidak kaya.
"Dan, kejadian ini menambahkan masalah kewangan kami," katanya.
Menceritakan detik perbuatan anaknya berkaitan paparan video seks dan Bak Kut Teh 'halal' diketahuinya, beliau mengakui berasa kecewa dengan Alvin.
"Sangat payah untuk ditelan. Secara mudah, saya tidak memahami dunia Alvin. Tapi mereka hanya dua anak muda. Masih mentah dan mudah melakukan kesilapan bodoh," katanya.
- TMI
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa