Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, July 2, 2013

PRK Kuala Besut: Terengganu di hujung tanduk

Adakah BN dan Md. Said akan selamat?


OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG RENCANA DAN ANALISIS
JULY 02, 2013

Analisis: Kuala Besut di Terengganu mempunyai dua jenis penduduk utama, nelayan dan kakitangan kerajaan. Kawasan ini terletak di perairan pantai Laut Cina Selatan yang menjadikan kebanyakan penduduknya nelayan.
Pekan utama kawasan ini adalah Kampung Raja yang menjadi pusat pentadbiran untuk daerah Besut.
Kuala Besut terletak di jalan pantai antara Kuala Terengganu dan Kota Bharu, Kelantan. Jalan utama pula melalui bandar Jertih yang menjadi pusat komersial daerah Besut.
Hanya mereka yang memilih untuk menggunakan jalan pantai sahaja memilih untuk melalui jalan Kuala Besut.
Selain nelayan, penduduk di sini adalah kakitangan kerajaan kerana banyak jabatan kerajaan terletak di Kampung Raja, pekan utama dalam Kuala Besut. Antaranya termasuknya Bangunan Persekutuan Besut yang terletak di sini.
Di bangunan ini terdapat Pejabat Imigresen, Kebajikan Masyarakat, Kesihatan Bahagian Environmen Dan Kawalan Penyakit, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Rela, Pembahagian PESAKA, Ukur Daerah Terengganu (UTARA), Unit Pengambilan Tanah, Pelajaran Daerah, Kemajuan Masyarakat (KEMAS), PERHILITAN dan Pejabat Amanah Ikhtiar Malaysia.
Kuala Besut juga adalah pekan pelancongan. Pulau Perhentian, antara pulau terbaik di Terengganu kerana batu karang dan pantainya, juga termasuk dalam kawasan pilihan raya ini.
Pulau Perhentian (besar dan kecil) diktiraf sebagai antara pusat pelancongan terbaik kerana airnya yang bersih dengan ikan-ikannya yang banyak. Ia dilindungi di bawah Pulau Redang Marine Park, bermakna tidak boleh memancing dan menangkap ikan di sini.
Dengan komposisi penduduk yang semacam ini, ia menjadikan Kuala Besut sentiasa menjadi kubu untuk Umno. Nelayan, pegawai kerajaan dan operator pelancongan. Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menjadikan nelayan sebagai sasaran bantuan mereka. Tambah-tambah lagi dengan pemimpin seperti Datuk Seri Idris Jusoh. 
Begitu juga kakitangan kerajaan. Mereka terlalu terikat dengan pemimpin kerajaan yang memerintah Terengganu. Begitu juga operator pelancongan. Aktivis Islam sentiasa sahaja menyusahkan mereka.
Kawasan yang selama tenang ini  bakal menjadi hingar bingar tidak lama lagi. Ramai ahli politik akan datang ke Kuala Besut untuk berkempen bagi pilihan raya kecil Kuala Besut ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN, Dr. A. Rahman Mokhtar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai masa 60 hari untuk mengadakan pilihan raya selepas ia dimaklumkan secara rasmi pada 28 Jun lalu. Ini bermakna, SPR mempunyai masa hingga 28 Ogos 2013 iaitu 18 hari selepas Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada 10 Ogos.
Dalam sidang media sebelum ini, SPR memberikan bayangan kemungkinan pilihan raya akan diadakan pada bulan puasa.
Namun dengan masa yang cukup lumayan, besar kemungkinan pilihan raya dan juga penamaan calon diadakan selepas hari raya.
Agak sukar untuk ahli politik berkempen di bulan Ramadhan di mana umat Islam akan berpuasa.
Tambah-tambah lagi apabila para pemimpin Umno sejak kebelakangan ini sudah bercakap banyak tentang Islam.
Bagaimana mereka mahu bebas berkempen kalau banyak pantang larang yang terpaksa mereka patuhi sepanjang bulan Ramadhan ini?
SPR juga mengumumkan penetapan tarikh pilihan raya kecil Kuala Besut akan diputuskan Jumaat ini.
Sejak dahulu, Kuala Besut menjadi kubu kuat Umno. Ketika tsunami politik menyerang barulah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ini bertukar tangan. Ia berlaku pada tahun 1969 dan juga 1999. Di kedua-dua pilihan raya itu menyaksikan negeri Terengganu di perintah oleh PAS.
Kuala Besut mempunyai 17,713 pengundi. Ia terletak di bawah Parlimen Besut yang diwakili oleh Idris, bekas menteri besar Terengganu yang kini adalah Menteri Pelajaran 2.
Suka atau tidak, Besut dijaga dengan baik oleh Idris sejak beliau menjadi menteri besar lagi.
Mungkin kerana itulah, kesemua kerusi Parlimen dan DUN di bawah Parlimen Besut dimenangi oleh BN dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU13) lalu.
Ia berlaku ketika PAS dan PKR hampir-hampir saja berjaya memerintah Terengganu dalam pilihan raya umum lalu.
PAS mendapat 14 kerusi DUN dan empat Parlimen manakala PKR mendapat satu kerusi DUN manakala BN pula mendapat 17 kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen di Terengganu.
Sebagaimana negeri Terengganu, 98.71 peratus pengundi Kuala Besut adalah orang Melayu. Hanya 0.8 peratus Cina, 0.08 India dan 0.42 peratus kaum lain.
Dalam PRU13, PAS berjaya menawan hampir kesemua bandar utama di negeri ini. Dari Chukai di Kemaman, Sura di Dungun, Kuala Terengganu dan juga Kuala Nerus.
Akan tetapi, kemaraan PAS berhenti di Setiu dan Besut.
Namun di sebelah sempadan sana, PAS berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti yang lumayan di Kelantan. Kuala Besut adalah DUN sempadan antara Terengganu dan Kelantan. Ia bersempadan dengan Parlimen Pasir Puteh dan DUN Semerak di Kelantan.
Dalam pilihan raya lalu, Pasir Puteh kekal di tangan PAS melalui Dr Nik Mazian Nik Mohamad (majoriti 1,888) namun DUN Semerak dimenangi olah calon BN, Zawawi Othman (majoriti 985).
BN telah memutuskan timbalan pengerusinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengarah pilihan raya ini. PAS pula akan memutuskan pengarahnya tidak lama lagi.
"Besar kemungkinan kita akan lantik Datuk Husam Musa, Naib Presiden PAS sebagai pengarah," kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali. Bagi beliau Husam orang yang paling sesuai kerana kawasan Kuala Besut dekat dengan Kelantan.
"Peranan Kelantan sangat besar dalam pilihan raya ini," tambah Mustafa.
Husam adalah Pengerusi Jawatankuasa Roadmap to Putrajaya untuk PAS. Namun, percubaan beliau untuk menawan Putrajaya dalam pilihan raya lalu tidak berjaya. Akan tetapi beliau menang di DUN Salor, Kelantan.
Dengan Husam di pihak PAS dan Pakatan Rakyat (PR) manakala Muhyidin di pihak Umno dan BN, pilihan raya ini dijangka hangat sebagaimana hangatnya pertandingan merebut kerusi Putrajaya dalam PRU13 lalu.
Walaupun agar sukar, Mustafa, seorang veteran dalam selok belok pilihan raya, yakin PAS boleh menang dalam pilihan raya kecil ini jika kena dengan caranya.
Dengan PAS Kelantan yang mempunyai kerajaan, kempen pilihan raya ini akan lebih menarik dan membuka peluang lebih luas untuk calon PAS. Perlabuhan Perikanan Tok Bali di sebelah Kelantan bakal menjadi pancing yang berguna untuk nelayan Kuala Besut. 
Pengalaman Husam berkempen di Putrajaya juga bakal memberikan modal yang besar dalam kempen kepada kakitangan kerajaan di sini. Begitu juga pengalaman Kelantan dalam mengendalikan pelancong yang ramai datang ke negeri itu bakal membantu kempen PAS ke atas operator pelancongan di sini.
Jika PAS menang, DUN Terengganu akan menjadi 'DUN tergantung' kerana bilangan wakil BN dan Pakatan sama banyak iaitu 16:16. Ada yang berkata, kuasa Speaker yang dilantik BN akan menjadi kata pemutus.
Bagi Ketua Umno Bahagian Besut, Idris, PAS tidak akan boleh memerintah Terengganu walaupun parti itu menang dalam PRK ini.
Idris berkata, kelebihan satu kerusi speaker menghalang PAS memerintah negeri ini walau pun ditakdir parti itu menang.
Menurutnya, sekarang BN mempunyai kedudukan 18 kerusi termasuk satu kerusi speaker, manakala pembangkang 15 kerusi dan kalau PAS menang PRK kali ini, kedudukan masih 16-17.
Sekiranya pembangkang menangpun ia tidak memberi apa-apa keuntungan kepada mereka tetapi akan menyulitkan pembangkang.
Justeru, rakyat perlu terus mengundi BN kerana rakyat akan mendapat manfaat yang besar, katanya selepas Taklimat Khas PRK DUN Kuala Besut di Damai Beach Resort di Kampung Raja.
Pakar perlembagaan Dr. Abdul Aziz Bari menolak pandangan itu. Bagi beliau Sultan mempunyai budi bicara dalam hal ini.
Aziz Bari berpendapat, Sultan Terengganu boleh membubarkan DUN sekiranya baginda tidak boleh memutuskan menteri besar yang sesuai, jika BN dan Pakatan masing-masing menguasai jumlah kerusi yang sama banyak.
Tambah Abdul Aziz, dalam keadaan seperti itu, pelantikan menteri besar boleh juga diputuskan oleh Sultan, yang boleh menggunakan pertimbangannya sendiri.
Mengikut peruntukan perlembagaan negeri, yang serupa dengan peruntukan dalam perlembagaan persekutuan, perkara itu tertakluk bawah budi bicara Sultan.
Katanya di Terengganu, seperti juga negeri lain di Malaysia dan negara-negara Komanwel, Sultan boleh melantik seseorang yang dirasakan mendapat sokongan paling banyak dalam Dewan.
"Sekiranya Sultan tidak pasti, maka saya fikir baginda boleh membubarkan Dewan agar satu pilihan raya baru boleh diadakan.
Ini untuk membolehkan rakyat membuat keputusan dan bukannya baginda. Dari sudut monarki sebagai simbol perpaduan yang perlu berada lebih tinggi dari parti politik, mungkin ia pilihan yang lebih baik, katanya.
Apa-apa pun pilihan raya kecil pertama selepas PRU13 ini sangat menarik. Ia bakal menentukan kedudukan sebuah negeri iaitu Terengganu Darul Iman. - 2 Julai, 2013.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa