Rakyat 4 negara bermandi darah
2013/07/30 - 07:46:21 AM
Rantau Arab terus huru-hara selepas 20 hari Ramadan Baghdad: Bom kereta yang menyasarkan kawasan majoriti Syiah di Iraq membunuh sekurang-kurangnya 48 orang semalam, kata pegawai keselamatan dan perubatan, menjadikan angka korban sepanjang Julai kepada lebih 780.
Lebih 3,000 maut dalam keganasan sejak awal tahun ini, menurut perangkaan AFP berdasarkan sumber keselamatan dan perubatan – peningkatan dalam pergolakan yang gagal dibendung kerajaan Iraq setakat ini.
Semalam, 11 butir bom kereta menggegarkan sembilan kawasan berbeza di Baghdad, tujuh daripadanya di wilayah majoriti Syiah, manakala satu lagi di Mahmudiyah di selatan bandar raya itu.
Dua lagi bom kereta meletup di Kut, manakala dua lagi di Samawa dan satu lagi di Basra, semuanya di selatan Baghdad. Serangan turut mencederakan sekurang-kurangnya 226 orang.
Keganasan semalam berlaku sehari selepas serangan meragut 14 nyawa, antara mereka ialah sembilan anggota polis Kurdis yang maut dalam pengeboman bunuh diri di bandar raya Tuz Khurmatu di utara. Militan melancarkan dua serangan serentak beberapa hari ini, menunjukkan pencapaian mereka dan kawalan keselamatan yang semakin menurun.
Askar terbunuh
Di TRIPOLI, Libya, sekurang-kurangnya seorang askar terbunuh dalam pertempuran waktu malam di Benghazi, ketika keganasan merebak berikutan pembunuhan seorang aktivis anti puak Islam.
“Pertempuran berlaku di daerah Gwesha antara anggota pasukan khas dengan kumpulan bersenjata tidak dikenali, beberapa jam selepas selepas letupan bom menyasarkan bangunan mahkamah,” kata jurucakap operasi keselamatan, Mohammed al-Hijazy.
Beliau mengesahkan sekurang-kurangnya seorang askar terbunuh, tetapi menegaskan pasukan berjaya mengambil alih kawalan keselamatan Benghazi berdepan keganasan, letupan bom, pembunuhan dan lebih 1,000 banduan melarikan diri dari penjara sejak tiga hari lalu.
Beratus-ratus penunjuk perasaan menyerabng pejabat Ikhwanul Muslimin Libya di Tripoli dan Benghazi dan ibu pejabat sebuah pakatan liberal selepas bantahan bertukar ganas Jumaat lalu.
Tunjuk perasaan dikatakan berpunca daripada pembunuhan pengkritik Ikhwanul Muslimin Abdelsalam al-Mosmary, yang ditembak sejurus selepas meninggalkan sebuah masjid di Benghazi.
Di KAHERAH , penyokong presiden Mesir yang digulingkan Mohammed Morsi, merancang mengadakan satu tunjuk perasaan baru yang diramal menjerumuskan negara ke kancah krisis lebih teruk ketika ketika ketua dasar Kesatuan Eropah mengadakan pertemuan dengan kerajaan dan penentang.
Kumpulan penentang rampasan kuasa ke atas Morsi turut menggesa penunjuk perasaan supaya berarak ke bangunan jabatan keselamatan pada sebelah malam dan merancang perarakan sejuta orang pada keesokan harinya.
Keadaan semakin tegang selepas kematian 72 orang ketika perhimpunan pro Morsi di Kaherah Sabtu lalu.
Sembilan terkorban
Sementara itu di KANDAHAR, sembilan orang terbunuh manakala 15 lagi cedera apabila sebutir bom tepi jalan meletup dan terkena sebuah kenderaan polis di wilayah selatan Afghanistan semalam.
Kejadian berlaku di sebatang jalan yang menghubungkan Kabul dengan Kandahar di daerah Shahjoy di wilayah Zabul, yang kerap menjadi sasaran pemisah Taliban.
Timbalan Gabenor Wilayah, Mohammad Jan Rasoulyar, berkata serangan mengorbankan tiga anggota polis termasuk seorang komander dan enam orang awam. Lima belas orang awam yang berada dekat tempat kejadian turut cedera. AFP/REUTERS
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa